Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Banyak restoran rancak terima tempahan tapi anda mungkin tidak dapat meja untuk Hari Bapa

Sebilangan restoran yang kami hubungi menyatakan ia sudahpun menerima sehingga 80 peratus tempahan bagi hujung minggu ini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Jika anda terasa ingin makan luar di restoran-restoran popular pada hujung minggu ini apabila Fasa 2 bermula Jumaat (19 Jun), ada kemungkinan anda akan gigit jari - tiada lagi meja untuk anda.

Ini kerana sebilangan restoran yang kami hubungi menyatakan ia sudahpun menerima sehingga 80 peratus tempahan bagi hujung minggu ini, dalam masa kurang 24 jam sahaja kelonggaran itu diumumkan.

Lebih-lebih lagi, ramai yang mungkin mahu meraikan ayah tercinta sempena Hari Bapa yang jatuh pada Ahad ini (21 Jun).

Pengumuman Fasa 2 itu dibuat pada Isnin (15 Jun) oleh Jawatankuasa Berbilang Kementerian (MTF). Antaranya termasuk kelonggaran untuk orang ramai duduk makan di restoran namun masih perlu mematuhi peraturan-peraturan seperti maksimum lima individu satu meja dan juga jarak selamat.

80% TEMPAHAN DITERIMA MALAYAN COUNCIL

Pemilik restoran Malayan Council, Hafiz Alkhatib, memberitahu BERITAmediacorp sebaik sahaja pengumuman itu dibuat sekitar pukul 7.30 malam Isnin (15 Jun), telefonnya mula berbunyi. Satu demi satu pelanggan mula membuat tempahan.

“Semalam (Isnin) saya tak tengok berita. Orang dah telefon saya dulu. Ada yang saya punya pelanggan tetap (kata), ‘Hafiz hari Jumaat ini nak buat tempahan. Saya macam ‘siapa cakap boleh buat tempahan?’,” cerita beliau sambil tertawa.

“Sebab (waktu itu) saya belum tahu kan. Dia cakap dah keluar jadi saya nak pastikan dulu baru saya telefon balik. Dalam masa setengah jam selepas itu kita dah dapat dalam 10 tempahan,” tambah Encik Hafiz.

Beliau berkata setakat ini tempahan untuk hujung minggu ini sudah hampir penuh, sekitar 80 peratus. Namun ini hanya untuk restorannya yang terletak di 71 Bussorah St.

Cawangan itu yang sepatutnya boleh memuatkan 200 pelanggan pada satu-satu masa, kini perlu dikurangkan jumlahnya antara 50 dengan 60 peratus.

Lagi dua cawangannya yang lain pula, di 22 Dunlop St dan 10 Winstedt Rd, akan hanya dibuka mulai Isnin depan (22 Jun) kerana beliau khuatir tidak dapat mengendalikan perniagaannya dengan sempurna setelah begitu lama restorannya sepi daripada pelanggan.

Maka itu beliau merancang untuk memanfaatkan masa yang ada pada hari ini (17 Jun) dan esok (16 Jun) untuk mempersiap semua kakitangannya dengan mengadakan latihan. Ini supaya mereka tahu dan faham cara-cara terbaik memastikan peraturan-peraturan Fasa 2 terus dipatuhi.

“Saya tak nak terus tiga-tiga (cawangan) buka kemudian kelam-kabut jadi macam kita tak profesional kan.

“Memang kita nak dia punya pendapatan (sales) tapi kita pun nak kepastian dan kita pastikan kakitangan dilatih, pastikan jarak selamat, Safe Entry. Jadi semua orang tahu macam mana nak pakai untuk pelanggan,” ujar Encik Hafiz.

POSITANO RISTO JANGKA LEBIH BANYAK TEMPAHAN

Sebuah lagi restoran, yang terletak berdekatan di 66 Bussorah St, iaitu Positano Risto juga mula menerima tempahan demi tempahan sebaik sahaja Fasa 2 diumumkan.

BERITAmediacorp diberitahu, restoran itu sudah menerima hampir 10 tempahan setakat ini dan masih lagi terus menerima pertanyaan mengenai tempahan bagi hujung minggu ini.

Malah, ada tempahan yang diterima bukan untuk hujung minggu ini tetapi sejauh bulan Julai akan datang!

“Kita jangkakan lebih banyak lagi tempahan kerana Hari Ayah pada hari Ahad ini. Tapi Alhamdulillah buat masa kita sudahpun menerima beberapa tempahan. Biasanya kalau tempahan semua akan diterima pada Jumaat atau Sabtu sebab Hari Bapa jatuh pada Ahad,” kata Pengurus Besar Positano Risto, Taha Hassan.

Namun dengan peraturan jarak selamat serta lima orang semeja, jumlah pelanggan yang boleh diterima restoran itu akan berkurangan sebanyak 30 peratus - daripada 100 pelanggan mereka hanya boleh menerima 70 pelanggan pada satu-satu masa.

“Jadi kita nak kena siapkan semua. Letakkan meja ikut protokol. Selain daripada itu, semua keperluan biasa operasi seperti kita perlu menjangkakan orang ramai, kita perlu adakan lebih sumber, tenaga kerja dan bekalan barangan.

“Kita kena pastikan semua mencukupi. Jadi sekarang kita sedang membuat persiapan,” kata Encik Taha.

BELUM CUKUP TENAGA KERJA ROYZ ET VOUS TANGGUHKAN TARIKH PEMBUKAAN

Sebilangan pemilik restoran sebenarnya terkejut bahawa restoran-restoran sudah boleh dibuka seawal Jumaat ini.

“Kami tak sangka restoran sudah boleh menerima pelanggan seawal ini. Saya jangkakan lama lagi sebelum dibenarkan menerima pelanggan. Tapi Alhamdulillah, syukur dapat buka semula walau ada peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi. Pendapatan pun dapat dijana,” kata pemilik restoran Royz Et Vous, Widyanty Mohd Yusope, semasa dihubungi BERITAmediacorp semalam (16 Jun).

Beliau mendedahkan bahawa restoran popular itu sudah menerima 20 tempahan dan mungkin lebih banyak lagi tempahan selepas itu.

Sekalipun demikian, cawangan Royz Et Vous di Sultan Gate akan hanya menerima pelanggan pada 24 Jun manakala cawangan di Telok Ayer dibuka semula pada 1 Julai. Ini kerana ia menghadapi masalah tersendiri.

"Kami perlu memikirkan tenaga kerja yang ada. Buat masa ini ada tujuh kakitangan warga negara Malaysia yang masih belum boleh masuk ke Singapura. Tenaga kerja kami masih berkurangan jadi kami lambatkan sedikit pembukaan semula," kongsi Cik Widyanty.

TASH TISH TOSH CANTIKKAN KEMBALI RESTORAN

Pemilik Restoran Tash Tish Tosh, Wahid Allapitchay pula memberitahu kami bahawa pihaknya sudah menerima lebih 20 tempahan.

Bagi Encik Wahid peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi itu tidak begitu berbeza dengan tempoh sebelum ‘circuit-breaker’.

“Tentu sekali kita akan terima jumlah pelanggan yang kurang daripada biasa di restoran. Buat masa ini kita bersyukur dengan apa yang kita dapat. Kelonggaran ini kejutan yang manis lah,” luah beliau.

Sekarang ini, Encik Wahid bersama kakitangannya sedang giat mengembalikan semula suasana restoran di Tash Tish Tosh sempena pembukaan semula Jumaat ini.

“Seluruh restoran ini sekarang sudah seperti stor untuk barangan penghantaran. Sudah macam kilang punya tali sawat penyampai (conveyor belt). Jadi sekarang kita perlu kembali semula seperti dahulu. Cantikkan dan kemaskan,” kata Encik Wahid sambil tertawa.

Meskipun pelanggan-pelanggan boleh duduk makan di restoran bersama teman dan keluarga, tiada sebarang bentuk hiburan boleh diadakan termasuk persembahan muzik secara 'live' serta tayangan video dan televisyen. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan