Bangunan lebih tinggi mungkin dibenarkan berhampiran lapangan terbang SG susuli semakan had ketinggian: Chee Hong Tat
Had ketinggian bangunan berhampiran lapangan terbang mungkin akan disemak semula menjelang hujung tahun ini, sekali gus membuka laluan kepada pembangunan kediaman dan komersil yang lebih tinggi, kata Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat pada Khamis (22 Mei).
Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat berucap semasa Anugerah Perniagaan Singapura ke-40 di The Ritz-Carlton pada 22 Mei 2025. (Gambar: CNA/Charmaine Jacob)
Berucap di Anugerah Perniagaan Singapura ke-40 di Ritz-Carlton, Encik Chee berkata cadangan perubahan itu mungkin membolehkan bangunan di beberapa kawasan di seluruh negara dibina lebih tinggi - dengan sehingga 15 tingkat tambahan bagi bangunan kediaman, dan sehingga sembilan tingkat tambahan bagi bangunan industri dan komersil.
Kata beliau, pertimbangan perancangan dan infrastruktur lain, serta lebih banyak kajian oleh agensi-agensi berkaitan, diperlukan sebelum keputusan akhir dibuat.
Perubahan itu, menurut Encik Chee, akan menyokong usaha mempertingkat penggunaan tanah secara optimum, sesuatu yang penting memandangkan kekangan tanah yang dihadapi Singapura.
“Ia dapat membuka lebih banyak peluang untuk perniagaan dan berpotensi meningkatkan jumlah bekalan perumahan secara keseluruhan.”
Encik Chee berkata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) sedang bekerjasama dengan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk meneroka pembebasan ruang udara di sekitar lapangan terbang bagi tujuan pembangunan.
“Keperluan yang telah disemak hasil daripada usaha pasukan petugas ini akan mula berkuat kuasa secara antarabangsa mulai Ogos,” katanya.
CAAS pada Khamis menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama ICAO menyemak semula keperluan had ketinggiannya sejak 1950-an.
“Kemajuan teknologi dalam peralatan navigasi dan avionik pesawat, bersama dengan kemunculan prosedur penerbangan instrumen, membolehkan pesawat moden beroperasi dengan lebih tepat dalam ruang udara yang lebih kecil,” menurut CAAS, sambil menambah bahawa ia berpotensi membolehkan lebih banyak ruang udara digunakan untuk tujuan lain.
Ini merupakan ucapan terakhir Encik Chee sebagai Menteri Pengangkutan sebelum beliau berpindah ke Kementerian Pembangunan Negara. Dalam ucapannya, beliau turut memberikan kemas kini tentang beberapa penambahbaikan infrastruktur lain.
Encik Chee turut mengumumkan bahawa tempoh pembinaan perhentian bas telah dipendekkan dengan ketara - daripada 14 minggu kepada hanya empat minggu.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah mempermudah proses kelulusan kerja-kerja jalan dan menggunakan kaedah pembinaan modular untuk mempercepatkan pemasangan.
Menjelang hujung tahun ini, LTA akan memperluaskan cadangan tempat letak kenderaan dan skim pengemukaan pelan untuk merangkumi kerja-kerja tambahan dan pengubahsuaian di tempat letak kereta di pembangunan kediaman, komersial dan bercampur.
Di bawah sistem baharu itu, kerja-kerja boleh dimulakan dengan serta-merta selepas pengemukaan tanpa perlu menunggu sehingga tiga minggu untuk kelulusan.
Berkenaan pengangkutan maritim, Encik Chee berkata bahawa Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) telah membangunkan sebuah "kembar digital” untuk memantau pergerakan kapal, aktiviti pelabuhan dan keadaan cuaca dalam masa nyata.
“Bagi pihak perniagaan, kami harap ini akan membawa kepada peningkatan kecekapan operasi, kebolehramalan dan daya tahan. Contohnya, syarikat perkapalan kini boleh meraih manfaat daripada pemantauan trafik pelabuhan secara langsung dan mengambil langkah untuk mengurangkan masa menunggu serta kos operasi.”
SG SEBAGAI HAB PERNIAGAAN DIPERCAYAI
Encik Chee turut menyentuh keadaan ekonomi global yang lebih luas, sambil menyatakan bahawa Singapura kini berdepan persekitaran global yang semakin tidak menentu dan bergolak, jauh berbeza daripada orde dunia terdahulu.
“Dunia kini bertindak dengan lebih sewenang-wenangnya dan lebih cenderung untuk menjaga kepentingan sendiri. Ia bukan lagi orde dunia pelbagai hala yang berasaskan peraturan seperti dahulu, yang membolehkan ekonomi kecil dan terbuka seperti Singapura berkembang,” kata Encik Chee.
Kata beliau, kepercayaan dan kebolehpercayaan kini menjadi nilai yang semakin penting, sambil menekankan kedudukan Singapura sebagai pangkalan yang stabil dan boleh diharapkan untuk pelaburan jangka panjang.
Beliau merujuk kepada pelancaran Hab Farmaseutikal baharu DHL di Singapura sebagai contoh keyakinan antarabangsa terhadap negara ini sebagai hab logistik dan perniagaan.
Namun, dengan ketidaktentuan yang berterusan, “memperkukuhkan kekuatan penting ini akan menjadi kunci kepada peningkatan daya saing Singapura dalam fasa pertumbuhan ekonomi seterusnya.”
Melihat ke hadapan, beliau menekankan kepentingan untuk memperdalam hubungan perdagangan bukan hanya dengan ekonomi utama seperti Amerika Syarikat.
Amerika Syarikat kini merangkumi 13 peratus daripada jumlah import global dan merupakan pengimport terbesar dunia, kata Encik Chee.
“Negara itu ialah ‘gorila seberat 800 paun’, seperti yang digambarkan sendiri oleh sesetengah pemimpinnya. Namun ia bukan satu-satunya gorila yang ada. Terdapat juga gorila dan spesies kera besar yang lain walaupun secara individu beratnya kurang daripada 800 paun, secara kolektif, berat gabungan mereka sebenarnya jauh melebihi 800 paun.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.