BAKTISG: Pada usia 22 tahun, Imran Mean sudah ada rangkaian relawan sendiri, bantu lebih 1,500 keluarga
Sempena tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, "Maju Bersatu", BERITA Mediacorp paparkan lapan individu dan pertubuhan yang menyumbang kepada masyarakat tidak mengenal sempadan negara, kaum ataupun agama.
SINGAPURA: Sempena tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, "Maju Bersatu", BERITA Mediacorp paparkan lapan individu dan pertubuhan yang menyumbang kepada masyarakat tidak mengenal sempadan negara, kaum ataupun agama.
Dalam laporan pertama ini, kenali Muhamad Imran Mean, anak muda berjiwa besar yang mempunyai rangkaian relawannya sendiri untuk membantu mereka yang memerlukan.
Setiap bulan, sekitar 50 golongan gelandangan di Johor Bahru, Malaysia menerima sumbangan makanan percuma hasil usaha sekumpulan belia kota Singa.
Inisiatif itu dimulakan Imran yang sudah terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan sejak hampir sedekad.
"Saya daripada golongan yang susah, saya rasa saya tahu apa yang golongan gelandangan dan orang susah rasakan," kata Imran.
(Gambar: Imran Mean)
Melihat perwatakannya yang peramah, sukar dibayangkan bahawa anak kedua daripada tiga beradik itu sebenarnya seorang yang introvert.
Melalui kerja-kerja kemasyarakatan kata Imran, ia juga telah meningkatkan daya keyakinannya.
"Saya agak pendiam, memang pendiam. Tidak mahu berbicara dan tidak mahu berkawan dan berinteraksi dengan yang lain sekali tapi pada satu harinya, kawan saya mengajak saya kepada acara masyarakat iaitu di Woodlands. Jadi daripada hari itu juga saya menjadi lebih yakin. Bila saya lebih yakin, saya terlibat dalam aktiviti sukarelawan dan menjadi lebih aktif dalam acara-acara masyarakat sedemikian," ujar Imran.
RANGKAIAN RELAWAN SUDAH BERIKAN BANTUAN LEBIH S$30,000
Imran juga memulakan rangkaian sukarelawannya sendiri, IM Volunteers Network SG pada November 2020 untuk meluaskan lagi kerja-kerja kebajikannya.
Menerusi pelbagai usaha murni yang dijalankan, beliau berjaya membantu lebih 1,500 keluarga dan memberikan bantuan lebih S$30,000.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Khidmat-khidmat yang IM Volunteers Network SG berikan adalah seperti agihan bulanan yang kita berikan ialah barang-barang keperluan rumah seperti beras, minyak, tepung dan macam-macam lagi kepada keluarga yang susah di macam-macam daerah seperti Ang Mo Kio, Cheng San, di Jurong, di Tampines North dan di Choa Chu Kang juga," tambah Imran.
Selain sumbangan para penaja dan penderma, Imran juga mengeluarkan duit simpanannya sendiri untuk membiayai sebahagian kos.
Namun, beliau tidak mengeluh kerana baginya 'ganjaran berharga' dapat diraihnya.
"Selalunya kita kena keluarkan duit sendiri. Baru kita akan merasakan kepuasan bila kita atau saya sendiri yang melihat senyuman mereka dan kegembiraan mereka sendiri," kata Imran.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Usahanya itu juga dapat memberi wadah kepada golongan belia untuk berbakti kepada masyarakat.
Menurutnya, "Kita adalah masa depan generasi yang akan datang. Kalau kita tidak memulakan perjalanan relawan kita pada hari ini, bila lagi kita mahu mulakan?"
INSPIRASI KEPADA BELIA LAIN
Meskipun jadualnya padat dengan pelbagai projek kemasyarakatan setiap minggu, pelajar tahun kedua Diploma dalam Pembangunan Masyarakat di Politeknik Ngee Ann itu bijak mengimbangi masa.
Sikap dirinya yang ramah dan suka berbudi itu juga menjadi teladan buat rakan-rakan sekolahnya.
"Selama yang saya kenal dia, dia pandai membahagikan masa dia untuk keluarga, kawan-kawan dan kerja. Dia memberi kita motivasi semua sebagai kawan untuk membahagikan masa kita dengan baik," kata rakannya, Rose Syahindah Selamat.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Beliau juga tidak lokek berkongsi ilmu dan memberikan kata-kata semangat kepada rakan-rakannya.
"Sebagai seorang kawan yang lebih tua, saya rasa dia memahami keadaan saya. Dia akan selalu berikan kata-kata nasihat buat saya. Dia selalu akan jadi satu ketua, dia akan selalu ada untuk ceriakan kami," jelas Muhammad Qusyairi Abdul Rahman.
SELALU 'AMBIL BERKAT' DARI IBU BAPA
Selain mengorbankan tenaga, Imran juga perlu mengorbankan masa bersama keluarga bagi kerja-kerja sukarelanya.
Namun, ibu bapanya tetap memberi galakan kepada anak teruna mereka itu dan berbangga atas pencapaiannya.
"Sebelum dia buat sesuatu, dia berunding sama bapa, sama mak dia dulu. Dia nak begini-begini boleh tidak? Cuma saya beritahu kalau nak buat sesuatu itu, kata orang itu ikhlaslah," pesan bapanya, Encik Mean Wongsodinomo.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Adik beradiknya juga kagum dengan tekad dan komitmen Imran.
"Kenapa kamu mahu membantu orang-orang? Jadi dia jawab sebab 'Saya tidak mahu orang lain mengalami perkara yang sama seperti saya'. Jadi pada saya itu sangat 'wow'. Walaupun usianya muda, hatinya besar," kata kakaknya, Cik Nur Aslinda Mean.
Abang iparnya, Encik Muhammad Hirzi Jasmin pula berpendapat, "Apa-apa yang dia lakukan membantu orang lain, bukan sahaja kepada masyarakat yang memerlukan, tapi memberikan peluang dan wadah kepada generasi-generasi muda untuk membantu membuat perubahan yang bermakna."
(Gambar: Syawal Yusoff)
Bagi Imran, perjalanannya untuk berbakti pada masyarakat masih jauh.
Beliau juga berharap dapat mengembangkan lagi usahanya agar tiada yang ketinggalan dan dapat maju bersama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.