Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bantuan datang mencurah susuli rayuan badan amal; namun kutipan wang tunai tetap mencabar

Meminta derma pada saat ini adalah satu masalah yang mencabar, kata Pengasas Free Food For All (FFFA) Nizar Shariff, yang menganggarkan kemerosotan sebanyak 50 peratus pada jumlah derma yang diterima. 

Anggaran Waktu Membaca:
Bantuan datang mencurah susuli rayuan badan amal; namun kutipan wang tunai tetap mencabar

Para relawan membungkuskan makanan di gedung Food From The Heart pda 14 Feb 2020 untuk diagih-agihkan kepada yang memerlukan. (Gambar: Food From The Heart)

Diterbitkan : 21 Feb 2020 11:26PM Dikemas Kini : 21 Feb 2020 11:35PM

SINGAPURA: Meminta derma pada saat ini adalah satu masalah yang mencabar, kata Pengasas Free Food For All (FFFA) Nizar Mohd Shariff, yang menganggarkan kemerosotan sebanyak 50 peratus pada jumlah derma yang diterima.

Kumpulan itu, yang menyediakan makanan halal dimasak secara percuma kepada golongan memerlukan, biasanya menerima purata S$5,000 setiap bulan. Namun setakat pertengahan Februari, derma yang diterima belum pun mencecah S$1,000.

Setelah kumpulan itu mengongsikan artikel CNA Insider di laman Facebooknya, seorang warga net memberikan komen bahawa ia hanya mengambil kesempatan daripada penularan virus korona COVID-19 sebagai alasan untuk mendapatkan lebih banyak dana.

FFFA memerlukan lebih banyak sokongan kewangan berbanding tenaga manusia kerana kebanyakan operasinya diuruskan sendiri oleh kakitangannya, jelas Encik Nizar. Badan itu juga menerima lebih banyak permintaan bantuan, termasuk daripada orang yang dikuarantin di rumah.

Lebih banyak penerima bermakna lebih banyak sumber mesti dibeli, katanya. "Buat masa ini kami tidak mempunyai keluangan waktu untuk memeriksa penerima. Saya lebih rela ditipu daripada membuat kesilapan tidak menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," ujar Encik Nizar.

"Saya ingin menggalak setiap warga Singapura untuk membantu dalam apa cara sekali pun yang mereka boleh - menjadi relawan atau dengan mendermakan wang," tambah beliau.

Selang beberapa jam setelah satu rencana CNA Insider tentang jumlah relawan yang merosot diterbitkan pada Selasa (11 Feb), talian badan amal Food From The Heart berdering tanpa henti dengan ramai orang menyuarakan kemahuan mereka untuk mendaftarkan diri bagi menghulurkan tangan.

Dalam masa dua hari saja, semua slot untuk membantu membungkus catuan makanan bagi golongan yang memerlukan sudahpun penuh diisi bagi dua hingga tiga minggu berikutnya. "Pekerja saya meluangkan masa sehari menguruskan talian WhatsApp itu. Menjelang jam 7.00 malam, beliau masih mempunyai lagi 100 mesej untuk dibalas," kata Ketua Eksekutif Sim Bee Hia.

Para relawan mengasing-asingkan barang makanan untuk dibungkus di gedung Food From The Heart di Joo Seng Road. (Gambar: Food From The Heart)

Pada Isnin (10 Feb), pertubuhan bukan untuk mengaut keuntungan itu mengeluarkan rayuan di Facebook untuk meminta bantuan bagi menyediakan 2,000 bungkus makanan minggu ini untuk keluarga-keluarga memerlukan. Sebanyak 90 peratus daripada sesi kerja sukarela secara berkumpulan dibatalkan sedang syarikat-syarikat menggantung kerja-kerja tanggungjawab sosial korporatnya dek penularan COVID-19.

Namun tidak disangka, beberapa pertubuhan juga memberi respons kepada rayuan itu. Penguasa Tanah Singapura (SLA) datang pada hari Selasa, kata Cik Sim, dengan 20 wakil termasuk ketua eksekutifnya untuk membantu. Lagi 35 pekerja pula datang pada Khamis.

Satu syarikat yang mengendalikan perkhemahan bagi sekolah-sekolah juga menawarkan untuk menghantar sebuah pasukan bagi menghulurkan bantuan, kata beliau, di tengah-tengah kelembapan dalam pekerjaan akibat kegiatan-kegiatan sekolah yang dihadkan.

Bank Makanan juga menyaksikan lonjakan dalam bantuan yang dihulurkan. Sebanyak sehingga 50 kumpulan, meliputi sekolah dan syarikat, menulis kepada badan itu untuk mencadangkan pengumpulan derma misalnya.

Marina Bay Sands juga menawarkan untuk membungkuskan 1,000 habuan makanan dan menghantarkannya kepada Bank Makanan, kata Pengasasnya Nichol Ng. Setiap slot kegiatan membungkus di gedung juga sudah padat sehingga hujung Februari.

Food From The Heart juga mengambil langkah berjaga-jaga seperti memastikan suhu badan diperiksa dan para relawan dibahagikan kepada beberapa barisan ketika membungkuskan makanan.

Barangan makanan yang diagihkan oleh Food From The Heart.

BANTUAN DIPERLUKAN SECARA KONSISTEN

Bantuan relawan, bagaimanapun, diperlukan bukan sahaja untuk tempoh dua minggu ini sahaja, menurut semua badan amal.

Food From The Heart bimbang sekiranya jumlah relawan akan merosot lagi setibanya bulan Mac. Cik Ng dari Bank Makanan berkata: "Adalah penting bagi orang ramai untuk ingat bahawa mereka yang memerlukan sentiasa membutuhkan bantuan tidak kira apa keadaan sekali pun".

DANA MASIH MENJADI KEPRIHATINAN

Sementara itu, derma dari segi wang tunai juga terus menjunam sedang perniagaan berjimat cermat di tengah-tengah iklim ekonomi yang tidak menentu. Cik Sim berkata syarikat-syarikat sudah mengurangkan jumlah derma yang diberikan.

Sesetengah penderma persendirian juga sudah berhenti menyumbang derma secara tetap.

Pada masa yang sama, kos operasi meningkat, kata Cik Sim. Kumpulan itu sudah mula menambah cecair pembasmi kuman dan pelitup muka ke dalam pek makanan selain perlu meningkatkan langkah pembersihan. Para kakitangan juga perlu bekerja dengan lebih gigih lagi.

Bagi memberi semua penderma dan relawan satu titik rujukan untuk keperluan yang paling mendesak semasa tempoh wabak COVID-19, satu wadah khas ditubuhkan oleh Pusat Sukarelawan dan Filantropi Kebangsaan (NVPC). Di sini, badan amal dapat menyenaraikan usaha mengumpul dana mereka di samping rayuan bagi sukarelawan.

BAGAIMANA ANDA BOLEH MENYUMBANG

Food From The Heart: Untuk menderma atau menjadi relawan, layari https://www.foodfromtheheart.sg

Food Bank Singapore: Untuk menderma, layari https://www.giving.sg/the-food-bank-singapore-ltd

Free Food For All: Untuk menderma atau menjadi relawan, layari https://freefood.org.sg

NVPC: Untuk menjadi relawan atau menderma bagi pelbagai usaha amal COVID-19, layari https://www.giving.sg/sgunited

Khidmat Masyarakat TOUCH Community Services: Untuk menjadi relawan bagi penghantaran Meals-On-Wheels, hubungi 68046565

Willing Hearts: Untuk menjadi relawan, layari http://www.willinghearts.org.sg 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan