Skip to main content

Singapura

Bangkai ikan paus ditemui di perairan SG; kajian sedang dijalankan

Bangkai seekor ikan paus baleen ditemui di perairan Singapura berhampiran Tanjong Pagar.

Anggaran Waktu Membaca:
Bangkai ikan paus ditemui di perairan SG; kajian sedang dijalankan

Bangkai seekor ikan paus sedang ditarik keluar oleh kru Singapore Salvage Engineers di perairan berhampiran Pusat Kapal Pesiaran Marina Bay pada 12 September 2025. (Gambar: Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Lee Kong Chian, Universiti Nasional Singapura)

SINGAPURA: Bangkai seekor ikan paus baleen ditemui di perairan Singapura berhampiran Tanjong Pagar.

Bangkai itu ditemui pada 6 September lalu dan Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Lee Kong Chian di Universiti Nasional Singapura (NUS) sedang melakukan kajian ke atasnya, menurut muzium itu dalam satu kenyataan media pada Selasa (16 Sep).

Ia dimaklumkan mengenai penemuan bangkai ikan paus itu oleh Lembaga Taman Negara (NParks).

Bangkai ikan paus itu dilaporkan hanyut ke arah Pusat Kapal Pesiaran Marina Bay pada 12 September, menurut muzium itu, sambil menambah pihaknya memantau situasi itu dengan teliti sedang persiapan dijalankan untuk menyelamatkan spesimen tersebut.

Bagi mengelakkannya hanyut ke laut terbuka, para kakitangan muzium bekerjasama dengan Singapore Salvage Engineers untuk mengambil bangkai tersebut.

Bangkai itu dikenal pasti sebagai seekor ikan paus rorqual daripada genus Balaenoptera, yang terdiri daripada spesis ikan paus baleen yang berupaya menapis makanannya.

Spesimen tidak lengkap itu berukuran kira-kira sepanjang 6.3 meter dan dianggarkan seberat kira-kira enam tan.

Ia kini disimpan dengan selamat di satu kawasan larangan untuk diproses dan dikaji secara lebih lanjut, menurut pihak muzium.

"Penilaian awal mendapati bahawa bangkai ikan paus itu berada di tahap reput yang sudah lanjut, maka punca kematiannya tidak dapat dipastikan," kata kurator mamalia di muzium itu, Dr Marcus Chua.

"Buat masa ini, kami berusaha untuk mengetahui sebanyak mungkin tentang haiwan tersebut."

SEDEKAD SEJAK MUZIUM BERPELUANG MENGKAJI BANGKAI PAUS

Sudah sedekad sejak pihak muzium berpeluang mengkaji bangkai seekor ikan paus yang ditemui di perairan Singapura.

Pada 2015, iaitu tahun di mana muzium tersebut dibuka, bangkai seekor ikan paus sperma ditemui terdampar berhampiran Pulau Jurong, menurut muzium itu.

Bangkai berkenaan kemudian digelarkan sebagai Jubi Lee.

Menurut muzium itu lagi, Jubi Lee adalah ikan paus sperma pertama yang ditemui di perairan Singapura dalam rekod.

Ia juga rekod pertama bagi penemuan spesis itu di perairan pesisir sekitar Semenanjung Malaysia.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita