Skip to main content

Singapura

Banjir kilat melanda beberapa kawasan merata S'pura akibat hujan lebat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hujan turun mencurah-curah di merata Singapura pada petang Isnin (7 Mac) sehingga menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan.

Banjir kilat melanda Jurong East Street 32 pada pukul 3.20 petang dan Enterprise Road pada pukul 4.05 petang, menurut agensi air kebangsaan PUB dalam satu kenyataan. 

Jalan-jalan raya di tempat-tempat terjejas ditutup dan pasukan tindak balas pantas PUB dikerahkan untuk membantu para pengguna jalan raya dan mengarahkan trafik. 

Kedua-dua banjir itu surut dalam masa 30 minit, menurut agensi tersebut. 

Amaran risiko banjir juga dikeluarkan untuk beberapa tempat termasuk Choa Chu Kang Avenue 1, Teck Whye Lane, Woodlands Road, International Road, Wan Lee Road, Jalan Boon Lay, Second Chin Bee Road dan Jalan Tukang. 

Satu rakaman video yang tular di Facebook menunjukkan seperti sebuah trak yang terkandas akibat banjir kilat. Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia menerima panggilan meminta bantuan sekitar Old Chua Chu Kang Road kira-kira pukul 3.45 petang. 

Seorang pemandu ditemui terperangkap dalam traknya akibat banjir kilat. 

"Pasukan penyelamat SCDF melangkah dengan berhati-hati ke dalam air sedalam kira-kira 1.5 meter itu dan memasang alat pengapungan peribadi terhadap pemandu tersebut," menurut SCDF. 

Pemandu itu diselamatkan dan tiada kecederaan dilaporkan. 

PUB menyatakan hujan paling lebat yang dicatatkan di kawasan barat Singapura adalah 134.2 milimeter di stesen hujan Jurong West Street 42 dari pukul 2.35 petang hingga 4.45 petang. 

"Ini sama dengan 88 peratus purata bulanan hujan di Singapura pada bulan Mac dan berada dalam kalangan satu peratus tertinggi rekod maksimum hujan harian sejak 1981," tambah PUB lagi. 

Khidmat Meteorologi Singapura menyatakan pada 1 Mac bahawa hujan pada bulan Februari dijangka  berlanjutan ke separuh pertama Mac, dengan hujan berserta guruh dijangkakan bagi kebanyakan hari. 

Secara keseluruhan, hujan yang turun pada dua minggu pertama Mac diramalkan ,melebihi purata bagi kebanyakan kawasan di Singapura, menurut Khidmat Meteorologi Singapura lagi. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita