Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Banjir di Marine Parade: Syarikat binaan didenda rosakkan paip air

Sebuah syarikat binaan yang merosakkan paip air di Marine Parade hingga menyebabkan banjir di sebuah estet perumahan didenda sebanyak S$49,000, menurut agensi air negara PUB pada Jumaat (14 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
 Banjir di Marine Parade: Syarikat binaan didenda rosakkan paip air

Keadaan banjir di Marine Parade pada 4 Oktober 2024, seperti yang dilihat dalam video yang disebarkan menerusi platform WhatsApp (kiri). Para pekerja, kemudian, dilihat cuba untuk menangani keadaan tersebut berhampiran Blok 67 Marine Drive. (Gambar: Petikan skrin; CNA/Alvin Chong)

Diterbitkan : 14 Mar 2025 01:49PM Dikemas Kini : 14 Mar 2025 01:50PM
SINGAPURA: Sebuah syarikat binaan yang merosakkan paip air di Marine Parade hingga menyebabkan banjir di sebuah estet perumahan didenda sebanyak S$49,000, menurut agensi air negara PUB pada Jumaat (14 Mac).

Pal-Link Construction juga menjalankan kerja-kerja dalam koridor paip air pada 4 Oktober 2024 tanpa mendapatkan kelulusan terlebih dahulu. Syarikat terbabit telah didenda pada Selasa.

“Kerosakan tersebut menyebabkan gangguan besar apabila air membanjiri estet perumahan HDB (Lembaga Perumahan dan Pembangunan) Marine Drive yang berhampiran, serta menyebabkan banyak pembaziran air, iaitu sekitar 1.1 juta gelen – bersamaan dengan dua kolam renang bersaiz Olimpik,” menurut PUB.
Para pekerja berusaha untuk menangani keadaan banjir di Marine Parade pada 4 Oktober 2024. (Gambar: CNA/Alvin Chong)
Syarikat Pal-Link bertanggungjawab ke atas pembinaan aci (shaft) lif bagi jejantas di Still Road South.

Ia tidak mendapatkan kelulusan terlebih dahulu sebelum memasang struktur penahan bawah tanah sementara berhampiran paip air utama.

Semasa kerja-kerja dijalankan, jengkaut kontraktor tersebut merosakkan paip air utama yang terletak 1.8 meter di bawah tanah.

Air dari paip air utama dengan garis pusat (diameter) 300 milimeter yang rosak itu membanjiri keempat-empat lorong jalan berdekatan serta kawasan perumahan HDB Marine Drive yang berhampiran.

Walaupun PUB berjaya mengesan kebocoran bagi menghentikan aliran air, kesesakan lalu lintas berlaku selama 30 minit dan lorong paling kiri jalan terpaksa ditutup lebih sehari untuk membolehkan kerja pembaikan dapat dijalankan dengan segera.

“Kerja-kerja yang diperlukan adalah rumit dan kerja-kerja pembaikan paip yang bocor serta pembukaan semula Still Road South hanya dapat diselesaikan pada keesokan harinya,” jelas agensi itu.
Banjir di Marine Parade pada 4 Oktober 2024 akibat paip air yang rosak. (Gambar: CNA/Alvin Chong)
Banjir itu juga menyebabkan sebuah lif di Blok 67 Marine Drive rosak selepas air memasuki aci lif tersebut.

Perniagaan sebuah kedai serbaneka di blok yang sama turut terjejas selama beberapa jam.

PUB menyatakan pihaknya memandang serius kejadian seperti itu.

“Sebarang kerosakan pada paip air utama kami akan menyebabkan pembaziran air yang banyak, kerugian ekonomi dan gangguan serta kesulitan kepada orang awam.

“Kontraktor mesti merujuk kepada Pelan Perkhidmatan Air PUB dan berhati-hati ketika menjalankan kerja-kerja binaan yang berhampiran dengan paip air utama. Kontraktor juga dikehendaki untuk memastikan semua langkah keselamatan yang diperlukan dilaksanakan sebelum kerja-kerja bermula.”

Di bawah Akta Kemudahan Awam, sesiapa yang merosakkan paip air utama atau paip penghubung dengan garis pusat 300 milimeter atau lebih boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$200,000, atau kedua-duanya sekali.

Kontraktor yang menjalankan kerja di kawasan berhampiran paip air utama tanpa pelan yang diluluskan boleh didenda sehingga S$10,000.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan