Banyak lagi perlu dilakukan untuk capai matlamat 20% wanita dalam lembaga syarikat
Untuk mencapai matlamat 20 peratus wanita dalam lembaga pengarah di syarikat-syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham Singapura (SGX), 130 pengarah wanita perlu ditambah setiap tahun dari sekarang sehingga 2020, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu semalam (26 Jan).
Gambar fail Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu. (Gambar: Majlis Seni Kebangsaan)
SINGAPURA: Untuk mencapai matlamat 20 peratus wanita dalam lembaga pengarah di syarikat-syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham Singapura (SGX), 130 pengarah wanita perlu ditambah setiap tahun dari sekarang sehingga 2020, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu semalam (26 Jan).
Apa yang diperlukan adalah separuh daripada syarikat-syarikat SGX, khususnya yang tidak mempunyai pengarah wanita, untuk melantik seorang wanita saja dalam lembaganya, tambah beliau.
Cik Fu berkata demikian semasa pelancaran laporan mengenai kerencaman jantina sebagai ahli lembaga syarikat Singapura, yang dikumpul dan dibentangkan oleh Institut Kepimpinan Modal Insan dan BoardAgender.
Laporan tersebut mengetengahkan dua isu utama mengenai proses penggantian ahli lembaga. Pertama adalah isu pengarah lembaga yang lama, di mana pengarah lembaga berkhidmat lebih lama daripada tempoh yang disarankan. Isu kedua adalah lembaga-lembaga mencari penggantian dan bukan pembaharuan - dengan lembaga mencari ahli baru yang mempunyai profil yang sama seperti pengarah yang melepaskan jawatan, bukan mencari pengarah baru yang boleh membantu merapatkan jurang kemahiran dalam lembaga.
Bagi menangani isu-isu ini, laporan itu menyarankan dua transformasi utama.
Pertama adalah untuk melaksanakan proses pembaharuan ahli-ahli lembaga dan memperkukuhkan lagi "peraturan sembilan tahun". Ini merujuk kepada garis pandu dalam kod tadbir urus korporat bagi penggal pengarah bebas. Selain itu, syarikat-syarikat juga perlu menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan calon-calon yang pelbagai.
Kedua adalah untuk melindungi kebebasan pencalonan jawatankuasa dalam proses pelantikan pengarah. Ini bagi membolehkan jawatankuasa untuk memilih calon yang terbaik bagi melaksanakan tugas tanpa mengenepikan pemilihan pengarah wanita, menurut kajian tersebut.
Jawatankuasa yang memilih juga boleh disesuaikan bagi memastikan para calon mempunyai sikap yang baik, berpandangan jauh dan progresif.
"Meritokrasi dan kerencaman jantina bukanlah perkara yang berasingan," kata Dr Don Chen, Penolong Naib Presiden Pengetahuan dan Huraian di HCLI dan Ketua Pengkaji projek tersebut, yang mengatakan bahawa terdapat wanita yang layak untuk menjadi pengarah di luar sana.
Namun begitu, beliau juga berkata bahawa pengarah wanita "mungkin tidak serasi dengan profil yang menjadi ciri-ciri stereotaip pengarah lembaga".
Laporan tersebut turut menasihati pengarah-pengarah wanita supaya menyerlahkan diri sendiri dengan memperkukuhkan jalinan dan mempertingkatkan lagi profil awam mereka. Ia juga menyarankan wanita supaya berjinak-jinak menjadi ahli lembaga di syarikat-syarikat yang tidak tersenarai dalam SGX dan pertubuhan bukan cari untung. Ini juga akan memberikan mereka pengalaman menjadi pengarah lembaga.
Kajian itu juga menunjukkan bahawa kerencaman jantina dalam lembaga syarikat amat penting kerana syarikat-syarikat mencapai prestasi lebih baik dari segi kewangan dan menarik keyakinan pelabur. Data kajian pemasaran juga meramalkan bahawa wanita membentuk sebanyak 85 peratus daripada pembelian pengguna, termasuk barang-barangan besar seperti rumah dan kereta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.