Skip to main content

Singapura

Bangunan Masyarakat Marine Parade dinaik taraf, bakal dibuka pada suku pertama 2026

Sebuah ruang senaman terbuka, trek untuk berlari, ruang rehat dengan kemudahan layan diri 24 jam, plaza masyarakat, kedai makanan dan minuman, bilik muzik, studio tarian dan studio masakan, serta Perpustakaan Awam Marine Parade.

Anggaran Waktu Membaca:
Bangunan Masyarakat Marine Parade dinaik taraf, bakal dibuka pada suku pertama 2026

Ilustrasi artis bagi Bangunan Masyarakat Marine Parade yang baharu. (Gambar: DP Architects)

Diterbitkan : 20 Apr 2025 09:26PM
SINGAPURA: Sebuah ruang senaman terbuka, trek untuk berlari, ruang rehat dengan kemudahan layan diri 24 jam, plaza masyarakat, kedai makanan dan minuman, bilik muzik, studio tarian dan studio masakan, serta Perpustakaan Awam Marine Parade.

Ini adalah antara kemudahan riadah dan pembelajaran yang boleh dijangkakan para penduduk di Bangunan Masyarakat Marine Parade baharu, yang dijangka siap dalam suku pertama 2026, kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng pada Ahad (20 Apr).

Ada juga rancangan untuk menyediakan "hab masyarakat" - seluas kira-kira 40,000 kaki persegi - di bangunan itu untuk menempatkan "satu rangkaian perusahaan khidmat sosial atau organisasi khidmat sosial", tambah Dr Tan semasa satu acara anjuran Pejabat Kawasan Undi Marine Parade untuk memaklumkan para penduduk tentang kemajuan bangunan itu.

Dr Tan, yang akan menerajui pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Marine Parade-Braddell Heights dalam Pilihan Raya Umum 2025, juga berharap untuk menyediakan "pusat bersepadu untuk menggalakkan penuaan sihat" di bangunan tersebut.

Penduduk boleh menjangkakan pelbagai perkhidmatan baharu yang "meningkatkan kemudahan, kesejahteraan dan hubungan sosial", tambah Pejabat Kawasan Undi Marine Parade dalam satu kenyataan media.

AKSES LEBIH BAIK

Apabila bangunan masyarakat itu dibuka, "sambungan berterusan" akan disediakan - dilengkapi alat penghawa dingin - antara ruang bawah tanah bangunan dengan stesen MRT Marine Parade di Laluan Thomson-East Coast, kata Dr Tan.
 
Related article image
Menteri Tenaga Manusia, Tan See Leng, berkongsi perkembangan terkini mengenai pembinaan Bangunan Masyarakat Marine Parade, pada 20 April 2025. (Gambar: CNA/Abel Khoo)
Sebuah lif juga akan dibina di jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Sekolah Tao Nan dan Blok 67 Marine Drive, yang terletak tidak jauh daripada bangunan masyarakat itu.

“Kerja-kerja naik taraf ini akan meningkatkan keselamatan dan akses, memberi manfaat kepada para pelajar, warga emas dan penduduk yang mempunyai keperluan mobiliti,” kata pejabat kawasan itu.

Melengkapi usaha itu adalah satu siri laluan berbumbung yang bakal dibina dengan sebahagian daripadanya sudah siap baru-baru ini, merentasi Marine Crescent, Marine Terrace, Joo Chiat Road dan East Coast Road yang akan menghubungkan rumah-rumah dengan kemudahan utama, tambahnya.

Ini disokong oleh stesen MRT Marine Terrace dan perkhidmatan bas ulang-alik Marine Parade, yang menghubungkan penduduk ke Marine Parade Central dan tempat-tempat penting lain seperti sekolah, poliklinik dan pusat makanan.

Rancangan untuk membangun semula bangunan masyarakat itu telah dibentangkan pada akhir 2018 kepada Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong, yang ketika itu merupakan penasihat Pertubuhan Akar Umbi Marine Parade.

Kemas kini mengenai kemajuan pembinaan bangunan masyarakat itu pada Ahad disampaikan selepas pelancaran rancangan lima tahun untuk Bandar Marine Parade pada hari Sabtu.

Pelan lima tahun itu, yang akan menggariskan kerja-kerja penambahbaikan estet tersebut sehingga 2030, akan memperkenalkan lebih 140 projek baharu. Antaranya ialah tiga kemudahan sukan baharu dan taman permainan air yang menampilkan kegiatan "flying fox".

Bandar Marine Parade merangkumi kawasan dalam sempadan lama GRC Marine Parade, SMC MacPherson dan SMC Mountbatten.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita