Bantuan kemanusiaan sangat diperlukan untuk sokong mangsa terjejas di Gaza: Maliki
Menteri Kedua Ehwal Luar Dr Maliki Osman pada Khamis (20 Mei) berkata bantuan kemanusiaan dalam bentuk khidmat kesihatan, bantuan dan perkhidmatan sosial sangat diperlukan di Gaza.
SINGAPURA: Menteri Kedua Ehwal Luar Dr Maliki Osman pada Khamis (20 Mei) berkata bantuan kemanusiaan dalam bentuk khidmat kesihatan, bantuan dan perkhidmatan sosial sangat diperlukan di Gaza.
Beliau menyatakan demikian di laman Facebooknya pada Khamis (20 Mei) berikutan pengumuman Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) bahawa ia akan menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.
Dr Maliki berkata bantuan yang dihulurkan akan memberi sokongan kepada mangsa-mangsa dan keluarga yang terjejas di Gaza pada masa-masa yang sukar ini.
"Saya bersimpati dengan keadaan mereka. Dalam bulan Syawal yang mulia ini, saya menggesa untuk kita semua membuat sumbangan seikhlas hati kepada usaha murni ini. Setiap usaha, besar atau kecil, dalam bentuk doa atau sumbangan berupa barangan, wang mahupun tenaga, amat bermakna bagi mereka yang menerimanya," kata Dr Maliki.
Hari ini, RLAF menerusi kenyataannya, mengumumkan usaha mengumpul dana untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Carikan Gaza dengan kerjasama Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Keganasan semakin meningkat di Palestin sejak bulan Ramadan, di tengah-tengah kemarahan berhubung kemungkinan beberapa penduduk Palestin akan diusir dari rumah mereka di Baitulmakdis yang didakwa dibina di atas tanah yang dituntut bagi petempatan Yahudi.
Pergolakan sekarang adalah yang paling buruk sejak 2014.
Dr Maliki berkata bahawa "serangan-serangan harus dihentikan" dan "semua pihak harus mengurangkan ketegangan" dalam pergolakan Israel-Palestin demi menghentikan penderitaan orang-orang awam.
Beliau juga menekankan bahawa "kekerasan tidak patut menjadi jalan penyelesaian" dalam konflik.
"Kami berharap gencatan senjata segera dapat dicapai semua pihak. Akhir sekali, Israel dan Palestin perlu kembali ke meja rundingan untuk mencapai penyelesaian antara dua negara yang dapat menjamin keselamatan bagi kedua-dua rakyat Israel dan Palestin untuk hidup sebagai jiran secara aman," menurut Dr Maliki.
Beliau mengambil perhatian sebilangan besar keluarga di Palestin terpaksa mencari perlindungan di sekolah-sekolah, masjid-masjid dan tempat-tempat di bawah naungan UNRWA.
Dr Maliki menambah keadaan di sana mengingatkan dirinya tentang "betapa rapuhnya kehidupan" dan membuat beliau menghargai keamanan yang dinikmati di Singapura. Beliau juga mengajak masyarakat agar mendoakan keamanan dan kesejahteraan mereka di Palestin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.