Bangunan utama Istana kembali dibuka kepada umum
Istana akan menganjurkan sebuah acara rumah terbuka pada 7 Mei bagi menyambut Hari Buruh dan Hari Raya Puasa, umum Pejabat Presiden pada Khamis (21 Apr).
Gambar fail: Howard Low
SINGAPURA: Istana akan menganjurkan sebuah acara rumah terbuka pada 7 Mei bagi menyambut Hari Buruh dan Hari Raya Puasa, umum Pejabat Presiden pada Khamis (21 Apr).
Buat pertama kalinya sejak pandemik COVID-19 melanda, pelawat akan dapat membeli pas untuk memasuki bangunan utama Istana, di mana mereka boleh mengunjungi bilik-bilik majlis tertentu, melihat koleksi cenderamata rasmi serta bilik yang disediakan bagi acara-acara rasmi.
Sejak acara rumah terbuka disambung semula pada Ogos tahun lalu, pelawat hanya dapat mengunjungi taman-taman terbuka di pekarangan Istana.
Langkah-langkah pengurusan selamat akan dilaksanakan, dengan pelawat dikehendaki untuk terus memakai pelitp pada setiap masa apabila berada di tempat tertutup, menurut Pejabat Presiden.
Kemasukan ke pekarangan Istana adalah percuma namun, mereka yang mahu membuat kunjungan perlu memohon untuk mendapatkan tiket.
Mereka boleh memohon sehingga lima tiket untuk tempoh kunjungan selama dua jam dari pukul 9.00 pagi, 11.00 pagi, 1.00 tengah hari atau 3.00 petang.
Jika jumlah tempahan tiket melebihi had yang ditetapkan, ia akan diperuntukkan berdasarkan satu sistem undian elektronik, menurut Pejabat Presiden.
Permohonan bagi tiket boleh dibuat di laman ini dari jam 10.00 pagi 25 April hingga 10.00 pagi 26 April.
Kanak-kanak, termasuk bayi, juga mesti mempunyai tiket yang sah untuk memasuki pekarangan Istana.
Kemasukan ke bangunan utama Istana berharga S$2 bagi rakyat dan penduduk tetap Singapura. Harga kemasukan untuk kanak-kanak bukan rakyat atau penduduk tetap Singapura juga adalah S$2. Sementara itu, dewasa bukan rakyat atau penduduk tetap Singapura perlu membayar S$4.
Mereka di bawah usia empat tahun boleh memasuki Istana secara percuma.
Meskipun persembahan, lawatan mahupun trak makanan akan tetap ditiadakan di acara rumah terbuka kali ini, orang ramai dapat mengunjungi astaka-astaka barangan untuk membeli cenderahati Istana serta Cabaran Presiden. Hanya wang tunai diterima sebagai pembayaran.
Semua yuran kemasukan dan hasil jualan daripada pembelian barang-barangan akan disalurkan kepada badan-badan amal yang disokong oleh Cabaran Presiden.
Istana lazimnya dibuka kepada umum pada lima hari setiap tahun. Acara-acara rumah terbuka disambung semula pada 28 Ogos tahun lalu selepas 19 bulan dek pandemik COVID-19
Pihak Istana seterusnya menyambut kunjungan orang ramai sempena Deepavali dan Tahun Baru Cina.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.