Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bangunan baru Pusat Barah Nasional SG dibuka secara rasmi

Anggaran Waktu Membaca:
Bangunan baru Pusat Barah Nasional SG dibuka secara rasmi

Gambar: NCCS

Diterbitkan : 18 May 2023 11:47AM Dikemas Kini : 18 May 2023 01:34PM
SINGAPURA: Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS) yang baru dibuka rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Khamis (18 Mei).

Pusat baru setinggi 24 tingkat itu boleh diakses melalui jambatan yang dihubungkan terus ke MRT Outram. Ia lima kali lebih besar daripada premis sebelumnya, dengan menyediakan hampir seganda lebih banyak bilangan kerusi dan katil kemoterapi serta bilik pemeriksaan berbanding di tempat lama.

Terdapat 108 kerusi dan katil khas untuk rawatan kemoterapi dan 64 bilik pemeriksaan. Selain itu, bangunan itu juga mempunyai tiga bilik pembedahan hari, dua suite endoskopi dan 10 kemudahan terapi sinaran.

Di Unit Rawatan Ambulatori (ATU), yang menyaksikan kira-kira 150 pesakit setiap hari, robot digunakan untuk menghantar ubat kemoterapi yang disediakan dari farmasi onkologi ke suite rawatan. Dengan langkah ini, menurut NCCS, ia memberikan jururawat lebih banyak masa untuk merawat pesakit.

Hab nasional tersebut juga menampilkan lengan robot untuk mempercepatkan penyediaan ubat kemoterapi intravena yang selamat dan cekap.

Operasi di bangunan baru itu sudah bermula secara bertahap-tahap dari Disember 2022, dengan semua perkhidmatan beroperasi sepenuhnya sejak Mac lalu.

Walaupun pusat itu menjangkakan dapat mengendalikan dua kali lebih ramai bilangan pesakit berbanding sebelumnya menjelang 2030, Ketua Pegawai Eksekutif NCCS William Hwang berkata ia akan mengambil sedikit masa.

PENYELIDIKAN DAN RAWATAN LANJUTAN

Selain perkhidmatan penjagaan pesakit luar, pusat baru itu juga menempatkan kemudahan penyelidikan di mana para saintis serta saintis klinisian boleh bekerjasama dan memacu kajian yang boleh membawa kepada hasil kesihatan yang lebih baik.

Ini termasuk teknologi baru untuk membantu dalam pemprofilan sel tunggal, gen dan protein yang kompleks, lantas membolehkan saintis menemui mekanik dan perkembangan barah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Klinikal) NCCS Lim Soon Thye berkata lokasi bersama serta integrasi penyelidikan dan perkhidmatan klinikal di bangunan baru itu akan membantu meningkatkan kerjasama dan memacu kajian saintifik yang boleh membawa kepada hasil lebih baik bagi pesakit.

Selain menambah baik penjagaan barah, Encik Wong berkata Singapura mesti melakukan lebih banyak di peringkat huluan melalui pencegahan lebih baik dan pengesanan awal.

"Matlamat sebenar kami adalah untuk mengurangkan kejadian barah," katanya.

"Kami juga memperuntukkan lebih banyak sumber, bukan sahaja untuk merawat orang yang sakit, tetapi untuk mencegah penyakit itu daripada bermula."

Ini termasuk pemeriksaan percuma untuk barah payudara, pangkal rahim dan kolorektal di bawah SG Lebih Sihat, sebuah program penjagaan asas nasional secara sukarela.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan