Banjir Nepal: SM Lee gesa rakyat SG tolak kebencian kaum, kekal bersatu
Menteri Kanan Lee Hsien Loong menggesa rakyat Singapura supaya menolak kebencian dan berdiri teguh tanpa mengira kaum, bahasa atau agama, menyusuli komen-komen berbaur perkauman terhadap masyarakat India selepas banjir dahsyat melanda Nepal baru-baru ini.
Penduduk mencari barangan yang masih boleh digunakan di celah serpihan selepas banjir kilat melanda Trishuli Centre di daerah Nuwakot, Nepal, pada 1 September 2026. (Gambar: AFP/Arun Sankar)
- Lee Hsien Loong menggesa rakyat Singapura menolak kebencian dan berdiri teguh tanpa mengira kaum, susulan komen perkauman terhadap masyarakat India selepas banjir di Nepal.
- Beliau bimbang isu seperti pelaburan SIA dalam Air India dieksploitasi untuk membangkitkan sentimen anti-India.
- Lee menekankan pentingnya pemimpin bersuara tegas menentang manipulasi perasaan dan menyeru rakyat terus bersatu.
- Beliau turut mengingatkan insiden serupa pada 2021 dan menjelang Pilihan Raya Umum 2025, menegaskan perlunya memperkukuh keharmonian kaum di Singapura.
Dalam satu catatan di Facebook pada Ahad (6 Sep), Encik Lee berkata beliau amat bimbang melihat komen berbaur perkauman dan kenyataan penuh kebencian yang ditujukan kepada masyarakat India menyusuli tragedi tersebut.
Beliau turut melahirkan kebimbangan apabila isu yang wajar dibincangkan secara terbuka, termasuk pelaburan Singapore Airlines (SIA) dalam Air India, diputarbelitkan atau dieksploitasikan untuk membangkitkan sentimen anti-India.
"Pada saat seperti ini, respons kita seharusnya berteraskan rasa ihsan dan perpaduan. Ia amat membimbangkan untuk melihat komen berbaur perkauman dan kenyataan penuh kebencian ditujukan kepada masyarakat India kita menyusuli tragedi tersebut," kata Encik Lee.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga-keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam banjir di Nepal serta mereka yang terjejas akibat bencana tersebut.
Encik Lee berkata Menteri Kanan K Shanmugam sudah menjelaskan isu berkenaan dalam kenyataannya pada Sabtu (5 Sep).
"Singapura akan sentiasa terdedah kepada tarikan naluri yang boleh memecahbelahkan ini. Kaum dan agama akan sentiasa menjadi garis pemisah dalam masyarakat kita. Oleh itu, kita mesti terus bekerja keras untuk memperkukuhkan perpaduan dan melindungi keharmonian kaum," kata beliau.
Encik Lee turut menekankan bahawa apabila kejadian sedemikian berlaku, para pemimpin perlu bersuara dengan tegas untuk mengecam usaha memanipulasi perasaan, selain menyeru rakyat Singapura supaya terus bersatu.
Beliau turut merujuk kepada kejadian serupa yang disentuhnya dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 2021, apabila kebimbangan terhadap virus COVID-19 bertukar menjadi sentimen anti-India.
Encik Lee juga menarik perhatian kepada Pilihan Raya Umum 2025, apabila Perdana Menteri Lawrence Wong bersuara mengenai percubaan menggunakan agama untuk membangkitkan ketidaksenangan para pengundi Muslim terhadap pemerintah.
"Marilah kita semua menolak kebencian, menyokong mereka yang sedang berduka dan berdiri teguh bersama-sama tanpa mengira kaum, bahasa atau agama," kata Encik Lee.
"Pada saat seperti inilah kita menyedari sepenuhnya makna kata-kata dalam Ikrar Negara dan betapa pentingnya untuk kita berusaha sedaya upaya bagi menghayati cita-cita tersebut."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.