Bantuan kewangan program aLIVE $1.5 juta tahun ini, manfaatkan lagi 386 pelajar
Bantuan kewangan sebanyak $1.5 juta bakal dimanfaatkan sekitar 4,500 pelajar madrasah sambilan keseluruhannya di masjid-majid tempatan.

Para wakil yang menerima agihan IEF Sabtu lalu (24 Ogos). (Gambar: MUIS)
SINGAPURA: Bantuan kewangan sebanyak $1.5 juta bakal dimanfaatkan sekitar 4,500 pelajar madrasah sambilan keseluruhannya di masjid-majid tempatan.
Jumlah tersebut, yang tertinggi setakat ini dan kenaikan sembilan peratus berbanding tahun lalu, akan memanfaatkan lagi 386 pelajar tahun ini.
Para pelajar program aLIVE akan meraih manfaatnya menerusi subsidi yuran bulanan dan yuran-yuran lain.
Demikian didedahkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (27 Ogos).
Surat-surat agihan bagi Dana Pendidikan Islam (IEF) itu diserahkan pada Sabtu lalu (24 Ogos), kepada para penyelaras bagi empat kelompok masjid yang mengendalikan 38 pusat aLIVE.
IEF diperkenalkan pada 2004 bagi memastikan kelas-kelas sambilan pendidikan agama di masjid-masjid di negara ini kekal boleh dimampui.
Tahun ini, jumlah $1.5 juta itu diagihkan di bawah dua jenis geran, iaitu Geran Pemerkasaan Pelajar dan Rebat Sokongan Keluarga.
SUMBANGAN ZAKAT MEMBANTU
Berucap di majlis itu, Pengarah Dasar Pendidikan dan Sistem MUIS, Encik Zalman Putra Ahmad Ali berkata MUIS terus komited untuk memastikan pendidikan Islam sentiasa boleh dimampui dan mudah diperolehi semua orang, khususnya golongan belia.
Beliau menambah, selain jumlah tertinggi IEF yang diagihkan tahun ini, seramai 950 asatizah juga sudah menjalani latihan cara-cara mengajar di masjid supaya mereka dapat menyampaikan ilmu agama dengan sesuai mengikut konteks kontemporari.
Encik Zalman juga berkata bahawa dana-dana yang diagihkan akan digunakan untuk mengurangkan yuran bulanan bagi para pelajar dari keluarga yang dibelenggu masalah kewangan.
Ini bagi memastikan, tidak ada pelajar yang tidak dapat mengikuti pendidikan Islam.
Beliau menekankan bahawa masyarakat memainkan peranan penting dalam menyokong pendidikan Islam, menerusi wang Zakat dan sumbangan-sumbangan lain. Ini kerana ia menambah nilai dalam memperkaya dan menjadikan sistem pendidikan Islam di masjid-masjid lebih menyeluruh.
Menerusi sumbangan Zakat, IEF sudah mengagihkan sebanyak $9.7 juta kepada lebih 30,000 pelajar dalam lingkungan usia antara lima dengan 20 tahun dalam tempoh 15 tahun.
Di majlis yang sama, seramai 67 pelajar menerima Anugerah Teladan sebagai mengiktiraf sikap mereka yang boleh dicontohi dalam menimba pengetahuan agama.
Encik Zalman turut menyeru para pelajar supaya meneruskan usaha mendapatkan pendidikan agama menjangkaui program aLIVE dan berharap anugerah tersebut akan membakar semangat mereka untuk terus mendalami ilmu agama sekali gus mempertingkat diri mereka.
Para pelajar dewasa boleh mengikuti kelas-kelas agama menerusi program ADIL.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.