Banduan Penjara Changi yang dijangkiti COVID-19 kerja di dapur penjara
Seorang banduan yang dijangkiti COVID-19 bekerja di dapur penjara dan membantu tugasan menyediakan makanan harian, menurut Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) hari ini (16 Mei).
Kompleks Penjara Changi. (Gambar fail: Amir Yusof)
SINGAPURA: Seorang banduan yang dijangkiti COVID-19 bekerja di dapur penjara dan membantu tugasan menyediakan makanan harian, menurut Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) hari ini (16 Mei).
Lelaki itu, yang dikenali sebagai Kes 63253, diuji bagi virus tersebut selepas seorang tukang masak yang bekerja di situ diuji positif pada 13 Mei. Beliau adalah kontak rapat cef yang digajikan Sats Food itu. Hasil ujian COVID-19 banduan ini positif pada keesokan harinya.
Banduan yang berusia 32 tahun itu dipindahkan ke pusat kuarantin di Kompleks Selarang Park iaitu sebuah kemudahan penjara baru, pada hari yang sama. Keadaan kesihatannya dipantau kakitangan perubatan di situ dan beliau dilaporkan dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan tanda jangkitan, dedah SPS.
"Keempat-empat banduan yang berkongsi sel penjara serta merta dipindahkan ke sel berasingan. Keputusan ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) mereka negatif sejauh ini, dan mereka akan diuji sekali lagi."
Semua kawasan terjejas sudahpun menjalani kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman, tambah SPS.
Banduan dan tukang masak berkenaan bertugas di dapur yang terletak di Institusi A5, di dalam Kelompok A penjara itu. Kompleks Penjara Changi terdiri daripada dua kelompok, dengan setiap satu menampung lima institusi. Kelompok A meliputi Institusi A1, A2, A3, A4 dan A5.
Sekitar 5,000 banduan, kakitangan penjara, relawan, vendor dan kontraktor yang berada di Kelompok A akan diuji bagi COVID-19 sepanjang beberapa hari mendatang. Sekitar 1,050 daripada mereka yang berada di Institusi A5 antara 10 Mei dengan 12 Mei sudahpun menjalani uji koronavirus. Tiada lagi kes COVID-19 dikesan sejauh ini, menurut SPS.
Bagaimanapun, kegiatan di Institusi A5 dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga termasuk sesi kaunseling, kunjungan keluarga dan janji temu hospital yang bukan kritikal.
Sejak 8 Mei, semua banduan baru menjalani proses pengasingan daripada penghuni penjara yang lain selama 21 hari, berbanding 14 hari sebelum ini. Ujian swab PCR juga dikendalikan pada hari pertama mereka masuk penjara dan pada hari ke-14 serta ke-20 proses pengasingan.
Program vaksinasi COVID-19 dijalankan pada 9 Mac bagi banduan yang layak secara perubatan. Sekitar 35 peratus daripada mereka sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin sejauh ini, menurut SPS.
Sekitar 96 peratus kakitangan SPS yang layak juga sudah menerima vaksinasi penuh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.