Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Banjir M'sia: Warga S'pura kumpul dana, barang asas bantu mangsa

Cubit paha kiri, paha kanan terasa juga: Berikut antara usaha yang dijalankan di S'pura untuk mengumpul bantuan bagi mangsa banjir di M'sia.

Anggaran Waktu Membaca:
Banjir M'sia: Warga S'pura kumpul dana, barang asas bantu mangsa

Gambaran situasi banjir yang melanda Lubok China di Melaka. (Gambar fail: Bernama)

BERITAmediacorp: Memang sudah menjadi resmi hidup berjiran, apabila ada satu mengalami kesusahan, yang lain akan ringankan tangan untuk menghulur bantuan.

Atas dasar itu, beberapa individu dan pihak di Singapura sedang giat menjalankan kutipan derma bagi membantu mangsa banjir besar yang sedang melanda Malaysia.

Ada sebahagiannya yang hanya menerima sumbangan wang, manakala yang lain turut menerima bantuan berupa barang-barang asas tertentu.

Berikut adalah empat usaha sedemikian yang dihubungi BERITAmediacorp.

SHARIFAH HASLINDA - SALUR WANG, BARANG KEPERLUAN MENERUSI NGO M'SIA

Salah satu pihak yang sedang menjalankan usaha mengumpul bantuan adalah Ustazah Sharifah Haslinda.

Satu pesanan WhatsApp yang menguar-uarkan usaha itu menyatakan bantuan tersebut akan diagihkan melalui sokongan rakan kerjasama di lapangan, Kitchen In Calais Malaysia (KIC Malaysia), "ke tempat-tempat yang kurang mendapat perhatian atau bantuan".

Ketika dihubungi BERITAmediacorp, Ustazah Sharifah Haslinda berkata inisiatif tersebut tercetus apabila beliau menulis catatan Facebook untuk bertanya jika ada di antara kenalannya yang tahu cara untuk menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Malaysia.

Rakannya, Cik Sofinee Harun yang merupakan pengasas KIC Malaysia, kemudian menghubungi beliau untuk mengaturkan lori bagi mengangkut barang dari Singapura untuk dihantarkan ke tempat-tempat terjejas banjir.

Pesanan WhatsApp yang dikongsi menyenaraikan 13 barang khusus yang akan dikumpulkan usaha tersebut.

"Saya meletakkan senarai khusus itu berdasarkan barang asas yang diperlukan mangsa di sana," kongsi Ustazah Sharifah Haslinda, yang merupakan pengarah eksekutif di Aspire Institut, sebuah pusat pendidikan agama di Singapura.

Barangan yang terkumpul akan dihantar menggunakan dua buah lori dari Malaysia yang diaturkan KIC Malaysia. Menurutnya, badan itu bercadang untuk menghantar bekalan terkumpul ke kawasan-kawasan di Pantai Timur Malaysia.

Ditanya jika beliau menetapkan sebarang sasaran untuk kutipan bantuan itu, Ustazah Sharifah Haslinda berkata beliau mengharapkan kerjasama penderma agar hanya menderma barang yang disenaraikan sahaja. Ini kerana beliau perlu mengisytiharkannya kepada pihak kastam semasa menghantarnya ke seberang tambak nanti.

Berikut adalah senarai barang yang ingin dikumpulkan:

  1. Telekung
  2. Kain pelikat
  3. Selipar/alas kaki
  4. Sejadah
  5. Pakaian: Bayi, kanak-kanak lelaki, wanita (keadaan baik, praktikal dan boleh dipakai)
  6. Susu tepung formula
  7. Perkakas tandas: Berus gigi, ubat gigi, sabun dan syampu
  8. Makanan kering: Biskut, minuman paket dan botol minuman mineral
  9. Tuala
  10. Selimut
  11. Tilam
  12. Bantal

Barang-barang itu boleh diletakkan di cawangan Aspire Institute di Blok 316 Tampines Street 33, mulai Rabu (23 Dis).

Dalam temu bual susulan bersama BERITAmediacorp, Ustazah Sharifah Haslinda memaklumkan bahawa pihaknya tidak lagi dapat menerima sebarang derma dalam bentuk wang mahupun barangan ekoran sumbangan di luar jangkaan oleh masyarakat.

Dana yang terkumpul akan digunakan bagi membiayai kos pengangkutan serta bagi pasukan di lapangan untuk membeli barangan keperluan tambahan di sana.

DAR AN NISAA: KUMPUL DANA, KERJASAMA DENGAN GHIFARI EVENTS MANAGEMENT

Dar Nisaa Learning Centre, sebuah institusi pendidikan agama swasta di sini, juga sedang menjalankan usaha mengumpul dana bagi membantu mangsa banjir di Malaysia.

Poster usaha mengumpul dana anjuran Pertubuhan Dar Nisaa bagi membantu mangsa banjir M'sia 2021 (Gambar: Dar Nisaa)

Poster usaha tersebut menulis: "Semua dana terkumpul akan disalurkan ke Ghifari Events Management yang akan menyelaras dengan pasukan mereka di Malaysia".

Pengasas Dar Nisaa Ustazah Nur Lina memberitahu BERITAmediacorp bahawa usaha itu yang awalnya dikongsi hanya kepada pangkalan data Dar Nisaa, turut menarik sumbangan daripada orang ramai.

Meski tiada sasaran atau garis masa ditetapkan oleh pihaknya, setakat Rabu lebih S$44,400 sudah berjaya dikumpul.

Wang yang terkumpul disalurkan kepada dua rakan kerjasamanya, kumpulan amal tidak rasmi berasaskan di Singapura Ghifari Events Management, dan Herman Sudil.

