Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Banjir kilat landa Yishun, Potong Pasir; utara SG catat antara jumlah hujan tertinggi harian sejak 1978

Anggaran Waktu Membaca:
Banjir kilat landa Yishun, Potong Pasir; utara SG catat antara jumlah hujan tertinggi harian sejak 1978

(Gambar: Facebook/PUB)

Diterbitkan : 22 Nov 2024 10:18PM Dikemas Kini : 22 Nov 2024 10:19PM
SINGAPURA: Bahagian utara Singapura menerima sekitar separuh daripada purata hujan bulanan November pada Jumaat (22 Nov), mencatatkan antara jumlah hujan tertinggi harian dalam lebih 45 tahun.

Dua banjir kilat berlaku di Wan Tho Avenue, yang terletak di kawasan Potong Pasir, dan Yishun Avenue 7 pada waktu petang, menurut agensi air negara PUB.

“Kedua-dua insiden itu reda dalam masa 10 minit,” kata PUB dalam satu catatan di Facebook.

“Pasukan Respons Pantas PUB memberikan bantuan segera kepada pemandu di kedua-dua lokasi.”

Amaran risiko banjir dikeluarkan di 19 lokasi, termasuk Lor Gambir, Mt Vernon Road, Choa Chu Kang Avenue 1, Bedok Avenue 4 dan Jalan Nipah.

PUB juga melaporkan bahawa jumlah hujan paling lebat sebanyak 127.7mm dicatatkan di bahagian utara Singapura antara pukul 2.15 petang hingga pukul 4.50 petang.

“Jumlah ini bersamaan dengan 51 peratus daripada purata hujan bulanan Singapura pada November, dan berada dalam 1 peratus tertinggi daripada rekod hujan harian maksimum sejak 1978,” menurut PUB.

Singapura baru-baru ini dilanda banjir kilat yang disebabkan oleh hujan lebat semasa musim monsun.

Pada Sabtu lalu, hujan lebat menyebabkan banjir kilat di Bukit Timah Road apabila bahagian barat laut Singapura mengalami salah satu jumlah hujan harian tertinggi yang pernah dicatatkan.

Pada keesokan harinya, banjir kilat berlaku di Ophir Road berhampiran Bugis akibat hujan lebat.

“Dengan bermulanya monsun timur laut, hujan sederhana hingga lebat dijangka berlaku di seluruh Singapura pada waktu petang hampir setiap hari,” jelas PUB pada Jumaat.

“Badai yang tiba-tiba dan kuat boleh menyebabkan saluran dan longkang kita melimpah dan menyebabkan banjir kilat setempat, yang biasanya reda dalam masa sejam.”

Agensi tersebut menasihatkan orang ramai untuk menggunakan aplikasi MyENV dan melanggan Saluran Telegram Amaran Banjir PUB bagi menerima amaran hujan lebat dan amaran risiko banjir.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan