Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bakal jemaah haji tahun ini jalan pantas 5 km, persiapkan diri secara fizikal

Seramai 87 bakal jemaah haji dari Shahidah Travel & Tours berkumpul pagi tadi (11 Jun) untuk berjalan pantas sepanjang lima kilometer di kawasan Sembawang.

Anggaran Waktu Membaca:
Bakal jemaah haji tahun ini jalan pantas 5 km, persiapkan diri secara fizikal

(Gambar: Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Seramai 87 bakal jemaah haji dari Shahidah Travel & Tours berkumpul pagi tadi (11 Jun)  untuk berjalan pantas sepanjang lima kilometer di kawasan Sembawang.

Ini bagi mempersiapkan diri dari segi fizikal memandangkan ada dalam kalangan mereka dijadualkan berangkat menunaikan ibadah haji dalam masa kurang dua minggu lagi. 

Rombongan pertama syarikat itu akan berangkat pada 25 Jun. 

(Gambar: Syawal Yusoff)

Acara 'Get Fit For Haj' yang dianjurkan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Sembawang itu turut dihadiri beberapa anggota keluarga para jemaah dan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung yang juga penasihat bagi Pertubuhan-pertubuhan Akar Umbi Sembawang Central. 

Secara keseluruhan, acara itu disertai 120 orang yang berjalan pantas dari Kelab Masyarakat Sembawang hingga ke Masjid Petempatan Melayu Sembawang. 

DAPAT 'POWER' SEBAB PERLU BANYAK TENAGA DI SANA

Seawal 8.30 pagi lagi, para jemaah sudah mula berkumpul dan walaupun matahari terik memancar, mereka tetap kelihatan ceria dan bersemangat.  

Kali terakhir acara berjalan pantas sedemikian diadakan adalah pada 2019 di mana ketika itu, bakal jemaah berjalan di sekitar kawasan Masjid Yusof Ishak.

Istimewanya kali ini, mereka berpeluang menikmati pemandangan indah di samping meneroka tempat-tempat bersejarah di kawasan Sembawang seperti bangunan 'Beaulieu House' di Taman Sembawang.

Para peserta juga diberi masa untuk berehat di dua perhentian sepanjang perjalanan itu.

Antara mereka yang menyertai acara itu ialah bakal jemaah haji tahun ini, Encik Rohaizad Ibrahim, 62 tahun dan isterinya Cik Faridah Idin, 61 tahun. 

"Kalau ramai-ramai macam ini memang kita tak akan rasa sangatlah."

"Seandainya yang jarang-jarang bersenam itu kan, boleh dapat satu 'powerlah' sebab kita perlukan banyak tenaga di sana," jelas Encik Rohaizad, yang turut berlari-lari anak dua hingga tiga kali seminggu.

(Encik Rohaizad Ibrahim dan Cik Faridah Idin)

Pasangan itu sepatutnya menunaikan ibadah haji dua tahun lalu. 

Mereka menunggu lapan tahun untuk mendapatkan tempat dalam kuota yang ditawarkan bagi jemaah Singapura. 

Namun, penantian mereka tidak berakhir di situ kerana perjalanan mereka ditangguhkan akibat pandemik COVID-19. 

"Kami sudah pergi ke kursus semua. Tiba-tiba tidak dapat pergi," kata Encik Rohaizad.

Mujur, keadaan COVID-19 bertambah baik dan sekatan haji dilonggarkan hingga membolehkan para jemaah Singapura naik haji tahun ini. 

(Gambar: Syawal Yusoff)

Bagi Encik Rohaizad dan isteri yang sudah menunggu hampir 10 tahun, ini amat dialu-alukan dan tidak mahu melepaskan peluang apabila mereka ditawarkan tempat dalam kalangan 407 jemaah haji Singapura tahun ini. 

SAMBIL BERJALAN, TEROKA TEMPAT-TEMPAT MENARIK

Acara berjalan pantas itu juga adalah sebahagian daripada siri acara yang dianjurkan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Sembawang menjelang pesta kesihatannya pada Disember 2022.

Di Masjid Petempatan Melayu Sembawang pula, para peserta disambut oleh Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Woodlands, Cik Mariam Jaafar. 

Beliau berkata usaha ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan secara menyeluruh.

"Ini satu senaman yang baik pasal risikonya kecederaannya tak banyak tapi sudah terbukti dapat melindungi kita daripada kencing manis, tekanan jantung dan kolesterol. Jadi banyak manfaatnya. 

"Kita juga dapat melakukannya dengan kawan, dengan jiran dan berhubung dengan rakan-rakan, kuatkan lagilah silaturahim," jelas Cik Mariam. 

Usaha ini turut disambut baik bakal jemaah haji, Encik Muslim Sutan Mangkuto yang sudah ada pengalaman menunaikan haji sebelum ini. 

"Persiapan ini memang baik untuk persiapkan kita dari segi fizikal dan mental," kata Encik Muslim. 

Cik Mariam yang sempat beramah mesra dengan para peserta turut gembira dengan maklum balas yang diberikan sebilangan peserta.

"Ramai yang daripada kawasan timur - Tampines, Tanah Merah. Jadi untuk mereka pertama kali datang ke kawasan ini. Jadi terpegun juga dengan keadaan di sini."

"Kita semua doakan mereka selamat pergi, selamat kembali dan mendapatkan haji yang mabrur," kata Cik Mariam.

DAPAT BERLATIH MELONTAR JAMRAH 

Di lokasi terakhir iaitu di Masjid Petempatan Melayu Sembawang, para bakal jemaah juga dapat mengikuti latihan praktikal untuk melontar jamrah di bawah bimbingan para pegawai Shahidah Travel & Tours.

Pengalaman tersebut juga lebih bermakna dan berguna kerana ramai dari mereka belum pernah menunaikan ibadah haji.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Bagus kalau dekat sana kita sudah tahu cara-cara melontarkan. Sebab kita selalu tengok dalam buku, tengok YouTube. Sekarang kita tengok, kita buat yang nyatanya," kata Cik Faridah.

Di samping itu, para peserta turut mendengar perkongsian pengalaman haji oleh Cik Rokiah Ali dan mendengar nasihat pakar dari Pengerusi, M3@Woodlands, Dr Noorul Fatha.

Acara itu turut disokong Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB).

Sumber : BERITA Mediacorp/SY

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa