Baju raya selesa dipakai selepas Syawal
Selain gaya, keselesaan pakaian juga diutamakan oleh dua pereka tempatan, Kaifiyyah dan Batique.
Malah, busana yang dihasilkan sesuai dipakai pada bila-bila masa.
Pembaziran baju raya bila digunakan sekali sahaja menjadi pencetus idea bagi pereka jenama Kaifiyyah, Cik Masayu Siti Khadijah, untuk memulakan perniagaan busananya sendiri.
Beliau bertekad untuk menghasilkan baju raya yang boleh digunakan sepanjang tahun.
"Saya selalu fikirkan bagaimana saya hendak menggunakan Baju Raya selepas Hari Raya. Itulah sebab saya memutuskan untuk mempromosikan baju kurung besar dan labuh yang boleh digunakan sepanjang tahun. Ia boleh digunakan secara kasual atau formal dan untuk setiap acara, tidak semestinya untuk Hari Raya," kata Pengasas Butik Kaifiyyah, Masayu Siti Khadijah.
Jenama Kaifiyyah ini mengetengahkan gabungan baju Melayu Tradisional dan gaya jalanan atau 'street style' moden yang disesuaikan daripada gaya fesyen Jepun dan Korea.
"Baju labuh ini sebenarnya bukan baru sahaja wujud, sebenarnya ia adalah trend yang wujud dalam fesyen Korea dan Jepun. Jadi saya rasa mereka yang lebih muda memang suka dengan gaya ini," jelas Cik Masayu.
Beliau juga menarik perhatian bahawa Baju Kurung pada asalnya adalah pakaian yang labuh.
"Daripada kajian saya sendiri, baju kurung sebenarnya mempunyai potongan labuh. Saya juga gemar akan baju yang bersaiz besar dan labuh kerana ia kelihatan lebih bergaya jadi itulah sebab saya cuba untuk menggabungkan pakaian moden dan tradisional," tambah beliau.
Butik Kaifiyyah memaklumkan kepada BERITAMediacorp bahawa kebanyakan daripada pelanggan butik itu merupakan wanita bekerjaya berumur dalam lingkungan usia 28 dengan 55 tahun.
"Saya ingin menyasarkan golongan wanita yang bekerja di Singapura yang memerlukan pakaian seharian," kata Cik Masayu.
Memandangkan butik itu terletak di kawasan Kandahar Street, ia juga menarik pelancong daripada merata dunia yang gemar pakaian labuh.
"Kami ingin menggabungkan seni batik yang wujud berabad-abad lamanya dan juga fesyen yang terkini," kata Pengasas Butik Batique, Moenawir Arslan.
Hampir kesemua baju yang dihasilkan dihiasi motif batik. Namun apa yang unik adalah ia dipadankan dengan potongan moden yang lebih labuh berbanding dengan baju batik tradisional.
"Pakaian yang kami hasilkan, ia tidak hanya boleh digunakan sewaktu Hari Raya, ia juga boleh kami gunakan untuk mesyuarat, keluar bersama rakan atau keluarga atau bersantai di pantai," kata Encik Moenawir.
Ini hasil maklum balas daripada para pelanggan dan juga inisiatif sendiri untuk menawarkan baju yang lebih menepati citarasa pelanggannya.
Selain itu baju-baju batiknya diperbuat daripada kain satin yang lebih selesa dan tidak panas.
Dengan beberapa jenama lain yang juga menghasilkan pakaian batik lebih moden sekarang, beliau percaya ia akan terus digemari.
Beliau menarik perhatian bahawa para pelanggannya dalam lingkungan usia 12 hingga 40 tahun.
Beliau berharap motif batik akan berkembang pesat dan ditonjolkan ke persada dunia mengikut trend fesyen terkini.
Dalam pada itu, kedua-dua butik berharap Koleksi Aidilfitri yang dikeluarkan akan menepati cita rasa ramai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.