Bakal Presiden Tharman Shanmugaratnam raikan kemenangan bersama rakyat SG di merata negara
SINGAPURA: Seawal 7.30 pagi lagi, para penyokong Encik Tharman Shanmugaratnam sudah mula berkumpul di Pusat Penjaja Taman Jurong bagi menantikan kehadiran bakal Presiden kesembilan itu.
Ini hanya sekitar tujuh jam sahaja selepas beliau diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden yang berlangsung pada Jumaat (1 Sep).
Antara yang terawal hadir ialah Encik Salikin Sarkawi, "Alhamdulillah, saya pun suka sebab saya dan presiden sekarang merupakan teman lama saya daripada bangku sekolah dahulu. Syukur Alhamdulillah, dia dapat menerajui (peranan) sebagai Presiden Singapura yang baru"
Mereka juga tersenyum ceria apabila menerima buah nanas - lambang yang digunakan Encik Tharman semasa berkempen.
Berkotak-kotak buah nanas dikeluarkan dari lori dan BERITA Mediacorp difahamkan buah-buah itu ditaja oleh pemilik kedai di pasar itu dan sebuah kuil.
Keadaan bertambah meriah apabila Encik Tharman tiba di situ pada kira-kira 9.15 pagi.
Para penyokongnya mula melaungkan kata-kata seperti "Majulah Singapura" dan "Ong Lai Huat Ah".
ENCIK THARMAN KE 4 LOKASI BERTEMU PENDUDUK
Pusat Penjaja Taman Jurong itu merupakan antara empat lokasi yang dikunjungi Encik Tharman dalam rangkaian lawatannya bertemu para penduduk hari ini (2 Sep).
Di Pusat Penjaja Marsiling Mall, ketibaan Encik Tharman dan isterinya, Cik Jane Ittogi turut disambut Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee Zaqy Mohamad.
Sepanjang kira-kira 30 minit Encik Tharman di Marsiling, ramai yang berjabat tangan dengannya dan mereka juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar kenangan bersama bakal Presiden Singapura itu.
Setelah itu Encik Tharman ke kawasan timur pula untuk bertemu para penduduk di Hab Tampines Kita sebelum bertolak ke lokasi terakhir iaitu di Hab Toa Payoh.
Para penduduk yang ditemui rata-rata teruja dapat bersua secara fizikal dengan bakal Ketua Negara mereka itu.
"Suasana meriah, bercampur hiba kerana kita lihat ada presiden baru jadi kita rasa gembira," kongsi salah seorang penduduk Cik Nur Azimah, kepada BERITA Mediacorp.
"Harap-harap pada masa akan datang, Singapura akan menjadi lebih baik dengan kepimpinan yang baru," tambahnya.
Bagi seorang lagi penduduk, Zarina Khamis, beliau turut melahirkan rasa gembira dengan presiden yang baru.
"Saya sangat bangga dengannya dan beliau sangat rendah diri. Beliau juga sedar bahawa kita di Singapura ini berbilang kaum. Beliau seorang yang sangat baik," ujar Cik Zarina.
"Saya rasa gembira beliau menjadi Presiden baru kita. Insya-Allah (beliau) akan buat yang terbaik," tambahnya.
RAKYAT SG SANGAT WAJAR DALAM CARA MEREKA MENGUNDI
Dalam pada itu, Encik Tharman juga menyifatkan kemenangannya itu sebagai satu "ekspresi harapan" dan berkata bahawa rakyat Singapura sangat "wajar" dalam cara mereka mengundi.
"Mereka menilai seseorang. Mereka tidak akan terganggu dengan anda hanya kerana anda sudah menjadi anggota kabinet atau anggota parti politik dan mereka mungkin rasa ini satu tambahan positif kerana anda ada pengetahuan dan pengalaman," menurut Encik Tharman.
"Beliau sudah berkhidmat dengan baik untuk Singapura. Saya kagum dengan ketenangan dan martabat yang beliau julang sejak menjadi presiden. Itu adalah salah satu perkara yang saya ingin lakukan - iaitu duduk bersamanya dan mendapatkan pendapat dan nasihatnya daripada enam tahunnya."
Meskipun masih belum ada rancangan yang sudah ditetapkan untuk dua minggu ini, Encik Tharman akan bersua dengan Presiden Halimah di upacara menandakan tamat penggal jawatannya pada 13 September ini.
Upacara angkat sumpah Encik Tharman pula dijadualkan berlangsung pada keesokan harinya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.