Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bank digital baru Standard Chartered, NTUC lancarkan akaun simpanan & kad kredit ‘tanpa nombor’

Anggaran Waktu Membaca:
 Bank digital baru Standard Chartered, NTUC lancarkan akaun simpanan & kad kredit ‘tanpa nombor’

(Gambar: Petikan skrin dari laman Trust Bank)

SINGAPURA: Trust Bank, iaitu bank digital terbaru yang mengumumkan pelancarannya di Singapura, menyatakan hari ini (1 Sep) bahawa ia sedang melancarkan pelbagai produk termasuk akaun simpanan dan kad kredit "tanpa nombor" yang membolehkan pelanggan memilih tarikh pembayaran balik mereka.

Akaun simpanan itu akan menawarkan kadar asas yang 'menjadi penanda aras yang menerajui pasaran' dan membolehkan pelanggan memperoleh sehingga 1.4 peratus faedah daripada deposit mereka, menurut bank baru yang ditubuhkan oleh Standard Chartered dan FairPrice Group.

Kadar asas ialah satu peratus bagi deposit S$50,000 pertama, dengan Ahli Kesatuan NTUC menikmati faedah bonus sebanyak 0.4 peratus apabila mereka membuat lima pembelian yang layak menggunakan kad kredit bank itu. Pelanggan yang bukan ahli akan menikmati faedah bonus sebanyak 0.2 peratus bagi pembelian yang sama.

Ketua pegawai eksekutif Dwaipayan Sadhu memberitahu wartawan bahawa bank itu buat masa ini menawarkan "salah satu kadar asas yang tertinggi" bagi akaun simpanan. Walaupun bank itu menyemak kadarnya setiap minggu atau bulan bergantung kepada perkembangan pasaran dan pergerakan kadar faedah keseluruhan, ia tiada rancangan untuk membuat penyesuaian pada kadarnya dalam masa terdekat.

"Salah satu perkara yang kami banggakan adalah kami mesti mempunyai tawaran yang mampan yang akan dapat bertahan dari semasa ke semasa," katanya.

Kad baru "tanpa nombor" itu akan menawarkan dwifungsi - kad kredit dan debit. Pemegang kad tidak perlu membayar yuran, seperti yuran tahunan dan yuran urus niaga asing, dan boleh memilih tarikh pembayaran balik mereka.

Selain itu, sebagai kadar promosi pelancaran hingga Disember, bank digital itu memberikan sehingga 21 peratus rebat NTUC Linkpoints bagi kad kreditnya untuk ahli NTUC dan 15 peratus penjimatan untuk yang bukan ahli.

Trust Bank juga menawarkan insurans kemalangan peribadi keluarga yang dibangunkan oleh Income. Ini berharga S$0.50 sebulan dan tiada had bagi bilangan tanggungan yang dilindungi. Polisi ini akan disediakan tanpa premium untuk dua bulan pertama apabila pelanggan mendaftar bagi kad kredit bank tersebut.

Produk-produk itu, yang akan disediakan melalui aplikasi bank tersebut, dibangunkan berdasarkan "maklum balas meluas" yang diterima sepanjang empoh ujian oleh penggunanya.

Bank baru itu mempromosikan "pengalaman pelanggan yang berbeza", dengan pelanggan boleh mendaftar "dalam beberapa minit" sahaja menerusi akaun SingPass mereka dan menggunakan kad digital mereka dengan segera.

Bercakap di majlis pelancaran itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong berkata bahawa Trust Bank akan menambah kepada kepelbagaian sistem bank tempatan dan membantu mengukuhkan ekonomi digital Singapura.

Beliau menambah bahawa pelancaran itu tiba tepat pada masanya, kerana ia berlaku di tengah-tengah penggunaan khidmat digital yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat dek pandemik COVID-19.

“Dengan lebih banyak penggunaan digital dalam khidmat kewangan, terdapat banyak potensi untuk sektor bank meneliti semula cara melakukan sesuatu dengan berbeza dan memberi pelanggan khidmat yang lebih baik,” kata Encik Wong, sambil menarik perhatian tentang bagaimana bank digital boleh menjangkau dengan lebih baik segmen yang kurang mendapat perkhidmatan menerusi penggunaan data dan teknologi.

Encik Wong juga menggalak bank maya baru untuk melindungi pelanggan daripada penipuan bank yang kaedahnya sentiasa berubah-ubah sekali gus mengekalkan tahap tinggi keselamatan data.

Trust Bank, yang 60 peratus dimiliki oleh Standard Chartered dan 40 peratus oleh cabang perusahaan NTUC, memperoleh lesen penuh bank pada Disember 2020. Pemegang saham bank itu sudah melabur kira-kira AS$400 juta (S$560 juta).

Pelancaran itu berlaku sehari selepas Grab dan Singtel, yang sama-sama diberikan lesen "penuh bank digital", memperkenalkan bank digitalnya - iaitu GXS - dan produk pertamanya.

Firma teknologi Sea memegang lesen bank penuh lain yang dikeluarkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) hampir dua tahun lalu, sebagai sebahagian daripada usaha untuk melonggarkan industri kewangan.

Selain lesen penuh bank, MAS juga memberikan dua lesen untuk bank borong digital yang menyasarkan perusahaan kecil dan sederhana serta segmen lain yang bukan kedai runcit. Kedua-dua bank maya Ant ANEXT Bank dan Green Link Digital Bank dilancarkan pada bulan Jun.

Secara umum, bank maya menawarkan khidmat yang sama seperti bank biasa, seperti menerima deposit, pinjaman, memudahkan pembayaran dan pinjaman, tetapi ia akan dilakukan online kerana bank digital tidak mempunyai cawangan fizikal.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan