Bakal jemaah Haji 2027 perlu jalani penilaian kesihatan lebih menyeluruh, termasuk ECG dan X-ray
- MUIS memperketat penilaian kesihatan Haji 2027 bagi bakal jemaah Singapura, selaras syarat MOHU bahawa pemohon bebas penyakit kronik tertentu dan mampu menunaikan ibadah secara berdikari.
- Pemeriksaan wajib selesai sebelum 13 Oktober, meliputi ujian klinikal, darah, X-ray dada, ECG serta ujian mobiliti, dengan kos ditanggung pemohon melalui penyedia dilantik atau klinik lain.
- Langkah ini menyusuli kes Haji 2026 apabila maklumat kesihatan tidak tepat menyebabkan jemaah bermasalah kesihatan tetap berangkat dan memerlukan rawatan di Arab Saudi.
- Keputusan dikategorikan A, B atau C, manakala AMTAS menyokong penilaian itu sebagai persediaan fizikal, mental dan emosi, bukan halangan untuk menunaikan Haji.
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memperketatkan proses penilaian kesihatan bagi Haji 2027, dengan bakal jemaah perlu menjalani pemeriksaan lebih menyeluruh yang merangkumi pemeriksaan klinikal, ujian darah, X-ray dada, elektrokardiogram (ECG) serta pemeriksaan yang menilai keupayaan mereka untuk bergerak.
Langkah itu, jelas MUIS menerusi satu kenyataan media pada Jumaat (4 Sep), bertujuan memastikan setiap pemohon dinilai berdasarkan proses dan piawaian kesihatan yang sama, selain memenuhi syarat yang ditetapkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MOHU).
MOHU menetapkan bahawa bakal jemaah perlu bebas daripada penyakit kronik tertentu dan mampu menunaikan Haji secara berdikari untuk mendapatkan visa Haji.
Penilaian perlu diselesaikan selewat-lewatnya 13 Oktober menerusi penyedia khidmat perubatan yang dilantik MUIS, dengan kos ditanggung sendiri oleh pemohon.
Mereka yang mendaftar sebelum 7 Mac 2014 akan menerima Surat Niat menerusi MyHajSG mulai 14 September dan, jika disahkan sihat, perlu menerimanya selewat-lewatnya 18 Oktober.
PROSES DIPERKETAT TANGANI ISU MAKLUMAT TIDAK TEPAT
Sebelum ini, jemaah Singapura hanya perlu mendapatkan sijil kesihatan daripada doktor yang mengesahkan bahawa mereka bebas daripada penyakit kronik, tanpa perlu menjalani sebarang ujian.
Namun, menurut anggota Panel Perubatan Haji, Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, terdapat beberapa kes semasa Haji 2026 di mana maklumat kesihatan yang diberikan didapati tidak tepat.
Akibatnya, beberapa jemaah yang mempunyai masalah kesihatan masih dibenarkan menunaikan Haji.
"Pihak Saudi telah memberitahu kami bahawa ada beberapa jemaah yang memerlukan rawatan semasa melakukan haji. Dan pihak Saudi telah memberi maklum balas kepada pihak MUIS," kongsi Dr Zuraimi yang juga merupakan anggota Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA).
"Dengan itu, tahun ini kita memerlukan maklumat yang lebih terperinci untuk benar-benar memastikan para jemaah itu dapat lulus untuk melakukan haji dengan baik," tambah beliau.
Negara asal jemaah juga mungkin perlu menanggung kos sekiranya jemaah didapati tidak memenuhi syarat kesihatan yang ditetapkan.
PENILAIAN KEUPAYAAN BERGERAK: APA YANG DIPERIKSA?
Antara komponen baharu dalam penilaian kesihatan bagi Haji 2027 ialah pemeriksaan yang menilai keupayaan bakal jemaah untuk bergerak.
Pemeriksaan itu merangkumi dua ujian. Yang pertama ialah ujian berjalan selama enam minit yang menilai tahap kecergasan fizikal dan kemampuan mereka berjalan secara berterusan.
Satu lagi ialah ujian 'Timed Up and Go' (TUG), yang menilai keseimbangan dan kemampuan mereka bergerak.
Dalam ujian itu, masa yang diperlukan bakal jemaah untuk bangun dari kerusi, berjalan beberapa langkah, berpusing dan kembali duduk akan dicatat.
KLINIK DILANTIK MUIS BAGI PENILAIAN KESIHATAN
MUIS melantik dua penyedia khidmat perubatan untuk menjalankan penilaian kesihatan bagi Haji 2027, iaitu SATA CommHealth dan HMI Medical Centres.
Pemeriksaan di SATA CommHealth boleh dilakukan di empat cawangannya di Ang Mo Kio, Chai Chee, Jurong Gateway dan Woodlands Civic Centre.
HMI Medical Centres pula menawarkan pemeriksaan di dua lokasi, iaitu di 100AM, Tras Street dan Farrer Park Station Road.
Bakal jemaah masih boleh memilih untuk menjalani penilaian di klinik lain. Namun, Dr Zuraimi berkata MUIS menyarankan mereka menjalani pemeriksaan di pusat perubatan yang dilantik.
"(Ini) kerana kesemua ujian yang diperlukan boleh dilakukan di satu lokasi dan penyedia khidmat perubatan tersebut juga sudah biasa dengan keperluan kesihatan bagi ibadah haji," terangnya.
Beliau juga menjangkakan kos mungkin lebih tinggi jika bakal jemaah memilih klinik lain kerana mereka mungkin perlu menjalani ujian secara berasingan.
Pakej penilaian kesihatan di SATA CommHealth dianggarkan sekitar S$125, manakala di HMI Medical Centres sekitar S$350.
KEPUTUSAN PENILAIAN TENTUKAN LANGKAH SETERUSNYA
Selepas menjalani penilaian kesihatan, bakal jemaah akan menerima laporan perubatan menerusi e-mel yang menyatakan sama ada mereka tergolong dalam Kategori A, B atau C.
Kategori A merujuk kepada mereka yang disahkan sihat untuk menunaikan Haji.
Kategori B pula melibatkan bakal jemaah yang memerlukan penilaian lanjut oleh Panel Perubatan Haji sebelum keputusan muktamad mengenai tahap kesihatan mereka dibuat selewat-lewatnya 18 Oktober.
Bagi Kategori C, bakal jemaah disahkan tidak sihat untuk menunaikan Haji dan dinasihatkan supaya menangguhkan ibadah Haji mereka.
Bakal jemaah dalam Kategori B akan dinilai dengan lebih lanjut oleh Panel Perubatan Haji yang terdiri daripada empat doktor dan seorang ahli fisioterapi.
"Keputusan kami adalah berdasarkan kepada penilaian yang lebih terperinci," tegas Dr Zuraimi.
Namun menurut beliau, proses itu bukan semata-mata bertujuan menghalang mereka yang mempunyai masalah kesihatan daripada menunaikan Haji.
Sebaliknya, masalah yang dikenal pasti lebih awal membolehkan bakal jemaah mengambil langkah untuk memperbaiki keadaan kesihatan mereka dan menunaikan Haji pada masa akan datang, sekiranya keadaan mengizinkan.
"Kami ingin memberikan semua jemaah peluang tetapi kalau jemaah tersebut memang ada masalah, mungkin perlu lebih masa untuk mengatasi masalah perubatannya dan boleh pergi menunaikan haji," katanya.
PENILAIAN BAHARU 'BUKAN SATU HAMBATAN'
Persatuan Agensi Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) menyifatkan langkah MUIS memperkenalkan penilaian kesihatan lebih menyeluruh sebagai penting.
Penolong Setiausahanya, Cik Noor Faizah Mustaffa, bahkan mengingatkan bahawa tuntutan fizikal ketika menunaikan Haji jauh berbeza daripada kegiatan seharian di Singapura.
Atas sebab itu, beliau menekankan bahawa penilaian tersebut bukan bertujuan menjadi hambatan untuk menunaikan Haji, sebaliknya memastikan bakal jemaah benar-benar bersedia dari segi kesihatan.
"Ia bagaikan satu 'lapisan' bagi jemaah untuk pastikan mereka dalam keadaan fizikal, mental dan juga emosional yang kuat dan kukuh supaya mereka dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna dan selamat," jelasnya.
Cik Noor Faizah turut menarik perhatian kepada beberapa kes pada musim Haji lalu yang melibatkan jemaah mengalami masalah kesihatan seperti sakit jantung atau sesak nafas ketika berada di Tanah Suci, meskipun sudah menjalani penilaian kesihatan sebelum berangkat.
"Kami di sini haraplah yang bakal jemaah haji dapat memastikan bahawa mereka betul-betul menjalani proses penilaian kesihatan dengan jujur dan amanah," katanya.
"Bukan sahaja untuk memudahkan urusan ejen pelancongan tapi bagi memastikan mereka dapat melaksanakan ibadah mereka sendiri dengan berdikari dan juga sempurna."
Bakal jemaah yang disahkan sihat dan menerima Surat Tawaran boleh membeli pakej Haji daripada ejen pelancongan yang dilantik MUIS selewat-lewatnya 2 November 2026.
Surat Tawaran akan dikeluarkan mulai 20 Oktober.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.