Skip to main content

Singapura

Bangkai musang dijumpai tertusuk damak sumpitan di Kembangan

ACRES juga merayu orang awam supaya memberikan maklumat tentang sesiapa yang menggunakan damak sumpitan.

Anggaran Waktu Membaca:
Bangkai musang dijumpai tertusuk damak sumpitan di Kembangan

Encik Martin Yeoh menjumpai bangkai musang di laluan masuk ke kediamannya. (Gambar: Facebook/Martin Yeoh)

Diterbitkan : 20 May 2021 10:52PM Dikemas Kini : 20 May 2021 10:55PM

SINGAPURA: Persatuan Penyelidikan dan Pendidikan berkaitan isu Keprihatinan Haiwan (ACRES) pada Khamis (20 Mei) menyatakan ia sudah memfailkan kes dengan pihak berkuasa selepas bangkai musang dijumpai dengan damak sumpitan tertusuk pada badannya.

Bangkai musang itu dijumpai oleh Encik Martin Yeoh, di laluan masuk ke kediamannya di Kembangan pagi tadi.

"Saya dikejutkan dengan ini (bangkai musang) di laluan masuk. Nampak seperti musang? Seperti mati disebabkan damak sumpitan. Siapa yang berani melakukan seperti ini," tulis Encik Yeoh di akaun Facebooknya.

Gambar-gambar di Facebook menunjukkan bangkai tersebut dengan damak sumpitan tertusuk pada badannya.

Encik Yeoh, yang bertugas sebagai seorang pengarah kreatif, memberitahu Mediacorp bahawa ACRES sudah menghubunginya dan mengambil bangkai musang itu.

Dia berkata ini kali pertama dia melihat haiwan tersebut di kawasan perumahannya, sambil menambah saudara perempuannya pernah melihat sekumpulan haiwan itu "berlari-lari pada waktu malam".

"Saya harap mereka dapat menangkap pelakunya, ia perbuatan yang teruk dan tidak perlu," kata Encik Yeoh.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Ketua Bersama Pegawai Eksekutif ACRES Anbarasi Boopal berkata bangkai haiwan itu "dibedah siasat oleh makmal NParks".

Beliau menambah ACRES sudah memfailkan kes dengan Lembaga Taman Negara (NParks).

ACRES juga merayu orang awam supaya memberikan maklumat tentang sesiapa yang menggunakan damak sumpitan.

Damak sumpitan yang dijumpai pada musang tersebut mempunyai "batang keluli yang tebal yang boleh menyebabkan kecederaan bukan hanya pada haiwan tetapi juga manusia", menurut ACRES dalam catatan Facebook.

"Berdasarkan pengalaman menyiasat kes burung merpati yang dijumpai tertusuk damak sumpitan sejak 2020, tiada cara langsung untuk menyiasat kes seperti ini," kata Cik Anbarasi.

Beliau menambah, sukar untuk menjejaki orang-orang yang terlibat memandangkan penjualan damak sumpitan dilakukan di banyak wadah perdagangan online.

ACRES juga sudah menghubungi polis berhubung rayuan yang dibuat pada 2020 dan 2021 untuk menyiasat penjualan damak sumpitan di Singapura, kata Cik Anbarasi.

Dalam bulan Mac tahun ini, ACRES merayu kepada polis supaya melarang penjualan damak sumpitan dan alat sumpitan secara online di Singapura, tambah beliau.

Menurut ACRES, damak sumpitan dan alat sumpitan boleh dijumpai dengan mudah di lelaman e-niaga.

Mediacorp sudah menghubungi NParks untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita