Skip to main content

Singapura

Bakti Mejar (Bersara) Ridzwan Abu Bakar terus dikenang; pernah berkhidmat bagi 3 presiden

Anggaran Waktu Membaca:
Bakti Mejar (Bersara) Ridzwan Abu Bakar terus dikenang; pernah berkhidmat bagi 3 presiden

Mejar (Bersara) Ridzwan menerima sijil penghargaan daripada Presiden Halimah Yacob pada 16 Mei. (Gambar: PIONEER)

SINGAPURA: Mejar (Bersara) Ridzwan Abu Bakar bersara sebagai Adikong Kehormat (HADC) selepas berkhidmat bagi tiga presiden sepanjang tempoh 17 tahun.

Sebagai seorang pegawai infantri, beliau perlu memimpin para anggota tentera bagi latihan yang sukar di hutan rimba. Waktunya panjang dan beliau perlu kerap berjauhan dengan keluarga.

Namun apabila ditawarkan peluang untuk berkhidmat sebagai Adikong Kehormat sekitar dua dekad lalu, Mejar (Bersara) Ridzwan tidak berasa ragu untuk meluangkan masa dan memberi khidmat kepada Presiden Singapura.

Ini semua demi membanggakan arwah bapanya.

Bapanya, Pegawai Waran Kedua (2WO) (Bersara) Abu Bakar Amat Siam, adalah pegawai waran dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Dalam wawancaranya bersama majalah online SAF, PIONEER, beliau berkata: "Apabila saya pertama kali ditawarkan peluang untuk menjadi HADC, bapa saya adalah orang pertama yang menggalak saya supaya bersetuju dengan pelantikan itu.
(Gambar: PIONEER)
"Jadi setiap kali saya diperlukan untuk menjalankan tugas sebagai HADC, saya akan selalu teringat arwah bapa saya dan bagaimana beliau sering memberitahu saya untuk sentiasa memberi yang terbaik."

Mejar (Bersara) Ridzwan adalah antara 25 HADC yang bersara tahun ini.

HADC juga merupakan duta di Pejabat Presiden. Mereka membantu ADC sepenuh masa untuk merancang, menguruskan dan melaksanakan acara dan persidangan yang dihadiri Presiden.

Mejar (Bersara) Ridzwan pernah berkhidmat bagi tiga presiden - Encik S.R. Nathan, Dr Tony Tan dan Puan Halimah Yacob.

"Ketiga-tiga presiden itu sangat ramah dengan kami."
(Gambar: PIONEER)
Menyentuh tentang salah satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan sebagai HADC, beliau berkata kepada PIONEER ia adalah ketika beliau mengiringi Puan Halimah bagi lawatan negara ke Arab Saudi pada 2019.

Beliau berpeluang memasuki Kaabah di Masjidil Haram, di tanah suci Makkah bersama Puan Halimah.

Hanya orang kenamaan seperti ketua negara yang diundang oleh kerajaan Saudi untuk memasuki Kaabah.

"Ia satu pengalaman yang tak akan saya lupakan," kata Mejar (Bersara) Ridzwan kepada PIONEER.

Beliau juga salah seorang pengawal di upacara persemadian negara S.R. Nathan pada 2016. Beliau juga menjadi pengawal bagi upacara serupa untuk Encik Lee Kuan Yew pada 2015.

KHIDMAT YANG BERDEDIKASI

Dalam ucapannya kepada HADC yang baru dilantik serta yang sudah bersara, Puan Halimah memuji dedikasi Mejar Ridzwan.

"Beliau berkhidmat dengan penuh tekun selama hampir dua dekad dan berjaya naik pangkat bagi memegang jawatan pemimpin... Saya pasti ramai akan rindukan perkongsian dan kesudiannya untuk berkongsi ilmu," kata beliau.

Dengan lebih sedekad pengalaman sebagai HADC, Mejar (Bersara) Ridzwan sering ditugaskan untuk memimpin dan memberi panduan kepada HADC baru.

Misalnya, beliau bertanggungjawab melatih HADC yang berdiri di belakang Presiden bagi pelbagai istiadat Pelantikan Hari Kebangsaan.

"Tugas saya adalah untuk memastikan mereka berbaris bersama-sama ke tempat yang betul dan tabik hormat pada masa yang sama," katanya, yang berusia 50 tahun.

Mejar (Bersara) Ridzwan bersara dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada Disember tahun lalu.

Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Ketua Pakar Urusan di Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC).
Sumber : Sumber Web/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita