Banyak peluang untuk S'pura & Indonesia bekerjasama dalam ekonomi digital & mesra alam, kata Lawrence Wong
SINGAPURA: Lebih banyak peluang kerjasama antara Singapura dengan Indonesia dalam sektor-sektor baru ekonomi akan diusahakan, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Jumaat (20 Mei) semasa menggulung lawatan rasmi empat hari ke Indonesia.
"Kita sudah lebih terbiasa dengan pelaburan dan kerjasama dalam sektor-sektor ekonomi yang lebih tradisional seperti pengilangan dan prasarana tetapi kita boleh meneroka bidang-bidang baru, termasuk ekonomi digital dan ekonomi hijau dan terdapat banyak peluang dalam bidang itu," kata Encik Wong dalam wawancara di kediaman Duta Singapura ke Indonesia di Jakarta.
Menjelaskan lebih lanjut, Encik Wong berkata bahawa perubahan iklim adalah cabaran bagi semua negara dan kedua-dua Singapura dan Indonesia bertekad untuk mempercepatkan proses peralihan dan mencapai pelepasan tanpa karbon.
"Indonesia mempunyai lebih banyak peluang untuk melakukan demikian kerana ia mempunyai keupayaan untuk memulakan lebih banyak projek tenaga boleh diperbaharui dan lebih banyak skala untuk melakukannya berbanding Singapura. Ia juga mempunyai peluang untuk menjalankan projek berasaskan alam semula jadi," katanya.
"Maka itu, tentu sekali ada peluang untuk kita saling bekerjasama dalam projek-projek ini, sama ada pembiayaan projek-projek tersebut, mahupun bekerjasama dalam projek-projek sebenar di Indonesia."
Terdapat peluang-peluang serupa dalam ekonomi digital, kata Encik Wong yang turut mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat pemula di Indonesia semasa lawatan tersebut, termasuk eFishery, iaitu sebuah perniagaan baru aqua teknologi Indonesia.
"Anda tidak akan menyangka sama sekali bahawa ia ada kaitan dengan Singapura, tetapi sebenarnya, kita juga mempunyai kajian dan pengembangan (R&D) dalam bidang makanan," kata Encik Wong.
Sebagai contoh, Singapura mempunyai R&D mengenai bagaimana ikan seperti ikan kakap putih boleh menjadi lebih berdaya tahan dan ladang ternakan ikan boleh menjadi lebih produktif.
"Sama ada ekonomi digital ataupun ekonomi hijau, saya merasakan peluang-peluang untuk bekerjasama adalah sangat banyak. Dan syarikat-syarikat perniagaan sudah mula melihat peluang-peluang ini, sebab itu Singapura kekal sebagai pelabur nombor satu di Indonesia buat masa ini," katanya.
Menurut Encik Wong, meskipun Singapura lebih terbiasa dengan pelaburan dan kerjasama dengan Indonesia di Batam, Bintan dan Karimun, terdapat juga skop untuk melabur di bahagian-bahagian lain Indonesia seperti Jawa Tengah dan Kendal, yang dilawatinya pada Khamis (19 Mei).
BERTEMU "PELBAGAI" PEMIMPIN INDONESIA
Encik Wong turut mendedahkan bahawa lawatan ke Indonesia kali ini sudah diatur "sejak beberapa waktu lalu" dan masa untuk melakukan lawatan ini memang tepat pada masanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.