Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bakal mempelai pilih nikah dahulu, tangguh sanding setelah peraturan COVID-19 diperketat

Lebih ramai bakal mempelai memilih untuk meneruskan dengan pernikahan mereka sambil menangguhkan majlis persandingan ke tarikh baru.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih ramai bakal mempelai memilih untuk meneruskan dengan pernikahan mereka sambil menangguhkan majlis persandingan ke tarikh baru.

Ini setelah sesetengah syarikat penganjur majlis menawarkan beberapa pilihan kepada bakal pengantin yang terpaksa membuat keputusan di saat-saat akhir.

Mereka perlu merubah perancangan ekoran pengumuman Pemerintah pada Jumaat (14 Mei) untuk memperketatkan langkah keselamatan COVID-19 dalam masyarakat.

Antara mereka adalah pasangan Mohd Syafiq Azman dan Raja Siti Nurhudah yang sepatutnya mengadakan majlis pernikahan dan persandingan mereka pada minggu hadapan.

Namun begitu, rancangan mereka terpaksa diubah setelah pemerintah tidak lagi membenarkan majlis jamuan perkahwinan diadakan mulai esok hingga 13 Jun ini.

Sementara itu, majlis pernikahan pula dihadkan kepada 50 tetamu dan ujian COVID-19 perlu diadakan jika majlis pernikahan itu dihadiri lebih 50 hingga 100 tetamu.

"Saya dan keluarga saya sudah hantar kad jemputan kepada makcik-makcik semua. Apabila saya mendengar begini, memang saya amat tertekan sebab kami harus mesej orang dan hubungi satu persatu kerana ada yang tidak boleh lagi datang, harus ikut SOP," luah Cik Nurhudah.

Lebih sedih buat mereka adalah kerana ini merupakan kali kedua mereka terpaksa mengubah segala rancangan bagi sambutan hari bahagia mereka.

Tidak ingin terus berdepan dengan cabaran seperti mengaturkan semula senarai tetamu serta sudah kerugian wang deposit sebanyak $3,000, inilah keputusan yang dibuat kedua-dua mereka.

"Untuk minggu depan, kita akan bernikah juga dan dihadiri 50 orang tetamu tetapi kami akan menangguhkan persandingan kami sementara ini apa yang saya boleh buat, kita bernikah dahulu," kata Encik Syafiq.

PILIHAN BANTUAN DISEDIAKAN SYARIKAT NAZREEN

Encik Syafiq dan Cik Nurhudah adalah antara sekitar 20 pasangan Nazreen Ballroom yang terjejas dengan peraturan yang diperketatkan itu.

Bagi memudahkan langkah seterusnya bagi para bakal mempelai, Nazreen Ballroom menawarkan beberapa pilihan dan penyesuaian buat kesemua pasangan terjejas.

Pemilik Nazreen Ballroom Encik Syed Hafeez Chishty berkongsi: "Pilihan pertama kami memberikan kalau mereka menikah di tempat kami, sekarang boleh 50 orang dan kalau 100 dengan ujian COVID-19 tetapi kami beritahu lebih baik buat untuk 50 tetamu dan kemudian kami menghantar nasi briyani itu kepada semua para jemputan mereka yang tidak dapat datang.

"Kedua adalah untuk para mempelai mengadakan majlis pernikahan tanpa sebarang kos dan kemudian menangguhkan majlis persandingan pada tarikh baru."

Keputusan itu diambil pihak Encik Syed Hafeez kerana ingin "membantu bakal mempelai seberapa boleh" walaupun syarikatnya perlu mengeluarkan kos tambahan yang dianggarkan sebanyak 20 peratus.

Penambahan kos itu, menurut beliau, adalah dari aspek pengangkutan, logistik dan juga kos sewa ruang pada slot tambahan bagi majlis persandingan pada tarikh baru nanti.

"Sebaik-baiknya, kami mahu mereka dapat menjalankan majlis mereka dan kami juga dapat membantu mereka. Janji kita dapat melaksanakan apa yang mereka beri kepada kita. Itulah yang penting bagi kita," katanya.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan