Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bank SG bakal benarkan pengguna 'kunci' dana sebagai langkah terbaharu lindungi diri dari penipuan

Anggaran Waktu Membaca:
Bank SG bakal benarkan pengguna 'kunci' dana sebagai langkah terbaharu lindungi diri dari penipuan

(Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 07 Oct 2023 12:15AM Dikemas Kini : 07 Oct 2023 12:17AM
SINGAPURA: Sebagai langkah untuk meningkatkan lagi perlindungan terhadap kes penipuan yang semakin meningkat, tiga bank tempatan Singapura tidak lama lagi akan membenarkan pelanggan mereka mengetepikan dan "mengunci" sejumlah dana yang tidak boleh dipindah keluar daripada akaun seseorang secara digital.

DBS, OCBC dan UOB memberitahu Mediacorp bahawa mereka akan melancarkan versi tersendiri untuk "mengunci wang" mulai bulan depan.

Konsep "mengunci wang" itu telah dikaji oleh industri perbankan bagi melindungi pelanggan daripada kes penipuan yang semakin meningkat, kata Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Alvin Tan di parlimen bulan lalu.

Ciri sebegitu membenarkan pelanggan bank mengetepikan sejumlah dana di dalam akaun mereka yang "tidak boleh dipindahkan secara digital tanpa langkah-langkah pengesahan yang ketat".

"Ini akan membantu lebih lanjut untuk menghadkan kerugian dalam penipuan," katanya sebagai tindak balas kepada usul penangguhan ke atas langkah-langkah untuk melindungi pelanggan perbankan daripada penipuan.

Dalam kenyataan media pada Jumaat (6 Okt), DBS mengumumkan pelancaran akaun perbankan baharu - yang dinamakan digiVault - yang akan menggunakan pendekatan "masuk secara digital, hanya keluar secara fizikal".

Oleh sebab dana pengguna ini tidak boleh diakses secara digital, akaun digiVault baharu ini akan membantu mencegah penipu yang memperoleh akses tanpa kebenaran dan memasuki telefon dan akaun pengguna, daripada melakukan transaksi digital penipuan, kata DBS.

Bank juga menambah bahawa dana dalam akaun digiVault yang akan datang itu - yang dijangka dilancarkan pada akhir November nanti - hanya boleh diakses oleh pengguna apabila identiti mereka disahkan.

Satu caranya adalah untuk mendapatkan pengguna untuk ke cawangan bank dengan membawakan bukti identiti mereka, seperti kad pengenalan ataupun pasport. Tambahan pula, DBS juga meneroka pilihan lain yang akan diumumkan bulan depan.

"digiVault itu serupa dengan peti simpanan maya di dalam peti besi," kata ketua negara Singapura bank itu, Han Kwee Juan.

"Dana dalam akaun itu dikunci dan akan memberikan pengguna kami ketenangan fikiran bahawa ia tidak boleh diakses secara digital."

UOB DAN OCBC AKAN MENGUMUMKAN CIRI-CIRI YANG SERUPA

Sebagai membalas kepada pertanyaan CNA, dua bank tempatan yang lain berkata langkah yang sama juga akan dilancarkan.

Menurut OCBC, ia akan melaksanakan sebuah ciri "kunci wang" - yang membolehkan pengguna "melindungi sejumlah baki akaun mereka yang tidak boleh dipindahkan secara digital" - pada aplikasi perbankannya menjelang akhir November.

Apabila dilancarkan, "langkah kebenaran merentas saluran" akan diperlukan untuk "membuka kunci" dana yang diketepikan itu, kata ketua antipenipuan bagi bahagian pematuhan jenayah kewangan kumpulan bank itu, Beaver Chua.

Sebagai contoh, pengguna perlu melaksanakan fungsi buka kunci pada platform lain selain di dalam aplikasi itu, seperti di mesin ATM OCBC.

Menurut OCBC, "langkah teguh dan selamat untuk membuka kunci dana yang diketepikan itu" diperlukan dengan lebih banyak kes penipuan, tetapi langkah sebegitu "mungkin akan menimbulkan kesukaran yang tidak dapat dielakkan dalam perbankan."

"Seperti langkah-langkah keselamatan yang lain, dan mendengar maklum balas pengguna kami, kami akan sentiasa berusaha untuk mencapai keseimbangan sewajarnya antara melindungi pengguna kami, dan pengalaman pengguna," kata Encik Chua.

Di UOB, bank itu juga akan melancarkan versi "kunci wang" tersendiri menjelang November ini selepas mengkaji konsep itu dengan teliti.

"Kami yakin bahawa kunci wang itu dapat menjadi alat yang berkesan untuk menghadkan pendedahan risiko dalam talian kerana ia mampu melindungi sebahagian daripada dana yang diketepikan oleh pengguna daripada sebarang pemindahan atau pencerobohan secara digital," kata ketua pematuhan kumpulan bank itu, Daniel Ng.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan