Skip to main content

Singapura

Bangunan lama Hospital Kandang Kerbau diwartakan sebagai monumen negara SG ke-76

Bangunan lama Hospital Kandang Kerbau (KKH) diwartakan pada Rabu (1 Okt) sebagai monumen negara ke-76 Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Bangunan lama Hospital Kandang Kerbau diwartakan sebagai monumen negara SG ke-76

Blok 1 bangunan lama Hospital Kandang Kerbau pada masa kini. (Gambar: Finbarr Fallon)

SINGAPURA: Bangunan lama Hospital Kandang Kerbau (KKH) diwartakan pada Rabu (1 Okt) sebagai monumen negara ke-76 Singapura.

Pewartaan itu, yang merangkumi tiga blok bekas hospital berkenaan, memperingati nilai sosio-budaya dan kepentingan nasional tapak tersebut, menurut Lembaga Warisan Negara (NHB) dalam satu kenyataan media.

“Terletak di 1 Hampshire Road sebelum hospital itu berpindah pada Mac 1997, bangunan lama KKH merupakan satu-satunya hospital pemerintah di Singapura yang menawarkan khidmat khusus dalam bidang obstetrik dan ginekologi pada ketika itu,” menurut NHB.

“Tapak ini mempunyai kepentingan dalam sejarah Singapura, setelah menyaksikan banyak pencapaian perubatan pertama yang luar biasa dan lebih 1.2 juta kelahiran bayi.”

Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, David Neo, merasmikan pewartaan tapak tersebut pada Rabu, yang juga menandakan ulang tahun ke-101 penubuhan KKH sebagai hospital bersalin khusus.

SEJARAH TAPAK KKH

Nama KKH berasal daripada sejarah lampau tapak tersebut, semasa kandang kerbau milik jabatan pengangkutan era kolonial terletak di kawasan itu.

Pada 1858, sebuah hospital am ditubuhkan di tapak berkenaan, yang kemudiannya dikenali sebagai Pauper Hospital for Women and Children. Ia kemudian berkembang menjadi hospital bersalin percuma yang dinamakan Hospital Kandang Kerbau pada 1924.

Dari 1941 hingga 1942, semasa Perang Dunia II, hospital itu berfungsi sebagai hospital am bagi kecemasan. Selepas Singapura jatuh ke tangan Jepun, ia menjadi hospital awam yang dikenali sebagai Chuo Byoin, atau “hospital pusat” dalam bahasa Jepun.

Semasa perang, Dr Benjamin Henry Sheares, yang kemudian menjadi presiden kedua Singapura, berkhidmat sebagai timbalan superintenden perubatan hospital tersebut. Prihatin dengan kadar kematian tinggi ibu, beliau memperkenalkan pembedahan Caesarean segmen bawah di Singapura, yang mengurangkan risiko komplikasi semasa pembedahan dan menghasilkan parut yang lebih utuh untuk kehamilan seterusnya.

Prosedur itu menjadikan kelahiran bayi jauh lebih selamat untuk wanita, menurut NHB.

“Selepas perang, bangunan lama KKH menyambung semula peranannya sebagai hospital khusus obstetrik dan ginekologi, memperkenalkan teknologi terkini dan amalan rawatan inovatif, yang dipermudahkan oleh Dr Sheares, sekali gus meletakkan hospital itu di persada dunia,” tambahnya.

Pada 1966, yang digelar sebagai tahun “lonjakan kelahiran”, hospital itu mencatat 39,835 kelahiran bayi dan tersenarai dalam Rekod Dunia Guinness kerana mencatatkan jumlah kelahiran tertinggi di sebuah kemudahan bersalin dalam tempoh setahun.

“Pada waktu paling sibuk, seorang bayi dilahirkan setiap 13 minit 11 saat, dan hospital menyambut lebih 110 bayi setiap hari,” menurut NHB.

