Bakat kejuruteraan kunci jaya Negara Bijak
Seramai sembilan pelajar dianugerahi Biasiswa Negara Bijak hari ini (17 Ogos). Mereka merupakan kumpulan pelajar pertama yang menerima biasiswa itu.
SINGAPURA: Seramai sembilan pelajar dianugerahi Biasiswa Negara Bijak hari ini (17 Ogos). Mereka merupakan kumpulan pelajar pertama yang menerima biasiswa itu.
Biasiswa itu dilancarkan pada bulan Mac tahun ini bagi membangun dan mengasah bakat para pemimpin generasi akan datang yang akan menerajui transformasi digital nasional.
Ia ditawarkan secara bersama oleh Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura, Agensi Teknologi Pemerintah (GovTECH) dan Penguasa Pembangunan Media Infokom (IMDA).
"Kami akan melabur dalam keupayaan kejuruteraan jangka panjang, bagi memastikan kami mempunyai kumpulan mantap peneraju inovasi generasi muda yang bersemangat untuk membawa pembaharuan dan perubahan teknologi dalam perkhidmatan awam dan sektor privet," kata Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak Dr Vivian Balakrishnan.
Beliau menarik perhatian bahawa Pemerintah sebelum ini mendapatkan khidmat-khidmat pembangunan perisian dari negara-negara lain sedekad lalu, tetapi keadaannya sudah berubah.
Dr Balakrishan menambah bahawa menarik dan mengekalkan bakat tempatan perlu dilakukan kerana persaingan global untuk mendapatkan bakat kian sengit.
Para penerima Biasiswa Negara Bijak dipilih melalui proses penilaian terperinci yang terdiri daripada ujian-ujian kebolehan, temu duga pengurusan dan penilaian tertumpu agensi.
Mereka akan melanjutkan pelajaran dalam bidang berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi, seperti sains komputer, keselamatan maklumat dan matematik, di universiti tempatan dan luar negara.
Kebanyakannya mahir dalam ilmu dan kemahiran teknikal seperti pemprograman dan visualisasi data. Mereka juga sudah mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan ICT.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.