Menurut Encik Mohd Razib Ibrahim dari Ghifari Events, bantuan itu diselaraskan oleh "kenalan yang kami percayai" di lapangan, yang buat masa ini menyalurkannya ke Shah Alam, Selangor dan Kelantan.

Encik Herman Sudil, pengasas badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar, TBQ Amal, pula menerangkan kepada BERITAmediacorp bahawa pihaknya mempunyai pasukan di Selangor dan Pahang, yang akan menghantar barang-barang keperluan langsung ke kawasan terjejas.

Warga Singapura yang sudah lebih 10 tahun menetap di Johor itu berkongsi bahawa selain keperluan segera seperti makanan dan produk kebersihan, sumbangan dana yang terkumpul juga akan dimanfaatkan untuk membantu ratusan ribu mangsa terjejas pulih daripada bencana - seperti membekalkan mereka dengan peralatan membersihkan rumah dan menggantikan perkakas asas dapur yang rosak atau dihanyutkan air bah.

Encik Herman turut berkata selain disokong Dar Nisaa, pihaknya turut bekerjasama dengan satu lagi entiti Singapura, Travel Ustaz Pte Ltd, untuk membekalkan bekalan bantuan.

SUCHI INITIATIVES: KERJASAMA DENGAN ISMA

Satu lagi pihak dari Singapura yang menjalankan usaha mengumpul bantuan adalah ShuChi Rahmah Initiatives, wadah kebajikan syarikat tempatan SuChi Success Initiatives Pte Ltd.

Menurut catatan Facebooknya hari ini, SuChi sudah menyalurkan dana RM100,000 (S$32,490) kepada Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Dana tersebut akan digunakan untuk aktiviti-aktiviti bantuan banjir berikut:

  • Kit Emosi, modul untuk kanak-kanak bersekolah rendah & tadika di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Banjir
  • Makanan siap masak
  • Alat kebersihan kendiri
  • Kelengkapan tidur (tilam, bantal, selimut).
  • Sanitizer tangan
  • Pasukan pembersihan rumah, masjid dan tempat awam
  • Bekalan air bersih
  • Bantuan Peralatan Rumah/Baiki Rumah

Pengasasnya Encik Mohd Khair berkata fasa pertama kutipan derma yang bermula pada 20 Dis, akan berakhir 31 Dis dan disambung mengikut keperluan.

SuChi menetapkan sasaran untuk mengumpul bantuan bernilai sekurang-kurangnya RM150,000 kesemuanya.

EDDIE: KUTIPAN PAKAIAN DI JALANKAN DI 5 TEMPAT MERATA S'PURA

Sementara itu, seorang individu bernama Eddie pula sedang menjalankan kutipan khas untuk mengumpul pakaian.

Encik Eddie menjelaskan kepada BERITAmediacorp "usaha kecil" itu sebenarnya dirancang untuk dijalankan bersama rakan dan kenalannya sahaja. Namun secara tidak sengaja pesanan WhatsApp itu dikongsi kepada khalayak ramai.

Selain pakaian biasa, beliau juga akan menerima sumbangan berupa kelengkapan solat dan pakaian dalam yang baru. Berikut adalah tempat di mana orang ramai boleh meletakkan sumbangan mereka:

  1. Blk 755, #04-309, Woodlands Ave 4
    Masa: 6 petang - 12 tengah malam
    (letakkan di bangku luar rumah)
  2. Blk 352, #02-971, Ubi Ave 1
    Masa: Lepas 6 petang, atau letakkan di luar pagar
  3. Tampines Mart, Tampines St 32,
    Shakira's Butchery, #01-54
    Rabu 22 Dis hingga Khamis 23 Dis
    Masa: 10 pagi - 2 petang
  4. Blk 664A, Jurong West St 64, #02-262
    Rabu 22 Dis dan Khamis 23 Dis
    Masa: 9 pagi - 9 malam
    (letakkan di bangku luar rumah)
  5. WIN 5,
    No. 15 Yishun Industrial St 1,

    #08 -28,Yishun Ave 6 / Ave 9.
    Masa: 24 Jam

Tarikh terakhir bagi mengumpul pakaian adalah Isnin (27 Dis), 8 malam.

Encik Eddie sangat mengharapkan pihak-pihak yang mahu menderma supaya turut meringankan kerjanya dengan membungkus pakaian yang disumbangkan dalam beg dengan label yang jelas bagi pakaian lelaki, wanita dan sebagainya, demi melancarkan proses agihan.

HULUR DERMA MENERUSI PALANG MERAH SINGAPURA

Selain usaha-usaha persendirian, penduduk Singapura juga boleh menghulurkan derma menerusi Persatuan Palang Merah Singapura (SRC).

SRC pada Selasa (21 Dis) mengikrarkan bantuan AS$50,000 (S$68,270) kepada Sabit Merah Malaysia dan jumlah yang sama kepada Palang Merah Filipina. Bantuan tersebut adalah untuk membantu mangsa di Malaysia dan Taufan Rai di Filipina.

Pada Rabu, Kementerian Ehwal Luar (MFA) mengumumkan bahawa Pemerintah Singapura akan menyumbang AS$60,000 (S$81,924) sebagai dana pemula buat usaha kumpulan dana yang dijalankan SRC.

"Banjir di Malaysia dan Taufan Rai di Filipina telah menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda yang berleluasa,besar, mengakibatkan kesusahan dan kesengsaraan buat banyak masyarakat," tulis kenyataan MFA.

"Sebagai rakan dan Anggota Negara ASEAN, Singapura berdiri teguh bersama Malaysia dan Filipina dalam masa-masa sukar ini."

Agensi BERNAMA melaporkan setakat Selasa, 27 orang terkorban akibat banjir yang melanda Malaysia sejak Sabtu. Jumlah itu adalah paling tinggi sejak banjir besar pada 2014.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan