Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bangunan tertinggi S'pura akan dibina oleh Alibaba, rakan tempatan

Anggaran Waktu Membaca:
Bangunan tertinggi S'pura akan dibina oleh Alibaba, rakan tempatan

Bangunan di 8 Shenton Way. (Gambar: Perennial Holdings Private Limited)

Diterbitkan : 05 Aug 2022 03:36PM Dikemas Kini : 08 Aug 2022 02:20PM
SINGAPURA: Gergasi Internet China, Alibaba, akan bekerjasama dengan konsortium yang diterajui oleh syarikat hartanah Perennial Holdings yang berpangkalan di Singapura.

Ia bagi membina sebuah bangunan guna campur setinggi 63 tingkat di Shenton Way.

Bangunan pencakar langit itu, yang dijangka boleh mencapai ketinggian maksimum 305 meter dan seluas 148,450 meter persegi dari segi ruang keseluruhan, akan menjadi bangunan tertinggi di Singapura apabila selesai dibina menjelang 2028, lapor Forbes.

Ia akan dibina di tapak yang kini menempatkan AXA Tower setinggi 50 tingkat di 8 Shenton Way di Tanjong Pagar.

Tapak itu pernah menempatkan Bangunan Perbendaharaan pada 1986, yang sebelum itu adalah ibu pejabat syarikat pelaburan negara Temasek Holdings.

Sejauh ini, bangunan tertinggi di Singapura, Guoco Tower dengan ketinggian 284 meter, juga terletak di Tanjong Pagar.

Apabila selesai dibina kelak, projek yang disokong oleh Alibaba itu akan menyertai Guoco Tower sebagai dua bangunan di Singapura yang melepasi ketinggian 280 meter.

Menurut jurucakap Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Jumaat (5 Ogos), ketinggian 305 meter yang diluluskan bagi bangunan di 8 Shenton Way itu adalah paras paling tinggi yang diluluskan oleh penguasa tersebut bagi bangunan-bangunan di Singapura.

"Ketinggian bangunan yang dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat teknikal serta penilaian berdasarkan konteks tapak masing-masing," menurut URA.

"Bangunan harus dibina selaras dengan pelan yang diluluskan dan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan."

Kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh URA pada 7 Julai menunjukkan pelan yang diluluskan bagi bahagian runcit, restoran, pejabat, hotel dan kediaman - serta laluan pejalan kaki bawah tanah - dalam projek baru itu.

Berdasarkan kelulusan URA, 59 peratus atau 87,967 meter persegi daripada keluasan lantai kasar akan diperuntukkan bagi kegunaan komersil, manakala 49,421 meter persegi pula bagi 215 apartmen dengan 'sky terrace'.

Hotel tersebut akan menampung 11 bilik suite seluas 6,775 meter persegi, manakala baki kawasan tapak itu adalah untuk beranda, ruang rekreasi dan atas bumbung atau 'rooftop'.

Pada 2020, Alibaba Group bersetuju untuk membeli 50 peratus pegangan saham AXA Tower dalam perjanjian hartanah itu yang dianggarkan bernilai S$1.68 bilion.

Persetujuan untuk membeli AXA Tower dimeterai dengan konsortium pelabur yang diterajui oleh Perennial Holdings Private Limited untuk menjual sahamnya kepada cabang Alibaba di Singapura.
Sumber : CNA/NY/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa