Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bangunkan platform selamat dan terbuka untuk bincang isu sensitif demi perpaduan sosial: Presiden Halimah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Platform-platform yang selamat dan terbuka mesti terus dibangunkan bagi membincangkan isu-isu sensitif dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan dan daya bingkas dalam masyarakat.

Presiden Halimah Yacob menekankan demikian di Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) pada Selasa (6 Sep).

Pandemik COVID-19 kata Puan Halimah, menegaskan pentingnya masyarakat yang bersatu padu.

Krisis kesihatan awam itu membawa kesan sosial yang serius dengan sekatan-sekatan dilaksanakan terhadap pergerakan manusia yang membataskan keperluan asas mereka untuk berinteraksi.

Kumpulan-kumpulan agama juga menghadapi keputusan sukar apabila rumah-rumah ibadat di seluruh dunia perlu menghadkan atau menggantung kegiatan mereka untuk mematuhi langkah-langkah kesihatan awam.

"Dalam satu tempoh keresahan sosial yang memuncak, ketegangan meningkat dan dalam kes-kes tertentu, ia mencetuskan keganasan dan kebencian terhadap orang berketurunan Asia yang dipersalahkan atas virus tersebut. Malah langkah-langkah kesihatan awam seperti vaksinasi menjadi sebab perbalahan," kata Puan Halimah.

Beliau menambah bahawa Singapura juga tidak terlepas daripada cabaran-cabaran sedemikian.

Pandemik COVID-19 memperdalamkan perbezaan dalam masyarakat di serata dunia ketika apa yang amat diperlukan untuk pulih daripada pandemik adalah tindakan dan kerjasama kolektif.

"Ini mengingatkan kita bahawa perpaduan sosial adalah syarat yang perlu untuk keselamatan kolektif kita. Masyarakat tidak boleh bertahan apatah lagi berkembang maju tanpa pengikat sosial yang menghubungkan semua orang bersama," kata Puan Halimah.

Daya tahan dan kestabilan negara tambahnya, adalah hasil daripada orang ramai bekerjasama ke arah satu tujuan serta bersatu padu menghadapi cabaran dan ancaman yang dihadapi sesebuah negara.

Puan Halimah juga menekankan pentingnya peranan belia dalam membentuk masyarakat mereka.

Seramai 120 pemimpin belia dihimpunkan untuk Program Pemimpin Muda (YLP) yang kedua. Ramai peserta kohort pertama YLP dari tahun 2019 sudah pun menerajui inisiatif perpaduan sosial dalam masyarakat mereka.

ICCS 2022 menggabungkan lebih 800 peserta dari lebih 40 negara.
Sumber : BERITA Mediacorp/EM/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan