Banduan Muslim & keluarga kini dibantu Program Kaunseling Rumah Tangga
Secara purata, dalam setahun sekitar 50 banduan Melayu/Islam berdepan proses penceraian semasa menjalani hukuman.
SINGAPURA: Secara purata, dalam setahun sekitar 50 banduan Melayu/Islam berdepan proses penceraian semasa menjalani hukuman.
Lazimnya, isteri yang memfailkan pencerian akan menjalani sesi kaunseling sendirian. Pasangannya di penjara hanya akan dimaklumkan semasa mahkamah memuktamadkan penceraian tersebut.
Ini sesuatu yang selalunya mengejutkan para banduan dan mungkin juga menjadi faktor mereka berpatah balik kepada tabiat lama setelah dibebaskan kelak.
Mahkamah Syariah kini mengambil langkah mahu menyelamatkan lebih banyak lagi keluarga-keluarga sedemikian daripada bercerai berai.
Lantaran itulah, Program Kaunseling Rumah Tangga (MCP) - yang diwajibkan untuk pasangan yang ingin bercerai - kini diluaskan juga kepada para banduan Melayu/Islam yang sedang ditahan di penjara dan keluarga mereka.
Menerusi program itu, kedua-dua suami dan isteri berpeluang menjalani sesi-sesi kaunseling secara 'empat mata' meskipun salah seorang daripada mereka berada dalam penjara - sesuatu yang tidak dapat dilakukan sebelum ini.

LEBIH ADIL UNTUK PASANGAN, KHUSUSNYA GOLONGAN SUAMI
Keputusan cerai atau tidak kini diharap dapat dibuat dengan lebih bijak bagi pasangan seperti itu menerusi Program Kaunseling Rumah Tangga (MCP).
Ini kerana sebagaimana pasangan di luar penjara, mereka juga dapat menjalani sesi kaunseling sebelum membuat apa-apa keputusan.
"Sekarang dengan adanya program ini lebih adillah. Jadi dua-dua suami dan isteri punya suara dapat didengar dan ada penutuplah dalam perkahwinan mereka," kata Kauselor Kanan Jamiyah, Siti Haslinda Karim.
"Kalau tidak selama ini isteri sahaja yang memohon untuk bercerai. Suami pula bila menerima berita ini agak terkejut dan banyak tertanya-tanya dalam fikiran mereka kenapa isteri mahukan penceraian dan macam-macam andaian yang mereka fikirkan yang selalunya tak benar," tambah beliau.
MCP mula diperkenalkan pada 2004, tetapi hanya menjadi wajib untuk dihadiri pasangan yang hendak bercerai bermula tahun 2018, setelah Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) dipinda.

3 HINGGA 5 SESI KAUNSELING WAJIB
Objektif MCP pastinya untuk seboleh mungkin menyelamatkan rumah tangga pasangan yang dibelenggu masalah.
Sekalipun demikian, sekiranya mereka sudah berkerat rotan berpatah arang, program kaunseling itu diharap dapat membantu mereka mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan yang paling penting melindungi kebajikan anak-anak mereka, khususnya yang berusia di bawah 21 tahun.
Ini kerana, pasangan akan diberi panduan bagaimana untuk menimbangkan keperluan serta kesejahteraan anak-anak semasa membuat keputusan. Mereka juga akan diajarkan kemahiran menjalankan tanggungjawab bersama sebagai ibu bapa meskipun sudah bercerai.
Bagi pasangan yang mempunyai anak, mereka akan menjalani sebanyak lima sesi kaunseling, manakala pasangan yang tiada anak menjalani tiga sesi kaunseling.
BOLEH LALUI KAUNSELING MENERUSI VIDEO
Sesi-sesi kaunseling juga kini boleh diadakan menerusi persidangan video di salah satu daripada enam pusat satelit masyarakat yang terletak di kawasan-kawasan kejiranan.
Antaranya, Pusat Masyarakat Kampong Ubi, Pusat Keluarga Lake Side dan Persatuan Anti-Narkotik Singapura di Sengkang.
Mahkamah Syariah juga bekerjasama dengan gerakan M³ menerusi program FITRAH untuk menyediakan sokongan yang diperlukan keluarga para banduan.
Ini antara lain termasuk soal pengurusan anak atau kewangan dan juga sokongan emosi. Program dan skim itu bagi memudahkan pasangan menjalani sesi-sesi kaunseling.

Program kaunseling rumah tangga itu diluaskan kepada para banduan menyusuli kejayaan MCP menyambung semula ikatan perkahwinan yang hampir terlerai dalam kalangan pasangan Melayu/Islam yang lain.
Menurut Setiausaha Parlimen Kanan, Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin, daripada 3,200 pasangan Melayu/Islam yang memfailkan penceraian antara tahun 2016 dengan 2018, sekitar 48 peratus daripadanya berjaya menghuraikan masalah mereka.
"Kita telah lihat kejayaan program kaunseling ini yang telah memanfaatkan ramai di antara mereka yang sedang melalui proses penceraian. Jadi kita mahu menghulurkan bantuan kepada para banduan yang mungkin rasa amat terjejas," kata Encik Amrin.
MENYANGKA PERCERAIAN AKAN HURAIKAN MASALAH, TAPI...
Cik Haslinda menambah, program kaunseling itu berhasil membantu membuka mata pasangan yang ingin bercerai untuk melihat kepada punca sebenar permasalahan mereka.
"Mereka tidak dapat sokongan daripada keluarga dan semua orang cakap 'bercerailah bercerailah'. Jadi mereka ingat dengan perpisahan itu akan selamatkan, huraikan segala masalah tapi bila mereka hadir dalam sesi kaunseling mereka tahu punca keretakan rumah tangga mereka dan kita fokus pada puncanya. Selalunya puncanya isu kecil sahaja," ujar beliau.
Tahun ini, sebanyak 19 kes penceraian difailkan melibatkan banduan Melayu/Islam dan 3 daripadanya sudah mula menjalani sesi kaunseling itu.

SOKONGAN DARIPADA 'FITRAH'
Dalam pada itu program FITRAH juga menyediakan para pendamping untuk menjalankan lawatan ke rumah untuk lebih memahami keperluan keluarga para banduan dan merujuk mereka kepada pihak-pihak yang sesuai.
Malah, para banduan yang baru dibebaskan juga akan disambut oleh para relawan FITRAH menerusi skim Back-to-FITRAH atau Kembali kepada FITRAH.
Para pendamping akan menyambut para bekas banduan di luar penjara pada hari mereka dibebaskan dan menyerahkan 'hadiah' Back-to-FITRAH kepada mereka.
Ini termasuk baucar fidyah, kad EZ-Link, sejadah dan maklumat tentang di mana mereka boleh mendapatkan bantuan.
Sejak dimulakan pada bulan April tahun ini, sekitar 40 bekas banduan sudah meraih manfaat daripada program tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.