Skip to main content

Singapura

Bakteria E.coli punca acara renang Kejohanan Akuatik Dunia di Sentosa ditangguh

Anggaran Waktu Membaca:
Bakteria E.coli punca acara renang Kejohanan Akuatik Dunia di Sentosa ditangguh

Lokasi bagi acara renang air terbuka sempena Kejohanan Akuatik Dunia 2025 berhampiran Pantai Palawan di Sentosa pada 7 Julai 2025. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)

SINGAPURA: Paras bakteria E. coli yang melepasi tahap piawaian menjadi punca acara renang terbuka wanita 10km bagi Kejohanan Akuatik Dunia di Sentosa ditangguhkan, kata Pengarah Eksekutif World Aquatics, Brent Nowicki pada Selasa (15 Jul).

Bercakap kepada media di Parkroyal Collection Marina Bay pada petang Selasa (15 Jul), Encik Nowicki berkata punca sebenar kejadian itu masih belum dikenal pasti.

Ujian mutu air sudah dijalankan pada Ahad, dan hasil ujian itu diterima pada lewat petang Isnin.

“Ujian tersebut menunjukkan paras E. coli yang melebihi had ... Kami tidak tahu mengapa ia berlaku kerana ujian sebelum ini sangat konsisten dan kukuh,” katanya.

“Saya hanya membuat spekulasi, tetapi nampaknya ia adalah kes terpencil yang berlaku pada Sabtu atau Ahad dan menyebabkan lonjakan bacaan sebelum ujian mutu air dijalankan,” tambah beliau.

E. coli ialah sejenis bakteria yang biasanya ditemui dalam usus manusia dan haiwan, dan boleh berlaku akibat silang pencemaran.

Meskipun kebanyakannya tidak berbahaya, sesetengah jenis boleh menyebabkan cirit-birit, sakit perut, kekejangan dan demam.

Encik Nowicki berkata ujian lanjut terhadap mutu air sudah dijalankan pada awal pagi Selasa, dan acara tersebut akan diteruskan pada Rabu jika hasil ujian awal menunjukkan ia berada pada paras yang boleh diterima.

Beberapa jam sebelum acara dijadualkan bermula pada Selasa, pihak penganjur mengumumkan bahawa acara renang itu ditangguhkan kerana mutu air tidak memenuhi “ambang yang boleh diterima”, menurut penganjur.

Dalam kenyataan media pada awal pagi Selasa, World Aquatics mengumumkan bahawa keputusan itu dibuat demi “keselamatan atlet”.

Acara yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada pukul 8.00 pagi Selasa, kini akan dijalankan pada pukul 10.15 pagi Rabu.

Perenang Olimpik Singapura, Chantal Liew dan atlet muda Kate Ona dijadua bertanding dalam acara tersebut.

Keputusan untuk menangguhkannya dibuat selepas pemeriksaan bersama wakil dari World Aquatics, Jawatankuasa Penganjur Singapura 2025, Jawatankuasa Perubatan Sukan dan Jawatankuasa Teknikal Renang Air Terbuka World Aquatics.

Ketua jurulatih pasukan negara, Gary Tan, berkata beliau dan para perenang dimaklumkan mengenai penangguhan itu sekitar pukul 11.45 malam pada Isnin (15 Jul).

“Pasukan kami segera memaklumkan perkembangan ini kepada para perenang yang terlibat bagi langkah seterusnya,” katanya.

Encik Tan, yang juga pengarah prestasi renang di Singapore Aquatics, berkata penangguhan seperti ini bukan perkara luar biasa dalam kejohanan renang air terbuka antarabangsa.

“Para perenang kami sudah biasa dengan perubahan sebegini. Mereka tetap bersemangat, dan walaupun acara ditangguhkan ke waktu lain, mereka sudah berlatih dalam keadaan serupa dan bersedia untuk menyesuaikan diri.”

World Aquatics turut menyatakan bahawa ujian air susulan dan pemeriksaan mutu air akan terus dijalankan di lokasi pertandingan, dan keputusan untuk meneruskan acara pada tarikh lain akan dibuat bersama oleh World Aquatics dan jawatankuasa penganjur.

Kejohanan ini menampilkan enam sukan – renang, polo air, terjun cantik, renang artistik, renang air terbuka dan acara papan terjun tinggi.

Ia akan berlangsung sehingga 3 Ogos.

Ini merupakan kali pertama kejohanan ini dianjurkan oleh sebuah negara Asia Tenggara.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita