Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bank di SG akan cuba bantu penduduk tangani 'tekanan gadai janji' di tengah peningkatan kadar faedah

Anggaran Waktu Membaca:
Bank di SG akan cuba bantu penduduk tangani 'tekanan gadai janji' di tengah peningkatan kadar faedah

(Gambar: iStock/Kandl)

Diterbitkan : 24 Nov 2022 10:03AM Dikemas Kini : 24 Nov 2022 10:04AM
SINGAPURA: Penduduk di Singapura sudah mula merasakan bebanan pembayaran ansuran bulanan yang lebih tinggi berikutan kadar faedah pinjaman perumahan yang lebih mahal, menurut tinjauan kewangan bank OCBC.

Namun bank dan pengamat yang dihubungi Mediacorp berkata keadaan di mana rumah dirampas kerana peminjam secara konsisten gagal membuat pembayaran gadai janji, jarang berlaku di Singapura.

Sebanyak mungkin, pemberi pinjaman akan membantu individu yang menghadapi masalah kewangan dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.

Laporan Indeks Kesejahteraan Kewangan yang dikeluarkan oleh OCBC pada Selasa (22 Nov) mendapati bahawa 40 peratus rakyat Singapura menghadapi "beberapa kesukaran untuk membayar pinjaman gadai janji mereka".

Jumlah itu meningkat daripada 31 peratus warga Singapura yang menghadapi "tekanan gadai janji" pada 2021, menurut bank berkenaan.

"Lebih ramai warga Singapura tidak dapat membayar pinjaman mereka tepat pada masanya (14 peratus berbanding 9 peratus pada 2021), dengan lebih ramai berkata mereka akan terpaksa menjual atau berpindah ke rumah lebih kecil untuk membayar pinjaman mereka (8 peratus berbanding 6 peratus pada 2021 )," menurut OCBC dalam kenyataan medianya.

"Ini menyebabkan lebih ramai warga Singapura bimbang mengenai pinjaman perumahan – 38 peratus bimbang tidak mampu membeli rumah, meningkat daripada 36 peratus tahun lalu."

Indeks itu berdasarkan tinjauan online ke atas 2,182 orang dewasa yang sudah bekerja di Singapura, berumur antara 21 dengan 65 tahun.

Ia dijalankan pada Ogos apabila Purata Kadar Semalaman Singapura (SORA) tiga bulan meningkat kepada 1.27 peratus.

SORA tiga bulan berada pada paras 2.745 peratus.

Pada 15 November, OCBC, DBS dan UOB menaikkan kadar faedah pinjaman rumah tetap mereka kepada sehingga 4.5 peratus.

Meskipun kadar faedah meningkat, Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan, Alvin Tan, berkata di Parlimen pada Oktober bahawa keadaan hutang isi rumah Singapura secara umumnya pada kadar yang baik.
Sehingga suku kedua 2022, terdapat kurang daripada 30 unit yang dirampas kerana gagal membuat pembayaran gadai janji, kata Encik Tan yang juga anggota lembaga di Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

GAGAL BAYAR PINJAMAN RUMAH "TIDAK BIASA BELAKU"

Bank DBS menyatakan ia tidak menerima kes "peminjam gagal buat pembayaran disebabkan kadar faedah pinjaman rumah yang lebih tinggi", kata seorang jurucakap kepada Mediacorp.

"Pun begitu, pihak bank mempunyai langkah-langkah untuk membantu pelanggan kami mengendalikan pembayaran pinjaman rumah mereka sekiranya berlaku masalah kewangan yang tidak dijangka," kata jurucakap DBS itu.

"Kami mungkin akan menyemak syarat pinjaman pelanggan kami dan mencari pilihan yang boleh membantu mengikut kemampuan mereka, seperti melanjutkan tempoh pinjaman mereka yang akan membantu mengurangkan kos pembayaran bulanan."

DBS menambah bahawa baru-baru ini ia melancarkan pinjaman rumah POSB HDB yang menawarkan kadar faedah 2.6 peratus setahun, sama dengan kadar pinjaman konsesi Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Ini akan "membantu peminjam yang membawa pulang gaji kurang daripada S$2,500 sebulan untuk menampung inflasi dan kadar faedah pinjaman rumah yang kian meningkat".

Seorang jurucakap UOB pula berkata jumlah peminjam di bank mereka yang terjejas akibat kenaikan kadar faedah "tidak ketara berbanding dengan jumlah portfolio gadai janji bank".

"UOB akan melakukan yang terbaik untuk membantu pelanggan yang menghadapi kesukaran dengan pembayaran mereka," kata jurucakap itu.

"Kami akan menghubungi dan memahami lebih baik tentang situasi mereka dan mencadangkan pilihan yang sesuai dengan keadaan mereka."

Berhubung pembelian rumah, pengamat hartanah memberitahu Mediacorp bahawa berdasarkan perbualan dengan ejen-ejen hartanah, keadaan di mana individu bergelut untuk membayar gadai janji mereka adalah sesuatu yang jarang berlaku walaupun semasa pandemik COVID-19.

SEDIAKAN CUKUP "SIMPANAN KECEMASAN"

Pihak bank dan pengamat menasihatkan pemilik rumah untuk sentiasa ada cukup 'simpanan kecemasan' bagi menghadapi keadaan yang tidak dijangka.

"Memang disyorkan supaya individu itu mengetepikan simpanan dalam bentuk tunai atau aset yang boleh digunakan untuk membayar ansuran pinjaman rumah bulanan mereka bagi tempoh dua tahun selain tambahan enam bulan lagi bagi menampung perbelanjaan," kata jurucakap DBS.

"Ini bagi memberi mereka cukup masa untuk menyusun semula pinjaman atau menjual rumah itu sekiranya mereka mengalami sebarang masalah kewangan."

STRATEGI BAGI MEREKA YANG HADAPI MASALAH

Sekiranya pemilik rumah menghadapi masalah kewangan, pihak bank dan pengamat mencadangkan strategi berikut untuk dipertimbangkan.

Anda boleh teroka menyusun semula bayaran atau jumlah pinjaman, kata Naib Presiden Kewangan PropertyGuru, Paul Wee.

Anda boleh juga menyewakan bilik, mendapatkan kerja sambilan atau kurangkan perbelanjaan tedak perlu untuk menambah pendapatan.

Satu lagi cara ialah dengan membincangkan pilihan sedia ada dengan pihak bank tentang bayaran ansuran gadai janji mereka.

Ini termasuk dari segi kadar faedah dan syarat pembayaran bagi semua kemudahan kredit.

Dalam sesetengah kes, peminjam juga boleh mempertimbangkan untuk menjual rumah meraka untuk "mengurangkan liabiliti", kata ketua pegawai komersil di One Global Group, Clarence Goh.

Akhir sekali, mereka yang masih bergelut unutk membuat pembayaran boleh berjumpa dengan Credit Counseling Singapore, sebuah badan amal yang menyokong individu yang ada masalah hutang, kata Encik Wee dari PropertyGuru.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan