Skip to main content

Singapura

Banyak kes mahkamah akan disambung semula; jarak selamat akan terus dikekalkan

Sebilangan besar kes mahkamah akan disambung semula pada 8 Jun setelah kira-kira dua bulan kegiatannya digantung dengan hanya kes mendesak dan penting yang dikendalikan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 May 2020 02:51PM Dikemas Kini : 29 May 2020 09:03PM

SINGAPURA: Sebilangan besar kes mahkamah akan disambung semula pada 8 Jun setelah kira-kira dua bulan kegiatannya digantung dengan hanya kes mendesak dan penting yang dikendalikan.

Sepanjang tempoh "circuit breaker", perbicaraan sama ada ditangguhkan atau dilangsungkan menerusi persidangan video atau telefon jika boleh. Sesi menerusi persidangan video atau telefon secara amnya menerima maklum balas positif, kata Hakim Besar dalam mesejnya pada Jumaat (29 Mei).

"Terdapat kesepakatan bahawa perbicaraan secara online adalah mudah, menjimatkan kos dan masa dan merupakan cara penting di mana mahkamah dapat terus mengekalkan akses pada proses pengadilan selama tempoh pandemik dan semoga dapat terus memperkukuhnya pada masa akan datang," kata Hakim Besar Sundaresh Menon.

Di Mahkamah Negara, bilik perbicaraan terus menjalankan pendakwaan setiap hari - kerana orang yang ditangkap perlu dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh 48 jam menurut Kanun Prosedur Jenayah.

Sebilangan besar kes yang dibicarakan dalam tempoh tersebut adalah berkaitan dengan COVID-19. Beberapa orang sudah dijatuhi hukuman penjara atau didenda kerana melanggar peraturan COVID-19, yang diluluskan dengan pantas dan dikuatkuasakan pada 7 April.

Pada masa yang sama, terdapat juga beberapa kes yang melibatkan keganasan - seperti seorang lelaki berusia 20 tahun yang dituduh membunuh atas kematian seorang lelaki 38 tahun yang berlari-lari anak di Punggol Field, kes rusuhan di Chinatown dan serangan di tanah perkuburan.

Bagi menangani kes-kes tertunggak sejak 7 April, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Negara dan Mahkamah Keadilan Keluarga tidak akan direhatkan pada Jun, sebaliknya akan terus beroperasi.

SIDANG VIDEO, TELEFON DITERUSKAN BAGI PERBICARAAN TERTENTU

Sedang Singapura secara bertahap-tahap melonggarkan langkah-langkah pemutus jangkitan, mahkamah akan terus menggunakan persidangan video dan telefon "untuk pelbagai perbicaraan" setelah 1 Jun, berdasarkan "kejayaan yang diraih melalui perbicaraan secara online sejauh ini", kata Hakim Besar.

Namun, ada sesetengah pengguna mahkamah tertentu yang mungkin tidak mempunyai akses kepada perbicaraansedemikian dan mengalami kesulitan untuk menghadirinya. Pengguna seumpama itu harus memberitahu pendaftar mahkamah yang relevan sebelum perbicaraan mereka.

Bagi mereka di Mahkamah Keadilan Keluarga yang tidak dapat menghadiri perbicaraan melalui kaedah Zoom dari kediaman mereka sendiri, mereka boleh menggunakan "Bilik Zoom" di mahkamah.

Sekiranya perbicaraan dikendalikan secara langsung dengan kehadiran fizikal, langkah-langkah jarak selamat akan terus dilaksanakan setelah berakhir tempoh pemutus jangkitan.

Hakim Besar Menon mengucapkan terima kasih kepada para peguam, Pejabat Peguam Negara, Jabatan Penjara Singapura dan pengguna mahkamah atas penerimaan dan pendakapan mereka terhadap sidang video dan telefon untuk mengadakan perbicaraan.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita