Skip to main content

Singapura

Banjir di tempat letak kereta kondominium Balmoral Cresent bukan disebabkan hujan: PUB

Anggaran Waktu Membaca:
 Banjir di tempat letak kereta kondominium Balmoral Cresent bukan disebabkan hujan: PUB

(Gambar: Facebook/Singapore Road Accident, TikTok/@jameslinkj)

Diterbitkan : 04 May 2024 09:40PM
SINGAPURA: Banjir di sebuah tempat letak kereta kondominium di Balmoral Cresent tidak berpunca daripada hujan, namun ia disebabkan injap yang rosak pada tangki alat perenjis air.

Demikian menurut agensi air negara PUB pada Sabtu (4 Mei).

"Kejadian ini adalah insiden terpencil yang bukan berpunca daripada hujan. Ketika insiden berlaku, hujan di kawasan tersebut tidak lebat dan longkang berhampiran tidak penuh," tulis PUB dalam catatan di Facebook.

"Berdasarkan siasatan awal, injap yang rosak pada tangki alat pemercik air menyebabkan air melimpah dan membanjiri tempat letak kereta".

Banjir tersebut berlaku di kondominium The Twins pada Sabtu pagi.

Sedang Singapura dilanda hujan lebat, tular video online yang menunjukkan tempat letak kereta yang banjir itu, dengan sejumlah kereta separa tenggelam serta beberapa orang sedang berjalan dalam air.

Beberapa akaun di Facebook yang memuat naik video tersebut menyatakan tempat letak kereta itu banjir selepas hujan lebat pada Sabtu pagi.

PUB menyatakan ia dimaklumkan tentang insiden tersebut oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada pukul 7.55 pagi.

"PUB, bersama dengan SCDF dan ejen pengurusan bangunan itu, menggunakan pam longkang untuk mengepam air keluar daripada tempat letak kereta bawah tanah tersebut," tambah PUB.

Walaupun hujan lebat berpanjangan di seluruh Singapura, tiada kejadian banjir kilat, dedah PUB, yang sebelum ini mengeluarkan amaran untuk lebih 10 lokasi.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita