Bandar Eko Tianjin China-SG akan ada taman inovasi hijau; jadi contoh bagi bandar China lain

Bandar Eko Tianjin. (Gambar: Pembangunan dan Pelaburan Bandar Eko Tianjin China-Singapura)
TIANJIN: Bandar Eko Tianjin China-Singapura meraikan ulang tahunnya yang ke-15 tahun ini. Kedua-dua negara mengumumkan pada Khamis (7 Dis) bahawa ia akan dibangunkan menjadi sebuah zon dengan pertumbuhan ekonomi rendah karbon dan berfungsi sebagai contoh bagi bandar-bandar China yang lain.
Kerja-kerja bagi membangunkan sebuah taman inovasi hijau juga akan bermula tahun ini di pusat bandar Bandar Eko tersebut. Timbalan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong merasmikan majlis pecah tanah pada Khamis, bersama Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang.
Pembangunan tersebut dimeterai di bawah rangka kerja baharu, yang diumumkan oleh Singapura dan China di Majlis Peneraju Bersama (JSC) Bandar Eko Tianjin China-Singapura ke-15.
JSC menyemak semula kemajuan pembangunan tersebut dan membincangkan kerjasama lanjut mengenai tiga projek utama antara pemerintah China-Singapura, termasuk Bandar Eko Tianjin.
Hari ini, Bandar Eko mempunyai lebih 150,000 penduduk, naik daripada 20,000 pada 2014, serta 30,000 buah syarikat. Dilancarkan pada 2008, ia kini mempunyai pelbagai pembangunan perumahan, ruang masyarakat dan rekreasi, serta sekolah dan tempat kerja.
Kementerian Pembangunan Negara (MND) menyatakan dalam satu kenyataan media bahawa rangka kerja baharu itu "akan mengukuhkan Bandar Eko sebagai peneroka bagi bandar mesra iklim," dan memperluaskan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.
FASA BAHARU TRANSFORMASI BANDAR
Menurut MND, majlis pecah tanah pusat bandar Bandar Eko itu diadakan sedang ia memasuki fasa baharu transformasi bandar.
Keppel juga akan membangunkan sebuah kawasan bijak bebas karbon di daerah utara Bandar Eko. Di samping itu, taman inovasi hijau yang akan datang akan "menawarkan kemungkinan baharu untuk menggunakan dan meningkatkan huraian inovatif di Tianjin dan seterusnya", kata MND.
Sementara itu, China dan Singapura akan membangunkan bersama Bandar Eko sebagai "zon pameran pembangunan hijau negara" yang dinaik taraf. Ia akan menampilkan pertumbuhan ekonomi rendah karbon bermutu tinggi dan berfungsi sebagai contoh bagi bandar-bandar lain di China dan seterusnya.
Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) akan menjadi institut pengajian tinggi yang pertama di Singapura untuk menubuhkan sebuah pusat penyelidikan dan inovasi di Bandar Eko.
KORIDOR PERKAPALAN, INISIATIF KERJASAMA
Singapura dan Tianjin juga akan mewujudkan koridor perkapalan hijau dan digital, koridor pertama seumpamanya untuk menghubungkan kedua-dua negara.
Koridor itu akan menjadi tapak ujian bagi kedua-dua negara untuk merintis dan mencuba huraian digital, bahan api alternatif dan teknologi, serta memudahkan pembangunan tenaga kerja untuk menyokong usaha mengurangkan pelepasan karbon dan pendigitalan industri perkapalan.
Bagi menubuhkan koridor itu, satu memorandum persefahaman - salah satu daripada 24 MOU dan perjanjian yang diumumkan pada Khamis - dimeterai antara Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura serta Suruhanjaya Pengangkutan Perbandaran Tianjin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.