Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bank gesa pelanggan gunakan khidmat online di tengah kemuncak musim perayaan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bank di Singapura menyaksikan lonjakan dalam urus niaga deposit tetap di tengah-tengah kadar faedah yang semakin meningkat dan menggalak pelanggan supaya menggunakan khidmat online jika mereka boleh dan tidak beratur di cawangan bank.

Beberapa bank juga mengerahkan lebih ramai pekerja di cawangan masing-masing untuk menangani jangkaan lebih ramai pelanggan sepanjang tempoh perayaan ini.

OCBC menyatakan permintaan bagi deposit tetap terus "meningkat dengan ketara" dalam beberapa bulan yang lalu.

"Jumlah deposit tetap setiap bulan meningkat secara konsisten sebanyak tujuh kali ganda secara purata sejak Jun tahun lalu," kata Ketua Deposit OCBC Na Kok Peng kepada Mediacorp pada Selasa (10 Jan).

HSBC, Citibank dan Hong Leong Finance juga menyaksikan lonjakan dalam peletakan deposit tetap, dengan Citibank melaporkan pertumbuhan lebih 300 peratus jumlah deposit tetap dalam tempoh enam bulan.

UOB, yang menyatakan pelanggan "amat menyokong" promosi kadar deposit tetapnya, adalah antara bank yang menambah tenaga kerja di cawangannya untuk mengurangkan masa menunggu.

"Pelanggan yang melawat cawangan kami akan dapat menggunakan sistem giliran SMS kami, di mana mereka hanya perlu kembali ke cawangan selepas mereka menerima mesej daripada kami," Encik Benny Chan, pengarah urusan saluran kumpulan dan pendigitalan di UOB memberitahu CNA.

Sementara itu, OCBC menyatakan bahawa pada bulan Disember, ia menugaskan 60 peratus lebih ramai pekerja di cawangannya untuk membantu dengan jangkaan lebih ramai pelanggan dalam minggu-minggu menjelang Krismas serta pengeluaran wang tunai agihan pemerintah.

Apabila Mediacorp mengunjung beberapa bank di Hab Toa Payoh pada Rabu petang (11 Jan), tiada barisan beratur di luar OCBC dan Hong Leong.

Barisan dilihat di luar cawangan UOB dan DBS, tetapi barisan tersebut bergerak agak cepat, dengan kebanyakan pelanggan memasuki bank dalam masa 15 hingga 20 minit.

Untuk mengurangkan masa yang dihabiskan beratur di cawangan bank, bank-bank itu memberitahu Mediacorp bahawa pelanggan digalakkan untuk melakukan permohonan mereka secara online jika boleh - dan ini tidak terhad kepada urus niaga deposit tetap.

Bergantung pada institusi kewangan, pelanggan mungkin boleh membuat peletakan deposit tetap online.

Di HSBC, sebagai contoh, peletakan deposit tetap ditawarkan kepada pelanggan yang mempunyai akaun semasa atau simpanan sedia ada.

Di UOB pula, permohonan juga boleh dibuat di laman atau melalui aplikasi, dengan arahan yang berbeza untuk pelanggan yang sudah mempunyai akaun deposit tetap, mereka yang tidak mempunyai akaun deposit tetap tetapi merupakan pelanggan sedia ada yang mempunyai akaun simpanan atau semasa, serta mereka yang tidak mempunyai akaun simpanan dengan bank.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan