Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Baki 4 tertuduh didenda S$3,000 kerana berkumpul di Pulau Sekijang Pelepah semasa Fasa 2

Baki empat orang daripada kumpulan seramai 12 individu yang dihadapkan ke mahkamah kerana melanggar sekatan terhadap perhimpunan sosial COVID-19 masing-masing didenda S$3,000 pada Rabu (24 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Baki 4 tertuduh didenda S$3,000 kerana berkumpul di Pulau Sekijang Pelepah semasa Fasa 2

Sekumpulan individu hadapi tindakan undang-undang kerana adakan perhimpunanbesar di Pulau Sekijang Pelepah semasa COVID-19 (Gambar: Facebook/San Kee Lim)

Diterbitkan : 24 Feb 2021 01:34PM Dikemas Kini : 24 Feb 2021 01:42PM

SINGAPURA: Baki empat orang daripada kumpulan seramai 12 individu yang dihadapkan ke mahkamah kerana melanggar sekatan terhadap perhimpunan sosial COVID-19 masing-masing didenda S$3,000pada Rabu (24 Feb).

Rakyat Britain Joshua Adam Roth, 31; Edward John Joseph Lee-Bull, 33; Helen Ann Sullivan, 31; dan James Riby Oram Trimming, 31; masing-masing mengaku bersalah atas satu tuduhan berkumpul dengan individu-individu lain untuk tujuan yang tidak dibenarkan.

Mereka berkumpul dengan lapan orang lain pada 2 Ogos tahun lalu, semasa Fasa 2 pembukaan semula Singapura yang ketika itu menghadkan pergerakan untuk membendung penularan COVID-19.

Sekitar 11.00 pagi pada 8 Ogos, kumpulan itu menaiki feri ke Pulau Sekijang Bendera (St John's Island) sebelum pergi ke Pulau Sekijang Pelepah (Lazarus Island).

Mereka meluangkan masa selama sehari di sana sebelum menaiki feri untuk pulang ke tanah besar Singapura pada sekitar 6.00 petang.

Kegiatan mereka terbongkar apabila salah seorang daripada mereka memuat naik gambar perhimpunan itu ke laman media sosial.

Timbalan Pendakwa Raya Timotheus Koh mengusulkan denda S$3,000 ke atas keempat-empat tertuduh itu, setara dengan hukuman yang dikenakan terhadap para tertuduh lain.

Peguam Shafiuddin Ong, yang mewakili Joseph Lee-Bull, Roth dan Sullivan, berkata anak-anak guamnya memohon maaf dan menyesali tindakan mereka.

"Mereka kini menyedari betapa seriusnya tindakan mereka itu," katanya, sambil menambah bahawa denda yang dikenakan semasa tempoh pemutus jangkitan dan jika melanggar peraturan yang ditetapkan dalam Fasa 2 seharusnya berbeza.

Trimming, yang tidak diwakili peguam, berkata bahawa dia juga menyesali atas tindakannya itu.

Dalam responsnya, pihak pendakwa menegaskan bahawa denda yang berbeza sudahpun ditangani dalam perbicaraan sebelumnya yang melibatkan para tertuduh lain.

Encik Koh menekankan: "Peraturan atau matlamat di sebalik peraturan itu adalah sama, iaitu untuk mencegah penularan COVID-19."

Beliau menambah, para tertuduh mengetahui "dengan jelas bahawa mereka tidak boleh berkumpul seramai itu" dan perlu dihukum setimpal dengan tindakan mereka.

Hakim bersetuju bahawa tidak sepatutnya ada perbezaan ketara dalam menangani kesalahan yang dilakukan semasa dan selepas tempoh pemutus jangkitan.

Atas kesalahan melanggar peraturan COVID-19, tertuduh masing-masing boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda tidak melebihi S$10,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan