BAKTISG: Juruterbang SIA hulur bantuan buat golongan kurang bernasib baik di dalam & luar negara
Mereka merupakan anggota Jawatankuasa Amal SIA di bawah naungan Persatuan Juruterbang Syarikat Penerbangan Singapura (ALPA-S).
Kumpulan itu ditubuhkan khas pada 1995 untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

BANTU GOLONGAN YANG MEMERLUKAN
Meskipun bukan mudah untuk memenuhi jadual kerja dan membahagikan masa untuk keluarga, usaha kebajikan ini amat bermakna bagi juruterbang Ja'affarsiddiq Mohammad Safrin.
"Salah satu projek yang kami melibatkan diri kami adalah projek Sunbeam Charity di mana selain menyumbangkan dana untuk Persatuan Sunbeam, kami juga meluangkan masa kami berinteraksi bersama kanak-kanak di 'Sunbeam Children's Home'. Kami sediakan kegiatan hiburan seperti pertunjukan silap mata dan reruai permainan buat mereka dan juga jamuan makan," kata Encik Ja'affarsiddiq.
Lebih bermakna lagi, beliau dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman tentang bidang yang diminatinya.
Ini menerusi usaha sama antara Yayasan MENDAKI, SINDA dan Aeroviation Private Limited untuk membantu para pelajar mengenali lebih dekat lagi bidang aeroangkasa.
"Kami ada sukarelawan yang meluangkan masa mereka untuk bersama kanak-kanak tersebut dan memberikan mereka peluang untuk mengendalikan pesawat di dalam simulasi dan mengenali bidang penerbangan di Singapura," kongsi Encik Ja'affarsiddiq.
NEGARA DILANDA BENCANA ALAM, PERGOLAKAN POLITIK JUGA DIBANTU
Daya usaha ini bukan sahaja dijalankan di sini malah juga di negara yang dilanda bencana alam dan pergolakan.
"Kami ke Nepal sewaktu peperangan sivil dan kami membuat sebuah siri gambar dan dengan sokongan daripada kesemua rakan-rakan dan rakan setugas saya, kami berjaya mengumpulkan derma sebanayk S$92,000," kongsi Pengerusi Jawatankuasa Amal SIA, Encik Yang Siew.

Sejauh ini Jawatankuasa Amal SIA ini sudah melakukan 12 misi bantuan di Nepal sejak 2004.
"Bermula dari 1995 sehingga sekarang kami ada lima negara (yang kami bantu). Nepal adalah salah satunya, kemudian Myanmar, Kemboja, Filipina, Taufan Haiyan dan gempa bumi di Lombok. Jadi secara purata kami pergi ke setiap negara dalam enam kali. Kami masih berhubung dengan penduduk dalam empat dalam lima negara," kata Encik Yang Siew.
Antara tumpuan utama jawatankuasa adalah untuk membina semula masyarakat dan pembelajaran buat kanak-kanak.
Beliau juga percaya kanak-kanak golongan yang perlu dibantu kerana mereka ada generasi akan datang dan untuk merubah masa depan mereka.

Di samping mengimbangi masa dengan keluarga dan kerjaya, jadual penerbangan yang tidak menentu juga kadang kala menjadi kekangan bagi ALPA-S meluaskan lagi usaha mereka.
"Jika ia diperlukan, pengerusi jawatankuasa akan menghubungi para juruterbang yang tidak bertugas untuk misi-misi kemanusiaan ini," kata Encik Yang Siew.
"Pengorbanan yang paling besar sebagai juruterbang adalah pengorbanan masa terutama sekali buat keluarga dalam menjalankan tugas, kadang-kadang kita terlepas peluang meraikan hari-hari penting bersama keluarga," kata Encik Ja'affarsiddiq.
Namun, mereka bertekad untuk berikan sebaik yang mungkin.

"Salah satu sebab yang paling menyedihkan adalah apabila kami memberitahu seseorang yang kami tidak boleh bantu mereka lagi. Ia adalah sesuatu yang kami harus hadapi kerana kekangan kakitangan yang kami ada namun kami sentiasa memberikan yang terbaik," ujar Encik Yang Siew.
Menurut beliau lagi, jumlah tertinggi juruterbang yang pernah terlibat dalam satu-satu projek adalah projek "Feed The City" yang melibatkan 160 juruterbang yang telah menyumbangkan 42,913 bungkus makanan kepada 219 isi rumah dalam masa lima minggu.
ALPA-S berharap lebih ramai juruterbang akan tampil ke hadapan untuk sertai mereka bagi menjayakan projek-projek amal ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.