Bantai isteri, tampar anak, tumbuk remaja; lelaki dijel 32 bulan & 5 sebatan
Tidak lama selepas seorang lelaki menyerang isteri dan anak lelaki mereka yang berusia dua tahun, dia mengancam akan mengelar isterinya dengan sebilah pisau apabila mendapat tahu wanita berkenaan mahu meninggalkannya dengan membawa bersama anak mereka.
(Gambar hiasan: iStock)
SINGAPURA: Tidak lama selepas seorang lelaki menyerang isteri dan anak lelaki mereka yang berusia dua tahun, dia mengancam akan mengelar isterinya dengan sebilah pisau apabila mendapat tahu wanita berkenaan mahu meninggalkannya dengan membawa bersama anak mereka.
Lelaki berusia 28 tahun itu dihukum penjara selama dua tahun dan lapan bulan serta dikenakan lima kali sebatan rotan atas kesalahan tersebut serta tuduhan-tuduhan berkaitan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen yang tiada hubung kait dengan kes tersebut.
Warga Singapura itu, yang namanya tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah demi melindungi identiti para mangsa, mengaku bersalah atas empat tuduhan termasuk ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan dengan sengaja pada pasangannya.
Dua tuduhan serupa yang lain turut dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.
Mahkamah diberitahu pasangan itu, yang tinggal di sebuah flat HDB di Teck Whye Crescent, bergaduh pada 23 November 2020 di bilik tidur mereka atas tabiat kaki judi tertuduh.
Isteri tertuduh, kini berusia 27 tahun, ketika itu sedang duduk di atas katil bersama anak lelaki mereka.
Semasa pergaduhan itu, tertuduh menumbuk isterinya sekali pada bahagian atas dadanya dan menendangnya sekali di bahagian perut sebelum memukul kepalanya dengan sebuah iPhone. Dia juga menampar pipi budak lelaki itu.
Apabila mangsa berdiri dari katilnya, lelaki itu menolak bahunya dengan kuat sekali sehingga menyebabkan mangsa terlanggar alat hawa dingin mudah alih di belakangnya.
Walaupun tertuduh meminta maaf kepada wanita itu selepas pergaduhan tersebut, mangsa terus mendiamkan diri lalu masuk tidur. Apabila mangsa bangun pada keesokan harinya, beliau mendapati ada kesan lebam pada bahagian atas dadanya dan berasa sakit pada sebelah kanan badannya.
Pada hari berikutnya, mangsa memutuskan untuk meninggalkan suaminya dan hendak memohon perintah perlindungan peribadi (PPO) terhadap lelaki itu.
Namun, apabila tertuduh melihat baju-baju yang diletakkan oleh mangsa di kereta sorong anaknya itu, dia mula berasa curiga. Dia cuba menghalang isterinya daripada keluar rumah bersama anak lelaki mereka dan mengusir mangsa selepas mengambil kad banknya dan telefon bimbit mangsa yang ada pada wanita itu.
Mangsa kemudian menelefon sepupu perempuan tertuduh untuk meminta pertolongannya. Sepupu itu tiba di rumah mangsa bersama suaminya dan anggota-anggota keluarga lain.
Pada masa itu, tertuduh - yang berada di dalam flat bersama anaknya, enggan membuka pintu rumah melainkan isterinya itu beredar dari sana. Semua anggota keluarga sepupunya, kecuali wanita itu sendiri dan suaminya, menunggu berdekatan tempat tangga.
Tertuduh naik berang selepas bercakap dengan sepupunya kerana merasakan wanita itu sedang membela isteri tertuduh.
Tertuduh pun mengambil sebilah pisau roti dan berkata dia ingin menyerang isterinya menggunakan pisau tersebut tetapi suami sepupunya menahan lelaki itu daripada bertindak sedemikan.
Sambil menghayun-hayunkan pisau tersebut, lelaki itu berkata: "Biar aku kelar dia" dan "Kakak, kau keluar. Aku dah tak boleh tahan lagi".
Dek ketakutan, sepupunya pun meninggalkan flat tersebut. Tertuduh diberkas selepas insiden itu.
GANGGU PEMINJAM, TUMBUK MUKA REMAJA
Menyusuli kesalahan-kesalahan tersebut, lelaki itu bersetuju untuk menjadi budak suruhan tailong. Dia menemani seorang remaja berusia 18 tahun untuk mengganggu seorang peminjam pada waktu dini hari 19 Mac 2021.
Lelaki itu merakamkan video remaja berkenaan menyimbah cecair pemetik api Zippo pada pintu rumah peminjam sebelum menyalakan api. Tertuduh mendapat upah S$150 sebelum dia diberkas dua hari kemudian.
Akhirnya pada 13 September lalu, seorang pelajar berusia 14 tahun, yang sedang menuju ke sekolah bersama adik lelakinya, menjadi sasaran tertuduh. Kedua-dua budak itu sedang menunggu di sebuah kolong blok flat HDB di Bukit Panjang.
Budak lelaki itu sedang melihat sebuah kereta di tempat meletak kereta, namun tertuduh menyangkakan dia sedang merenungnya lalu mendekatinya.
Tertuduh, yang mengalami masalah kulit, berasa tersinggung apabila merasakan seolah-olah budak itu sedang merenungnya. Lelaki itu bertanya kepada mangsa jika dia sedang merenungnya dan apabila mangsa menafikannya, tertuduh menumbuk mukanya.
Tertuduh juga bertanya dalam bahasa Melayu: "Kau dari geng mana?", bermaksud sama ada budak tersebut adalah sebahagian daripada mana-mana geng samseng, sebelum beredar dari tempat itu.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan tarikh tertuduh diberkas atas kesalahan tersebut.
Jika didapati bersalah ingin mencederakan pasangannya secara sengaja, dia boleh dipenjara sehingga enam tahun atau didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.