Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Banduan raih keputusan cemerlang peperiksaan GCE O, jadikan pesanan akhir arwah adik sebagai pembakar semangat

"Abang, saya benar-benar bangga dengan abang. Abang boleh lakukannya!"

Anggaran Waktu Membaca:
Banduan raih keputusan cemerlang peperiksaan GCE O, jadikan pesanan akhir arwah adik sebagai pembakar semangat

(Gambar: Facebook/Singapore Prison Service)

SINGAPURA: "Abang, saya benar-benar bangga dengan abang. Abang boleh lakukannya!"

Masih terngiang-ngiang dalam ingatan Adam (bukan nama sebenar), pesanan akhir adiknya semasa beliau datang melawatnya di penjara.

Malangnya seminggu selepas itu, adik lelaki kesayangannya itu meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.

DAPAT KHABAR DUKA 6 BULAN SEBELUM PEPERIKSAAN GCE O

Hancur luluh hati seorang abang apabila mendengar khabar duka itu.

Pada ketika itu juga, Adam bakal menduduki peperiksaan GCE 'O' yang hanya tinggal masa enam bulan lagi.

Pemergian adiknya yang berlaku secara tiba-tiba itu pula menyukarkannya untuk memberi tumpuan kepada pelajaran.

Namun daripada membiarkan dirinya terus diselubungi rasa sedih, Adam memutuskan untuk menjadikan pesanan akhir daripada Allahyarham adiknya itu sebagai perangsang untuk mengecapi kejayaan dalam peperiksaan GCE O.

"Sebulan kemudian, saya bertekad untuk menggunakan rasa sedih ini sebagai pendorong dan tidak hilang fokus," kata Adam, 37 tahun yang pernah bekerja sebagai Cef. Kisahnya dikongsi dalam satu catatan Facebook oleh Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) pada Rabu (19 Jan).

Adam merupakan salah seorang daripada lapan calon di Sekolah Penjara yang menduduki peperiksaan GCE O pada tahun lalu.

PEGAWAI PENJARA, PELAJAR BANDUAN LAIN SEBAGAI PENDORONG

Menurut Adam, ketika berada di Sekolah Penjara, dia banyak menghabiskan masa mengulang kaji pelajaran bersama lapan lagi banduan.

Sepanjang tempoh menjalani hukuman di penjara, Adam sudah berulang kali cuba memohon masuk ke dalam Sekolah Penjara dan peluang keemasan itu ditawarkan pada 2021.

(Gambar: Facebook/SPS)

"Saya rasa begitu bernasib baik dapat mengisi masa dnegan lebih bermakna ketika sedang menjalani hukuman di penjara.

"Apabila kita terus menimba ilmu, minda kita lebih terbuka.

"Lebih baik lagi apabila Pegawai Penjara menganggap kami sebagai seorang pelajar dahulu dan banduan kemudian - dan ini sangat membantu kami," ujar Adam dalam catatan Facebook itu.

Disebabkan oleh pandemik COVID-19, kelas secara fizikal di Sekolah Penjara terpaksa digantung dan banduan meluangkan lebih banyak masa mengulang kaji secara berkumpulan.

RANCANG AMBIL DIPLOMA PENGURUSAN PERNIAGAAN

Hasil kerja kerasnya, Adam berjaya meraih gred 'A' dan 'B' bagi sebilangan besar matapelajaran yang didudukinya dalam peperiksaan GCE 'O'.

Dia sudah memohon untuk mengambil Diploma dalam Pengurusan Perniagaan di Sekolah Penjara.

Pencapaian Adam itu turut menjadi kebanggaan pegawai di Sekolah Penjara.

RO2 Mohamad Faizal Noh yang menemani Adam ke upacara pengebumian arwah adiknya, berkongsi bangga dengan keputusan cemerlang Adam.

"Saya rasa terkesan melihat ketabahan Adam untuk terus bekerja keras di sebalik keadaan yang dihadapi.

"Saya berharap kisahnya ini akan memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar banduan lain untuk menjadi individu yang lebih baik," katanya.

Adam juga menyifatkan gurunya sebagai pendorong utama hingga dia berjaya.

(Gambar: Facebook/SPS)

"Cikgu Nor Aishah Mohamed Salleh memastikan kami benar-benar faham apa yang beliau sampaikan.

"Beliau bukan sekadar pendidik, tetapi juga membantu kami dari segi perkembangan perwatakan," kata Adam.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa