Skip to main content

Singapura

Bantuan tunai ComCare dinaikkan mulai Julai

Bantuan tunai jangka panjang di bawah skim ComCare akan dinaikkan mulai 1 Julai 2019, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee hari ini (5 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Mar 2019 04:20PM Dikemas Kini : 05 Mar 2019 10:06PM

SINGAPURA: Bantuan tunai jangka panjang di bawah skim ComCare akan dinaikkan mulai 1 Julai 2019, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee hari ini (5 Mac).

Keluarga dengan hanya satu anggota akan menerima bantuan tunai sebanyak S$600 sebulan, naik S$100.

Keluarga-keluarga dengan lebih ramai anggota akan menerima bantuan tunai lebih tinggi. Misalnya, keluarga-keluarga dengan empat anggota akan menerima S$1,750 setiap bulan berbanding S$1,450 buat masa ini, menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam kenyataan medianya.

Peningkatan pada bantuan tunai itu akan memanfaatkan sekitar 4,000 keluarga - sebahagian besar daripada mereka adalah warga senja yang sama ada tidak menerima sokongan ataupun hanya menerima sedikit sokongan keluarga, menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, para penerima Bantuan Jangka Pendek hingga Sederhana ComCare yang bantuan mereka diperbaharui selepas Julai juga boleh menjangkakan peningkatan pada jumlah bantuan.

Jumlah tunai itu akan bergantung kepada keperluan dan kedudukan kewangan mereka, kata Encik Lee.

Beliau menambah bahawa kenaikan pada jumlah tunai itu bertujuan untuk menampung perbelanjaan asas mereka.

Encik Lee mengumumkan demikian sebagai sebahagian daripada segmen bersama oleh empat kementerian semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan yang tertumpu kepada usaha membangunkan sebuah masyarakat yang mewujudkan pelbagai peluang, sekaligus mencerminkan usaha keempat-empat kementerian dalam menangani isu ketidaksamarataan dan mobiliti sosial.

Sepanjang 10 tahun lalu, MSF sudah menyemak dan mengubah suai kadar itu setiap dua atau tiga tahun. Kali terakhir ia disesuaikan adalah pada 2016.

Bantuan Jangka Panjang ComCare membantu mereka yang tidak lagi berupaya bekerja disebabkan oleh usia senja, penyakit atau kehilangan upaya, ataupun sama ada tidak menerima sebarang pendapatan dan sokongan keluarga ataupun menerima pendapatan dan sokongan keluarga yang tidak mencukupi.

Bantuan jangka pendek pula menyediakan bantuan kewangan buat sementara waktu kepada para individu atau keluarga berpendapatan rendah yang tidak berupaya bekerja buat sementara waktu, ataupun sedang mencari kerja atau berpendapatan rendah.

SOKONGAN HOLISTIK DIPERTINGKAT BAGI KELUARGA FLAT SEWA

Encik Lee berkata kementerian itu dan Kementerian Pembangunan Negara akan melancarkan Community Link (ComLink) di atau berhampiran flat-flat sewa bagi menawarkan lebih banyak sokongan yang bersepadu dan berselaras, serta program-program dan khidmat yang disesuaikan mengikut keperluan para keluarga.

Sepanjang dua tahun akan datang, ComLink akan dibangunkan di Jalan Kukoh, Marsiling, Kembangan-Chai Chee dan Boon Lay. Sekitar seribu keluarga di estet-estet itu dijangka meraih manfaat.

ComLink akan dijadikan sebagai tumpuan utama yang dapat diakses bagi setiap masyarakat, katanya.

"Rakan-rakan masyarakat juga boleh bekerjasama untuk membantu para keluarga ini secara holistik. Misalnya, kami boleh menganjurkan bengkel keibubapaan serta khidmat jagaan pelajar ataupun khidmat jagaan kanak-kanak pada waktu malam, jika keperluan seumpama itu dikenal pasti dalam kalangan masyarakat tersebut," tambah Encik Lee.

"Yang penting sekali, ComLink akan meningkatkan kesedaran masyarakat dan sifat saling membantu, dengan jiran tetangga saling menyokong antara satu sama lain."

Ketika menggulung ucapannya, Encik Lee berkata usaha membangunkan sebuah masyarakat yang mewujudkan pelbagai peluang adalah bagi keempat-empat kementerian, seluruh masyarakat dan semua rakyat Singapura.

"Masyarakat kita akan menjadi lebih kukuh dan berdaya bingkas apabila setiap rakyat Singapura berganding bahu - apabila kita bukan setakat menjaga diri sendiri, tetapi juga membantu anggota keluarga, jiran tetangga dan rakyat Singapura yang memerlukan." 

Sumber : CNA/AI/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita