Bakat grafik Fizah Rahim dan Rezaliando digunakan syarikat gergasi Uniqlo, Nike, IBM
Kemahiran dua bakat grafik tempatan, Cik Fizah Rahim dan Encik Rezaliando disunting syarikat fesyen antarabangsa yang terkemuka dari Jepun, Uniqlo.
BERITAMediacorp: Kemahiran dua bakat grafik tempatan, Cik Fizah Rahim dan Encik Rezaliando disunting syarikat fesyen antarabangsa yang terkemuka dari Jepun, Uniqlo.
Uniqlo memanfaatkan bakat yang juga pemilik firma reka grafik Machineast untuk mengetengahkan satu konsep teknologi baru dipanggil 'AIRism'.
Rekaan seni tersebut bakal dipaparkan dalam pameran rekaan Singaplural, iaitu acara kemuncak tahunan bagi Minggu Rekaan Singapura yang akan diadakan dari 7 hingga 12 Mac ini.
Pameran Singaplural tahun ini membawakan perspektif yang baru dengan memaparkan bagaimana rekaan mempengaruhi kehidupan harian melalui spektrum kreatif dari pelbagai aspek.
MACHINEAST BERPENGALAMAN BEKERJA DENGAN JENAMA GERGASI
Pasangan ini baru sahaja menubuhkan Machineast tahun lalu, iaitu sebuah firma rekaan grafik, namun sudah menimba banyak pengalaman semasa bekerjasama dengan jenama-jenama gergasi seperti Nike dan IBM, dan hasil kerja mereka ditayangkan di seluruh dunia.
Kekuatan mereka dalam menghasilkan rekaan video grafik animasi tiga dimensi yang menarik lagi kreatif, kemudian menambat perhatian syarikat Uniqlo.
Sempena acara Singaplural tahun ini, iaitu satu pertunjukan rekaan berprofil tinggi, Machineast dan Uniqlo akan berganding bahu untuk memperkenalkan konsep teknologi fabrik yang baru oleh Uniqlo, dipanggil 'AIRism'.
AIRism sejenis kain yang memastikan anda sejuk walau dipakai pada musim panas, dan sesuai dipakai di negara-negara panas seperti Singapura.
Bagi menerangkan kelebihan pakaian yang diperbuat daripada teknologi AIRism itu, Machineast akan memaparkan seni visual abstrak selama 10 minit, yakni masa yang diambil untuk membuat fabrik daripada teknologi tersebut.
"Selama kerja di dunia komersil, jarang mendapat kesempatan seperti ini. Dan saat-saat seperti Singaplural, sekarang ini, sebagai pereka kita dapat menonjolkan rekaan kita dari segi artistik kita sendiri. Untuk saat ini, kita akan menunjukkan lima kepentingan Airism dari Uniqlo," kata pengasas bersama dan pengarah rekaan Machineast, Encik Rezaliando, 34 tahun.
PELUANG KEEMASAN MELEBARKAN KEUPAYAAN
Menurut Fizah Rahim, 33 tahun, yang juga pengasas bersama dan pengarah reka Machineast, mereka menerima tawaran untuk bekerjasama dengan Uniqlo kerana tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu. Mentelah lagi, mereka sendiri memakai jenama tersebut dan amat menyukai kualitinya.
Machineast seringkali tertumpu kepada menghasilkan rekaan grafik khusus untuk televisyen, media sosial dan laman web.
Oleh demikian, demi meluaskan lagi keupayaan dan portfolio sedia ada, tawaran dari Uniqlo seolah-olah durian runtuh untuk mereka.
"Kami juga ingin untuk membuat sesuatu yang lebih lagi. Jadi tidak hanya pada skrin tetapi sesuatu yang yang membolehkan kami bermain dalam bentuk ruang yang lagi besar. Jadi dengan peluang tersebut, ini juga mendorong Ando dengan saya untuk sangat berminat dengan tawaran tersebut," kongsi Cik Fizah, yang merupakan anak kelahiran Sabah.
(Gambar-gambar: Fariza Abdul Aziz)
TEKNOLOGI MAJU, PELUANG LEBIH CERAH
Meskipun Fizah dan Reza merupakan penduduk tetap Singapura, mereka menubuhkan syarikat di sini kerana melihat peluang yang cerah untuk mara ke hadapan dalam bidang teknologi.
"Singapura sangat berinovasi dan teknologinya sangat maju. Oleh kerana itu, kita dapat melakukan banyak perkara yang lebih baru lagi. Maka, kami memutuskan untuk membuka firma di sini," jelas Reza yang merupakan anak kelahiran Pekanbaru, Sumatera.
Acara Singaplural anjuran Majlis Industri Perabot Singapura (SFIC) itu akan berlangsung dari 7 hingga 12 Mac ini di Bangunan Pit F1.
Lebih 100 seni pemasangan hasil kerjasama para pereka dan jenama antarabangsa serta tempatan seperti Ewins, Antalis and Admira akan ditampilkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.