“Dengan angka itu, bangunan lama KKH memegang gelaran hospital bersalin terbesar di dunia selama sepuluh tahun antara 1950-an dan 1970-an.”

Sekolah Bidan, yang memainkan peranan penting dalam pembangunan kerjaya bidan dan kejururawatan, dibuka di KKH pada 1952. Hospital itu juga menyaksikan kelahiran pasangan kembar siam pertama Singapura pada 1961 dan bayi tabung uji pertama Asia pada 1983.
Blok 3 bangunan lama Hospital Kandang Kerbau. (Gambar: Arkib Negara Singapura)
Pada 1997, KKH berpindah ke 100 Bukit Timah Road, bertentangan dengan tapak lamanya, dan dinamakan semula sebagai Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK.

Sejak 2004, tapak lamanya berfungsi sebagai ibu pejabat Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Bangunan lama KKH terkenal dengan penggunaan bahan moden pada masa pembinaannya, menurut NHB. Bahagian luar bangunan direka untuk menyediakan perlindungan daripada iklim tropika sambil membenarkan cahaya semula jadi dan udara segar masuk.

Blok 2 dan 3, yang dibina sebelum perang pada 1933 dan 1940, masing-masing adalah antara bangunan tertua di kawasan itu, manakala Blok 1 yang direka oleh Dr Sheares dengan bantuan arkitek utama pemerintah KA Bundle siap pada 1955.
Blok 3 bekas tapak Hospital Kandang Kerbau pada masa kini. (Gambar: Finbarr Fallon)
“‘Sirip konkrit’ yang membingkai tingkap mengurangkan haba solar dan keadaan silau, melindungi daripada hujan, dan menggalakkan pengudaraan silang untuk meningkatkan keselesaan pesakit semasa proses pemulihan,” menurut NHB berhubung Blok 1.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK, Profesor Alex Sia, berkata: “Pengiktirafan bekas KKH sebagai monumen negara adalah satu penghormatan besar – meraikan bukan sahaja belas ihsan dan visi para perintis kami, tetapi juga kepercayaan yang sudah diberikan oleh keluarga dari generasi ke generasi sepanjang berdekad-dekad.”

KEPENTINGAN MONUMEN NEGARA

Bahagian Pemeliharaan Tapak dan Monumen (PSM) di bawah NHB membimbing pemeliharaan bangunan, monumen dan tapak dengan nasihat daripada Lembaga Penasihat PSM.

Menurut NHB, monumen negara adalah “sebahagian penting daripada warisan binaan Singapura” yang dipelihara dan dipromosikan untuk generasi akan datang. Ia diberikan tahap perlindungan tertinggi di Singapura di bawah Akta Pemeliharaan Monumen.

Bekas tapak KKH itu merupakan monumen negara pertama yang diwartakan dalam tempoh lebih tiga tahun. Monumen terakhir yang diwartakan ialah Padang, yang menjadi monumen negara ke-75 pada Ogos 2022, hanya enam bulan selepas Fort Siloso diisytiharkan sebagai yang ke-74.
Pengarah dasar warisan dan penyelidikan NHB, Melissa Tan, berkata: “Monumen negara kita mengekalkan kisah lelaki dan wanita yang telah membina negara kita. Setiap monumen menceritakan sisi berbeza daripada kisah Singapura.”

Bangunan lama KKH menghubungkan generasi-generasi rakyat Singapura, merentasi latar belakang dan masyarakat, tambahnya.

“Banyak keluarga di Singapura mempunyai kisah peribadi KKH yang mereka hargai. Pewartaan ini memberi penghormatan kepada kepentingan nasional tapak tersebut, dan memelihara kisah penjagaan bangunan itu sebagai sebahagian daripada legasi kita untuk generasi akan datang,” kata beliau.

Orang ramai boleh melawat bekas tapak KKH menerusi pameran peringatan khas bertajuk The Architecture of Care, yang berlangsung mulai Rabu hingga 31 Disember.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita