Skip to main content

Singapura

Bank boleh tahan atau tolak pindahan wang jika lebih separuh baki akaun dikeluarkan

Mulai 15 Oktober, bank-bank boleh menahan atau menolak urus niaga pindahan wang daripada akaun dengan baki sekurang-kurangnya S$50,000 sekiranya jumlah yang dipindahkan melebihi 50 peratus daripada baki akaun tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Bank boleh tahan atau tolak pindahan wang jika lebih separuh baki akaun dikeluarkan

Bank runcit utama di Singapura akan melaksanakan pemantauan penipuan yang dipertingkatkan bagi semua urus niaga digital mulai 15 Oktober 2025 untuk melindungi pelanggan daripada penipuan. (Gambar fail: iStock)

SINGAPURA: Mulai 15 Oktober, bank-bank boleh menahan atau menolak urus niaga pindahan wang daripada akaun dengan baki sekurang-kurangnya S$50,000 sekiranya jumlah yang dipindahkan melebihi 50 peratus daripada baki akaun tersebut.

Langkah perlindungan itu akan diaktifkan jika ambang tersebut dicapai – iaitu apabila sesuatu urus niaga, digabungkan dengan pengeluaran dalam tempoh 24 jam lalu, menyebabkan lebih 50 peratus daripada dana dipindahkan keluar.

Urus niaga yang menyebabkan ambang tersebut tercapai serta semua urus niaga seterusnya dari akaun berkenaan akan ditahan atau ditolak selama 24 jam.

Peraturan itu terpakai bagi akaun simpanan dan akaun semasa, termasuk akaun bersama, di bank-bank runcit utama – DBS, OCBC, UOB, Citibank, HSBC, Maybank dan Standard Chartered – menurut Persatuan Bank-Bank di Singapura (ABS) pada Jumaat (3 Okt).

Langkah perlindungan itu melibatkan urus niaga perbankan digital yang dilakukan melalui aplikasi mudah alih bank dan perbankan internet. Urus niaga bukan digital, termasuk pengeluaran tunai di cawangan bank dan mesin ATM, tidak terjejas.

"Para pelanggan mungkin mengalami kelewatan dalam pembayaran dan pemindahan digital, termasuk bagi urus niaga sah, sedang bank meningkatkan semakan untuk melindungi pelanggan," menurut ABS.

"Pelanggan dinasihatkan supaya merancang dengan lebih awal bagi urus niaga yang sensitif masa (contohnya pembelian saham) untuk mengelakkan caj tambahan akibat sebarang kelewatan."

APA YANG PERLU DILAKUKAN JIKA URUS NIAGA DITAHAN ATAU DITOLAK

Apabila urus niaga ditahan atau ditolak, pelanggan akan dimaklumkan dengan serta-merta melalui aplikasi mudah alih atau platform perbankan internet, bersama arahan mengenai langkah seterusnya.

Tempoh bertenang selama 24 jam itu berfungsi sebagai "rehat kognitif" untuk mangsa penipuan yang sudah memulakan dan membenarkan urus niaga tersebut, jelas ABS.

"Ia memberi masa kepada mangsa untuk membatalkan urus niaga sekiranya mereka kemudiannya menyedari bahawa mereka sudah ditipu."

Bank akan menasihati pelanggan mengenai cara untuk membatalkan urus niaga, termasuk melalui aplikasi mudah alih, perbankan internet atau pusat panggilan. Selepas dibatalkan, transaksi itu tidak akan diproses, dan dana akan kekal dalam akaun mangsa.

Pelanggan tidak perlu mengambil tindakan jika urus niaga itu sah, dan dana mereka akan dilepaskan secara automatik selepas tempoh bertenang berakhir.

Dalam kes luar biasa di mana pelanggan perlu urus niaga diproses dengan segera semasa tempoh bertenang, mereka perlu mengesahkan urus niaga tersebut dengan bank.

Ini boleh dilakukan di cawangan bank, mesin ATM atau dengan menghubungi pusat panggilan, bergantung pada pilihan yang disediakan oleh bank.

Jika urus niaga sah ditolak, pelanggan boleh melakukannya sekali lagi selepas ia disahkan dengan bank.

"Memandangkan bank menggunakan kaedah berbeza-beza untuk menghubungi pelanggan bagi mengesahkan kesahihan urus niaga, mereka akan menasihati pelanggan masing-masing," menurut ABS.

Bagi mengurangkan gangguan kepada urus niaga sah, beberapa urus niaga perbankan digital akan dikecualikan daripada langkah perlindungan baharu tersebut.

Ini termasuk arahan tetap berulang, bayaran GIRO atau eGIRO berulang, serta pembayaran bil kepada pertubuhan yang diklasifikasikan oleh bank sebagai pertubuhan yang mengeluarkan bil.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita