Skip to main content

Singapura

Bakau langka dari Timor-Leste akan ditanam untuk perkaya biodiversiti SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tidak lama lagi, spesies bakau yang jarang ditemui dari Timor-Leste akan ditanam di Singapura buat pertama kalinya.

Ini bagi memperkaya biodiversiti tempatan dan menangani perubahan iklim.

Orang ramai boleh melawat kawasan bakau tersebut di Taman Pesisir Timur apabila ia dibuka semula pada tahun 2027.

Pusat kajian bakau yang terletak di timur Dili itu adalah kebanggaan masyarakat Timor-Leste.

Ia menghasilkan sehingga 40,000 anak pokok setiap tahun.

Anak pokok itu digunakan untuk memulihkan kawasan pantai yang rosak.

Seorang pakar bakau Timor-Leste bernama Agustino Mendez Perera berkata betapa bakau sangat penting kerana dengannya, ikan boleh membiak di celah-celah akar bakau, dan monyet juga boleh memanfaatkannya.

Kini, sebahagian benih dari pusat tersebut akan dibawa ke Singapura menerusi kerjasama antara kedua-dua negara.

Pakar Hortikultur Utama, Taman di Persisiran Anton Van Derschan berkata: "Secara khusus, kami sedang mencari beberapa spesies, atau bahkan genus, yang tiada di Singapura. Salah satu spesies yang kami temui di sini ialah Pemphis acidula, dan ia biasanya merupakan pokok renek yang tumbuh di belakang kawasan bakau, atau di pantai serta kawasan berbatu misalnya.

"Di Singapura, spesis ini kini dikatakan sangat terancam."

Pasukannya ingin mewujudkan kawasan berpaya seperti hutan bakau di Taman Pesisir Timur. Ia akan menjadi kawasan kedua seumpamanya.

Yang pertama ialah Kingfisher Wetlands di Taman di Persisiran. Kawasan tersebut terbukti menyerap lebih banyak karbon dari persekitaran berbanding hutan bakau lain di Singapura.

Di Timor-Leste, masyarakatnya memainkan peranan penting dalam pemuliharaan bakau.

Kumpulan belia dan pelajar turut membantu menanam anak pokok di pantai negara.

Usaha-usaha tersebut membantu mereka memahami peranan penting bakau untuk memelihara alam sekitar.

Projek Taman Pesisir Timur akan datang turut akan melibatkan penyertaan orang awam seperti yang dilakukan di Timor-Leste.

Timbalan Pengarah bagi Operasi Taman, Taman di Persisiran Lai Liangfa berkata: "Kami akan melibatkan orang ramai dalam aspek penanaman, pemantauan, serta pengurusan bakau di habitat paya bakau tersebut. Kawasan itu juga akan digunakan sebagai persekitaran pembelajaran untuk para pelajar serta rakyat Singapura, supaya mereka dapat datang dan mempelajari peranan penting bakau."

Menjelang pembukaannya pada 2027, orang ramai berpeluang membantu menanam bakau dari Timor-Leste di Singapura.
 
Sumber : CNA/QA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita