Bangunan lebih tinggi dekat lapangan terbang boleh pacu nilai tanah, pertumbuhan bandar: Penganalisis
Memberi kelonggaran pada had ketinggian bangunan berhampiran lapangan terbang boleh meningkatkan nilai tanah dan membuka ruang bandar untuk pelbagai jenis pembangunan, menurut penganalisis.
Pemandangan luar Lapangan Terbang Changi Singapura. (Gambar: iStock)
Komen mereka dibuat selepas Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat berkata pada bulan Mei bahawa sekatan ketinggian bagi bangunan sedemikian mungkin akan disemak semula pada lewat 2025, yang berpotensi membuka jalan kepada pembangunan perumahan dan komersil yang lebih tinggi.
Bercakap sebagai Menteri Pengangkutan ketika itu, Encik Chee berkata perubahan yang dicadangkan itu membolehkan bangunan di pelbagai kawasan di seluruh Singapura dibina lebih tinggi – sehingga lagi 15 tingkat bagi kegunaan kediaman dan sehingga lagi sembilan tingkat untuk tujuan industri dan komersil.
Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) sedang bekerjasama dengan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi menyemak semula keperluan sekatan ketinggian buat kali pertama sejak tahun 1950-an.
Mewujudkan daerah bandar dengan bangunan lebih tinggi yang lebih dekat dengan lapangan terbang boleh merangsang pertumbuhan dalam sektor seperti pelancongan, hospitaliti dan perkhidmatan berkaitan penerbangan, serta menggalak kepelbagaian ekonomi yang lebih meluas, kata Prof Madya Hsieh Cheng-Hsien dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
“Dengan mengoptimumkan ruang udara secara selamat yang dibantu oleh teknologi navigasi canggih, Singapura berada pada kedudukan yang baik untuk meningkatkan kecekapan penggunaan tanah sambil mengekalkan piawaian keselamatan penerbangan yang ketat,” tambahnya.
“Kawasan yang sebelum ini terhad akibat kekangan penerbangan mungkin boleh diubah menjadi pusat bandar yang dinamik dan produktif dari segi ekonomi.”
Singapura mempunyai dua lapangan terbang – Changi dan Seletar – serta empat pangkalan udara tentera di Paya Lebar, Sembawang, Changi dan Tengah.
Walaupun kawasan sekitar Lapangan Terbang Changi mungkin akan terus digunakan untuk industri dan pergudangan, kawasan kejiranan berdekatan seperti Changi, Pasir Ris dan Tampines boleh menjangkakan pembangunan perumahan awam dan swasta yang lebih tinggi, kata Profesor Hartanah Sing Tien Foo dari Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS).
Bagaimanapun, beliau menarik perhatian bahawa bunyi bising daripada kegiatan lapangan terbang yang sibuk mungkin masih menghalang pembangunan perumahan terlalu dekat dengannya.
Bagi Lapangan Terbang Seletar, yang memenuhi permintaan bagi pesawat peribadi yang lebih kecil, had ketinggian yang disemak semula boleh “meningkatkan intensiti” pembangunan industri dan perumahan di kawasan pantai di bahagian utara dan timur laut, kata Prof Sing.
Prof Sing menambah bahawa bagi kawasan berhampiran lapangan terbang Changi dan Seletar, intensiti tanah dan jumlah nilai tanah mungkin meningkat dalam jangka pendek, tetapi harga hartanah boleh menurun sekiranya bangunan lebih tinggi boleh dibina dengan teknologi pembinaan yang lebih baik.
“Dalam jangka panjang, apabila bekalan menjadi lebih elastik dan ruang baharu dapat dibangunkan di bandar dan estet yang sama, harga boleh menjadi lebih stabil dan terkawal,” katanya.
Dr Chua Yang Liang, ketua penyelidikan dan perundingan di JLL Asia Tenggara, turut berkata bahawa sebarang kesan ke atas nilai hartanah juga akan bergantung kepada faktor seperti pelarasan terhadap caj kenaikan nilai tanah, kos pembinaan dan pertimbangan kewangan lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.