Skip to main content

Singapura

Bantuan wang tunai S$250 bagi pegerai dan pekedai di ABC Brickworks

Para pemilik kedai dan pegerai di Bukit Merah yang terjejas oleh kes Batok Kering atau TB akan menerima bantuan dalam bentuk wang tunai S$250.

Anggaran Waktu Membaca:
Bantuan wang tunai S$250 bagi pegerai dan pekedai di ABC Brickworks

Pasar dan Pusat Penjaja ABC Brickworks di Bukit Merah. (Gambar: Google Streetview)

SINGAPURA: Para pemilik kedai dan pegerai di Bukit Merah yang terjejas oleh kes Batok Kering atau TB akan menerima bantuan dalam bentuk wang tunai S$250.

Geran sekali saja itu diberikan kepada semua pegerai di Pusat Makanan dan Pasar ABC Brickworks serta kedai-kedai di blok-blok 1, 2 dan 7 Jalan Bukit Merah, menurut Anggota Parlimen kawasan tersebut Eric Chua kepada Mediacorp pada Jumaat (16 Feb).

Langkah itu adalah hasil kerjasama Jawatankuasa Perundangan Rakyat CCC Queenstown dan Majlis Pembangunan Masyarakat CDC Central berikutan keadaan perniagaan yang terjejas akibat kes-kes TB di kawasan tersebut.

"Geran wang tunai itu mencerminkan perpaduan pertubuhan-pertubuhan akar umbi Queenstown bersama para penjaja dan peniaga ABC. Geran itu akan dikeluarkan menjelang hujung bulan ini," tambah Encik Chua.

Encik Chua berkata beliau telah memohon kepada pihak berkuasa bagi pemberian rebat sewa dan bil penyenggaraan.

Butirannya sedang dimuktamadkan.

Para penjaja di ABC Brickworks sebelum ini memberitahu Mediacorp, hasil jualan merosot selepas berita mengenai kes-kes TB mula diumumkan pada Januari lalu.

Ada pelanggan yang menjauhi pusat penjaja yang popular itu atas kebimbangan tentang penularan TB di situ.

Ini meskipun beberapa menteri dan AP cuba menangkis kebimbangan orang ramai dengan menulis di media sosial tentang mereka menjamu selera di pusat makanan itu.

Beberapa minggu kemudian, perniagaan dilaporkan bertambah baik tetapi masih ada yang menjauhi pusat penjaja itu.

Proses menguji penyakit TB diwajibkan di kawasan tersebut mulai 11 Januari lalu selepas 10 kes aktif TB dikesan di situ.

Kes-kes itu dikaitkan dengan kelompok jangkitan pertama yang dikesan pada 2022.

Ujian wajib ke atas semua penduduk yang tinggal dan bekerja di blok 1 dan 3 Jalan Bukit Merah, para pekerja ABC Brickworks, dan para pelanggan dan kakitangan Pusat Kegiatan Warga Emas Thong Kheng kemudian menemukan dua kes TB daripada
2,548 mereka yang diuji.
Sumber : CNA/AA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita