Skip to main content

Singapura

Banjir kilat dilaporkan di barat SG; 36% daripada purata hujan bulanan Dis dicatatkan dalam kurang 2 jam

Beberapa banjir kilat berlaku di bahagian barat Singapura pada Khamis (4 Dis) setelah hujan lebat turun di merata Singapura pada petang tadi, menurut agensi air negara PUB.
Anggaran Waktu Membaca:
Banjir kilat dilaporkan di barat SG; 36% daripada purata hujan bulanan Dis dicatatkan dalam kurang 2 jam

Beberapa banjir kilat berlaku di barat Singapura pada 4 Dis 2025. (Gambar: Facebook/PUB)

Diterbitkan : 04 Dec 2025 06:12PM Dikemas Kini : 04 Dec 2025 06:13PM
SINGAPURA: Beberapa banjir kilat berlaku di bahagian barat Singapura pada Khamis (4 Dis) setelah hujan lebat turun di merata Singapura pada petang tadi, menurut agensi air negara PUB.

Hujan paling lebat sebanyak 113.4 milimeter dicatatkan di bahagian barat Singapura mulai pukul 1.45 petang hingga 3.25 petang, menurut PUB dalam catatan di Facebook.

Jumlah itu bersamaan dengan 36 peratus daripada purata hujan bulanan Singapura pada Disember dan berada dalam 2 peratus teratas rekod hujan harian maksimum sejak 1978.

Hujan lebat yang bercurahan turun buat sementara waktu itu melimpahi saluran dan longkang berhampiran, mencetuskan banjir kilat di persimpangan Boon Lay Way dengan Corporation Road, Boon Lay Avenue (antara Jalan Boon Lay dengan Boon Lay Drive), Pandan Road dan Pesawat Drive.

Pasukan respons cepat (QRT) dikerahkan untuk mengalihkan trafik daripada lorong-lorong yang banjir dan menghulurkan bantuan kepada para pemandu.

"Banjir mulai reda dalam masa 30 minit di kesemua empat lokasi," menurut PUB.

Dalam ramalan cuaca bagi separuh pertama Disember, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan pada Isnin (1 Dis) bahawa keadaan monsun timur laut dijangka berterusan, dengan angin bertiupan sebahagian besar dari barat laut atau timur laut.

Hujan beserta petir sederhana hingga lebat dijangka melanda beberapa kawasan di Singapura pada kebanyakan petang.

"Hujan mungkin berlarutan hingga petang pada beberapa hari ini. Jumlah hujan untuk dua minggu pertama Disember 2025 diramalkan hampir purata di kebanyakan bahagian pulau itu," tambah NEA.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita