Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Banjir di Jalan Seaview pada 10 Jan disebabkan 'hujan lebat dan air pasang': PUB

Anggaran Waktu Membaca:
Banjir di Jalan Seaview pada 10 Jan disebabkan 'hujan lebat dan air pasang': PUB

(Gambar: PUB)

Diterbitkan : 12 Jan 2025 10:36AM Dikemas Kini : 12 Jan 2025 10:38AM
SINGAPURA: Banjir yang berlaku sepanjang Jalan Seaview pada Jumaat (10 Jan) petang disebabkan "hujan lebat dan air pasang", dedah agensi air negara PUB pada Ahad (12 Jan).

Hujan akibat monsun yang berterusan dan air pasang setinggi 2.8 meter "menenggelami terusan bersebelahan dan longkang di sekelilingnya", tulis PUB dalam catatan di Facebook.

PUB mengeluarkan amaran risiko banjir untuk beberapa lokasi termasuk Jalan Seaview, persimpangan Mountbatten Road dan Tanjong Katong South Road, serta Jalan Pokok Serunai di mana hujan lebat menyebabkan paras air tinggi di longkang dan terusan.

PUB menyatakan pasukan tindak balas pantasnya dikerah ke lokasi risiko banjir selama dua hari lalu untuk membantu penduduk, termasuk di Jalan Seaview.

"Mereka membantu mengepam air dari jalan yang dibanjiri dan mengedarkan alat perlindungan banjir kepada penduduk," tambah PUB.

Singapura mengalami hujan berpanjangan sejak Jumaat, dengan hujan sederhana hingga lebat di banyak kawasan, kata PUB, sambil menambah bahawa cuaca hujan dijangka berterusan sehingga Isnin (13 Jan).

Daripada Jumaat hingga Sabtu, Changi mencatat curahan hujan tertinggi iaitu 255.2 milimeter (mm), lebih daripada purata curahan hujan Singapura sebanyak 222.4mm pada Januari, tambah agensi itu.

PUB menyatakan ia tahu tentang beberapa video yang tular online yang menunjukkan banjir yang berlaku pada November dan Disember tahun lalu.

"Kami menggesa orang awam untuk tidak berkongsi atau memuat naik video tersebut, kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan atau rasa cemas yang tidak diperlukan."

PUB juga menasihatkan orang awam untuk memeriksa kemas kini cuaca dan banjir kilat di saluran rasmi serta menggunakan aplikasi MyENV atau saluran Telegram, PUB Flood Alerts, untuk merancang perjalanan mereka.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan